Untuk membawa manusia kembali beriman, Allah SWT telah mengutuskan Nabi Nuh a.s. Nabi Nuh a.s telah diberikan tugas untuk memperingatkan manusia dengan azab Allah SWT sekiranya mereka menyembah berhala dan Tuhan yang lain selain Allah SWT. Nabi Nuh a.s telah memanggil kaumnya lalu berseru:
"Wahai kaumku, Tuhan yang sebenar ialah Allah, Allah yang menjadikan langit yang tidak bertiang dan bumi yang terhampar untuk didiami oleh kamu semua. Di bumi, Allah jadikan bermacam-macam tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang dan burung-burung. Di bumi juga Allah jadikan bulan dan bintang-bintang yang bergemerlapan dan bulan itu cerah di malam hari. Allah jadikan matahari itu menerangi bumi di siang hari. Allah jadikan manusia hidup di atas muka bumi. Diberikan kepada manusia akal untuk berfikir, mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan kaki untuk berjalan".
"Wahai kaumku sekalian! Kamu telah membuat sendiri akan berhala-berhala itu dan kamu tahu berhala-berhala itu diperbuat daripada batu lalu kamu sembah batu itu".
"Wahai kaumku sekalian! Hendaklah kamu tahu bahawa Tuhan yang sebenarnya adalah Allah yang mesti disembah kerana Dialah yang menjadikan kamu, Dialah yang memberikan rezeki kepada kamu, Dialah juga yang memberikan tenaga kepada kamu sekalian, untuk bekerja, bercucuk-tanam, membela ternakan dan sebagainya".
"Dialah juga yang menurunkan hujan dari langit. Oleh itu hendaklah kamu semua percaya kepada Allah yang Maha Esa dan hendaklah kamu semua menyembah-Nya. Tinggalkanlah berhala-berhala yang kamu perbuat daripada batu itu kerana berhala-berhala itu tidak memberi guna dan faedah sesuatu apa pun".
"Wahai kaumku! Aku memberi nasihat kepada kamu semua. Nasihatku ini adalah semata-mata kerana Allah. Aku tidak mengambil sebarang upah daripada seruan nasihatku ini".
Ada di antara mereka yang mendengar seruan Nabi Nuh a.s itu lalu beriman kepada Allah SWT. Mereka berkata:
"Kata-katamu itu benar wahai Nuh. Berhala-berhala itu semuanya ada mata tetapi tidak boleh melihat, ada mulut tetapi tidak boleh berkata, ada kaki dan tangan tetapi tidak boleh bergerak. Bagaimanakah kita boleh mengaku bahawa itu Tuhan. Tuhan yang sebenarnya bukan daripada batu dan kayu".
Namun ada juga yang membantah lalu berkata:
"Sebenar-benarnyalah berhala itulah Tuhan kami dan kami tidak akan meninggalkannya".
Mereka yang menerima seruan Nabi Nuh a.s itu kebanyakannya merupakan golongan yang miskin. Mereka telah meninggalkan berhala dan beriman kepada Allah SWT yang Maha Esa.
Adapun golongan yang degil dan keras hati berkata:
"Dia itu orang gila lagi miskin. Tiada harganya bagi kita. Dan kita tidak patut mendengar seruannya".
Walaupun begitu Nabi Nuh a.s tidak jemu menyeru kaumnya kembali beriman kepada Allah SWT, siang malam Baginda menyeru.
Pada satu hari Nabi Nuh a.s. telah bertemu dengan mereka yang kaya namun hati mereka degil. Baginda menyeru mereka agar menyembah Allah yang Maha Esa dan meninggalkan perbuatan menyembah berhala. Mereka berkata kepada Nabi Nuh a.s.:
"Apakah engkau ini sudah gila hai Nuh? Kelmarin kami melihat kamu ini seorang yang berakal, apakah yang telah berlaku ke atas kamu?"
Nabi Nuh a.s. menjawab:
"Wahai kaumku! Aku tidak gila tetapi Tuhanku telah mengutuskan aku ini kepada kamu sekalian supaya menunjukkan jalan yang sebenar kepada kamu. Kamu telah meninggalkan Tuhan yang sebenarnya. Sebaliknya kamu telah menyembah batu yang kamu buat dengan tangan kamu sendiri".
Kata seorang daripada mereka:
"Kenapa Tuhan memilih engkau menjadi utusan kepada kami, padahal engkau seorang yang miskin, tiada kelebihan engkau daripada kami".
Nabi Nuh a.s. menjawab:
"Allah tidak memilih kaya atau miskin. Allah suka kepada orang yang baik dan ikhlas. Jikalau kamu sekalian mendengar dan mengikut seruanku ini, maka Allah akan suka kepada kamu dan memasukkan kamu semua ke dalam syurga kerana Dialah yang Maha Berkuasa. Dialah yang menjadikan kamu bahkan Dialah juga yang mematikan kamu, dan Dialah juga yang akan membangkitkan kamu sekali lagi di hari Kiamat kelak".
Jawab mereka:
"Hai Nuh! Kalau engkau hendak kami mendengar dan mengikut seruanmu, hendaklah engkau halau orang-orang miskin yang menjadi pengikutmu kerana kami tidak suka bergaul dengan mereka kerana kami orang yang kaya dan mulia".
Kata Nabi Nuh a.s. kepada mereka:
"Apakah dosanya pengikut-pengikutku yang miskin itu? Mereka adalah orang-orang yang baik hati dan ikhlas kepada Allah. Allah memang sayang kepada mereka yang ikhlas. Kalau mereka dihalau, siapakah yang akan menolong aku untuk menyiarkan seruanku ini. Tiada perbezaan antara yang kaya dan miskin, mulia dan hina".
Apabila mendengar jawapan itu mereka pun berkata:
"Hai Nuh! Pergilah engkau dari sini. Jangan lagi cuba mengajak dan menyeru kami!"
Nabi Nuh a.s. tetap sabar dan tidak jemu pergi kepada mereka, hari demi hari, mengajak dan menyeru, memberikan nasihat dan menunjukkan kepada mereka jalan yang benar walaupun Baginda dihina dan dinista.
Nabi Nuh a.s. berkata lagi:
"Wahai kaumku! Aku takut Allah akan murka kepada kamu sekalian. Aku berasa kasihan".
Kali ini kaum Nabi Nuh a.s. hanya mendiamkan diri mereka. Tiada sesiapapun yang berkata walaupun sepatah. Nabi Nuh a.s. menyambung lagi:
"Jika kamu tidak hormatkan aku kerana aku miskin, hormatilah Allah SWT yang telah memberikan rezeki kepada kamu".
Kaum-kaumnya tidak mahu mendengar seruan Nabi Nuh a.s. itu dan mereka menutup muka mereka dengan kain dan menyumbat telinga mereka dengan anak jari.
Kemudian Nabi Nuh a.s. menyeru lagi kepada mereka dengan suara yang kuat. Katanya:
"Wahai kaumku! Aku takut azab Allah ke atas kamu maka dengarlah seruan dan nasihatku sebelum datangnya azab Allah dan kemurkaan-Nya ke atas kamu semua".
Setelah kaumnya jemu mendengar kata-kata Nabi Nuh, mereka berkata:
"Hai Nuh, engkau telah banyak merepek kepada kami, sekarang buktikan apa yang kamu takut-takutkan kami dengan azab yang engkau katakan itu".
Lalu mereka berpaling kepada kaum mereka dan berkata:
"Jangan kamu tinggalkan tuhan-tuhan (berhala-berhala) kamu".
Nabi Nuh a.s. sangat dukacita dan sedih apabila kaumnya tidak mengendahkan seruannya. Baginda berdoa kepada Allah.
"Ya Allah, aku telah menyeru kaumku siang dan malam, namun mereka tidak mengendahkannya, mereka bertambah liar dan menjauhkan diri daripadaku. Setiap kali aku menyeru mereka menutup telinga dengan anak jari dan menutup muka mereka dengan kain. Mereka tetap kekal dengan kekafiran mereka dan sifat mereka yang bongkak".
"Ya Allah, janganlah Engkau tinggalkan di atas muka bumi ini orang-orang kafir walau seorang pun. Sesungguhnya jika Engkau tinggalkan, nescaya mereka akan hidup dalam kesesatan dan mereka melahirkan anak-anak yang derhaka lagi kafir".
"Ya Allah, ampunilah aku dan kedua ibu-bapaku, ampunilah orang-orang mukmin yang masuk ke dalam rumahku dan sekalian mukminin dan mukminat".
Sumber: Kitab Tuntunan Ibadat oleh Syeikh Ali b. Abdullah Baldram Ali Baldram
No comments:
Post a Comment