Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 27, 2009

Prof Ahmad pakar perundangan sivil, syariah


TAN Sri Ahmad Mohamed Ibrahim adalah tokoh undang-undang hebat dan cemerlang. Sumbangannya yang amat besar dan amat bermakna dalam menjalankan penyelidikan, pembangunan dan kemajuan dalam memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia dan Singapura, selain bidang pendidikan dan kebudayaan.

Di atas sumbangan besarnya itu, Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) mengambil inisiatif menerbitkan buku mengenai biografi Prof Ahmad yang memuatkan liku kehidupannya merangkumi sejarah awal hidup, pendidikan diterima dan sumbangan dalam aspek perundangan negara.

Turut dilakarkan di dalam buku ini adalah terhadap keperibadiannya yang sangat rendah diri itu turut dianggap sebagai akademik, perunding dan penasihat, guaman dan kehakiman.

Beliau dihormati atas kepakarannya yang hebat dan istimewa dalam bidang undang-undang sivil dan syariah, selain diiktiraf sehingga ke akhir hayat serta masih dijadikan rujukan.

Kehebatan dan kepakarannya dalam bidang undang-undang turut diakui Prof Diraja Ungku Aziz. Paling ketara ialah sejak penubuhan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM) sehingga sekarang, tidak ada perubahan besar dilakukan kepada kurikulum dan sukatan pelajaran undang-undang.

Ini menggambarkan ketelitian serta kejituan ketika merancang penubuhan Fakulti Undang-undang UM sehingga ia sesuai dengan kehendak badan peguam dan akademik selain mengusahakan Journal of Malaysian and Comparative Law yang menjadi platform kepada penulisan akademik undang-undang.

Ahmad Ibrahim turut menumpukan secara bersungguh terhadap penubuhan Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa dengan memberi pendekatan baru dalam pengajaran, kurikulum dan suasana pembelajaran.

Selain itu, beliau dilantik dalam pelbagai jawatankuasa antaranya Jawatankuasa Kajian Undang-undang Mahkamah Syariah Kelantan; Jawatankuasa Kajian Taraf Kadii Seluruh Malaysia, dan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syariah dan Sivil.

Sumbangan dalam aspek kehakiman dapat dilihat secara langsung dalam perbicaraan kes mahkamah syariah serta ada minat mendalam mengenai isu perundangan keluarga Islam serta menunjukkan perjuangannya dalam memastikan undang-undang berkenaan dilaksanakan dengan adil dan berkesan.

Perkara menarik mengenai peribadi Ahmad Ibrahim ialah istiqamah beliau dalam menjaga dan mengekalkan sahsiah Islam walaupun mendapat pendidikan Barat.

Beliau yang dilahirkan di Singapura pada 15 Mei 1916 dan meninggal dunia pada 17 April 1999 ternyata luar biasa serta menguasai semua bidang perundangan. Kegigihannya bekerja tidak pernah lupus sehingga hari-hari terakhir dalam hidupnya yang tetap bertugas seperti biasa walaupun sering diserang sesak nafas.

Ahmad Ibrahim meninggalkan jasa yang tidak ternilai dalam meletakkan asas Undang-Undang Islam tidak saja di Malaysia dan Singapura, malah di negara serantau seperti Indonesia dan Brunei. Beliau mempunyai wawasan hidup yang jelas terhadap tanggungjawabnya sebagai orang Islam dan ini dimanfaatkan sepenuhnya dalam setiap perkara yang dilakukan.

Mempunyai latar belakang mantap dari segi pendidikan, pendedahan beliau kepada pelbagai bidang profesion perundangan daripada pembantu undang-undang pada zaman penjajahan Jepun hingga ke ke jawatan Peguam Negara, selain menjadi pensyarah dan penulis aktif mengenai subjek perundangan.

Sumber: Berita Harian 12 September 2007

No comments: