Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, October 21, 2009

Pelayaran Nabi Nuh a.s.

Bahtera Nabi Nuh a.s. pun berlayar meredah ombak dan gelombang besar, hujan dan ribut tanpa perhentian dan persinggahan. Dunia telah ditenggelami air termasuk bukit dan gunung-ganang yang tinggi. Manusia yang tinggal hanyalah mereka yang menaiki bahtera Nabi Nuh a.s. sahaja. Setelah semua manusia yang engkar dan tidak beriman kepada Allah karam dan lemas akibat banjir besar yang maha dahsyat itu, hujan pun berhenti dan air pun mulai surut. Matahari mula menyinari alam. Bahtera Nabi Nuh a.s. pun berlabuh di atas sebuah bukit yang bernama Judi.

Nabi Nuh a.s. menghantar seekor burung merpati untuk mengetahui adakah air telah surut sepenuhnya dan mereka boleh turun dari bahtera itu. Merpati tersebut kembali kepada Nabi Nuh a.s. membawakan sebatang ranting kayu dengan daunnya yang hijau. Dengan itu ketahuilah oleh Nabi Nuh a.s. bahawa bumi telah pun kering. Nabi Nuh a.s. pun memberitahu pengikut-pengikutnya bahawa mereka sudah boleh turun di situ. Nabi Nuh a.s. beserta beberapa pengikutnya kemudian melepaskan haiwan-haiwan yang dibawa bersama.

Bagaimanapun, Nabi Nuh a.s. merasa sedih kerana anaknya mati dihanyutkan air kerana enggan mengikutinya. Lalu Nabi Nuh a.s. memohon kepada Allah SWT, katanya:

"Ya Allah, bahawa anakku itu daripada keluargaku dan Engkau telah berjanji akan melepaskan bersama-samaku sekelian keluargaku."

Allah SWT kemudian berfirman kepada Nabi Nuh a.s.:

"Wahai Nuh, anakmu bukanlah daripada keluargamu lagi. Dia membuat pekerjaan yang tidak baik."

Baharulah Nabi Nuh a.s. menyedari bahawa Baginda telah melakukan kesilapan. Anaknya telah kafir kerana enggan beriman kepada Allah SWT. Seseorang yang kafir tidak lagi mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mereka yang beriman. Nabi Nuh a.s. memohon ampun kepada Allah SWT.

Allah SWT mengampunkan kesilapan Nabi Nuh a.s. Baginda bersama-sama pengikutnya kemudian membina petempatan dan kehidupan yang baru.

Sumber: Kitab Tuntunan Ibadat susunan Sheikh Ali b. Abdullah Baldram Ali Baldram

No comments: