Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, July 24, 2009

Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani

Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani, Bidor (imej dari bidornews.blogspot.com)

Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani, Bidor ditubuhkan pada Januari 1965 dengan nama Sekolah Menengah Rendah Bidor (Lower Secondary School, Bidor). Guru Besar yang pertama ialah Lai Sam Keong. Pada masa itu jumlah pelajarnya ialah seramai 211 orang. Kelas-kelas yang dibuka terdiri daripada Remove Class, Form One dan Tingkatan 1 Pengantar Melayu. Bagaimanapun, pelajar-pelajar sekolah ini terpaksa menumpang di bangunan SMJK(C) Choong Hua Bidor dan di bangunan Sekolah Kebangsaan Bidor. Tenaga pengajar adalah seramai 25 orang.

Pada Januari 1966, sekolah ini telah membuka cawangannya di Sungkai dengan menumpang di bangunan Sekolah Menengah Sungkai dan tenaga pengajarnya seramai 18 orang. Akhirnya pada tahun 1969, sekolah ini mendapat bangunannya sendiri iaitu bengunan yang ada kini terdiri daripada 3 blok bangunan batu 2 tingkat dan sebuah kantin.

Semasa itu juga bilangan pelajarnya bertambah iaitu seramai 1104 orang dengan 30 kelas termasuklah sekolah cawangannya di Sungkai. Pada tahun ini juga, sekolah cawangan di Sungkai telah dipisahkan. Oleh itu, bilangan pelajar sekolah ini menerima guru besar baru iaitu Santhanan dan satu lagi detik sejarah dicipta apabila Sukan Tahunan kali pertama diadakan pada tahun tersebut.

Sejak saat itu sehinggalah Januari 1971, bilangan pelajar sekolah ini bertambah menjadi seramai 830 orang dengan 24 kelas. Pada tahun 1972, Santhanan telah bertukar dan digantikan oleh Dzulkarnain bin Hj. Abdul Rahman. Semasa di bawah pentadbiran beliau, pelajar sekolah ini bertambah iaitu seramai 991 orang dan 27 kelas.

Tahun 1973, merupakan tahun yang banyak mencatat sejarah sekolah ini. Ucapan dan penyampaian hadiah kali pertama diadakan dan dirasmikan oleh YM En. Mohd. Ali bin Ibrahim, JSM, Pengarah Pelajaran Perak. Di tahun itu juga, majalah sekolah iaitu BAIDURI jilid pertama dikeluarkan. Buat kali pertama juga sekolah ini telah menganjurkan satu pesta ria yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Kamaruddin Isa, bertujuan untuk menampung perbelanjaan kelengkapan sekolah dan perpustakaan. Pada tahun ini juga Lembaga Pentadbiran Sekolah mengemukakan satu permohonan untuk menukarkan nama sekolah ini kepada SEKOLAH MENENGAH SYEIKH ABDUL GHANI, BIDOR. Kelulusan membenarkan pertukaran nama sekolah ini telah diterima pada 28 November 1973 melalui surat BIL.(42) dalam J.Pel.PK.1970/4.

Adalah satu perkara menarik dan perlu disentuh mengapa Lembaga Pentadbiran Sekolah ini memilih nama Syeikh Abdul Ghani. Tokoh ini adalah seorang yang penting dalam sejarah tempatan. Mengikut sejarah, semasa pemerintahan Sultan Salehuddin, Sultan Perak ke-9, Bidor dibuka kerana hasil timahnya. Perkataan Bidor berasal daripada acuan bijih timah yang dibuat daripada kayu untuk menyukat bijih. Setiap satu bidor mengandungi kira-kira 70 kati bijih timah.

Orang yang pertama dilantik menjadi Penghulu Bidor ialah Syeikh Abdul Ghani. Sebagai mengenang jasanya terhadap masyarakat tempatan, nama beliau diabadikan untuk nama baru sekolah ini.

Sumber: Sinar Harian

No comments: