Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 20, 2009

JE, Nipah virus maut daripada babi

Serangan wabak pada 1998 gemparkan negara apabila 100 dijangkiti, terbunuh

Operasi memusnahkan babi dijalankan di Bukit Pelanduk.

SEKITAR 1998, hampir seluruh penduduk di negara ini gempar apabila suatu virus maut misteri yang menyerang secara tiba-tiba menyebabkan seorang demi seorang penduduk yang sebelum itu sihat, akhirnya jatuh sakit sehingga menemui ajal. Virus misteri itu dikatakan berasal daripada babi dan dipindahkan haiwan berkenaan kepada manusia menerusi nyamuk 'Culex'.

Serangan permulaan virus yang akhirnya dikenali sebagai 'Japanese Encephalitis' (JE) itu menyebabkan lima pesakit meninggal dunia manakala 13 lagi terpaksa dimasukkan ke hospital kerana menderita akibat serangan berkenaan. Seorang daripada 18 pesakit berkenaan adalah pembeli babi manakala bakinya pemilik dan pekerja pusat ternakan babi serta anggota keluarga mereka. Menyedari natijah serangan yang mampu membawa maut, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap virus yang dikatakan bermula dari daerah Kinta, Perak.

Seramai 349 orang, terutama pekerja pusat ternakan babi di Tambun, Ulu Piah dan Ampang, di daerah itu selain penduduk kawasan sekitarnya mula diberikan suntikan imunisasi yang diimport dari Jepun bagi mencegah dijangkiti virus terbabit. Kementerian berkenaan juga melaksanakan kaedah menyembur asap untuk membunuh nyamuk Culex di kawasan sekitar dua kilometer persegi dari pusat ternakan babi di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, harapan supaya serangan virus misteri itu dapat dikekang sebaliknya mula bertukar menjadi mimpi ngeri - pada awal Januari 1999, virus maut itu dikesan merebak dari Perak ke Negeri Sembilan.

Kesannya, tiga pekerja ladang ternakan khinzir di Sikamat, Seremban, mati selepas dimasukkan ke Hospital Seremban (HS) pada minggu pertama Januari. Punca kematian dipercayai angkara JE.

Serangan virus berkenaan semakin menggila apabila ia mula menjangkiti ramai penduduk sehingga membuatkan keadaan negara ketika itu menjadi gempar. Jumlah angka korban meningkat kepada 31 penduduk menjelang pertengahan Mac.

Seramai 47 orang lagi dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), HS, Hospital Kuala Pilah, Hospital Universiti (HU), Hospital Melaka (HM) dan beberapa hospital swasta.

Menyedari punca jangkitan JE yang berasal daripada babi, kerajaan seterusnya mengerahkan 1,400 anggota tentera dan polis memusnahkan 64,000 babi secara bersepadu di tiga kawasan utama di Port Dickson.

Pasukan Bomba dan Penyelamat menggunakan helikopter untuk menyembur ubat nyamuk daripada udara, selain menyembur menggunakan kaedah biasa di kawasan terlindung.

Sebuah bilik operasi dibuka 24 jam di Jabatan Kesihatan Awam di Bukit Damansara untuk mengumpul maklumat semasa mengenai usaha menangani wabak itu.

Arahan serta suasana panik menyebabkan penduduk di Bukit Pelandok dan Kampung Baru Sungai Nipah di Lukut, dekat Seremban seolah-olah tidak berpenghuni apabila penduduknya bertindak meninggalkan kawasan berkenaan bagi menyelamatkan diri.

Penduduk yang masih berada di kawasan yang ada banyak ladang ternakan khinzir bertindak memakai pelbagai jenis topeng sebagai langkah keselamatan. Enam sekolah rendah terpaksa ditutup sementara berikutan serangan wabak JE di sekitar Bukit Pelandok.

Pada 20 Mac 1999, operasi memusnahkan babi di kawasan ternakan haiwan yang dilanda wabak JE di Negeri Sembilan, dilaksanakan membabitkan 2,308 anggota tentera dan polis.

Selama 10 hari, operasi menembak babi di Kampung Sungai Nipah, Kampung Sawah dan Bukit Pelandok itu dimulakan pada jam 8.30 pagi sehingga jam 5.30 petang dan jumlah babi yang perlu dimusnahkan meningkat kepada 311,000 berbanding jumlah asal 64,000 apabila lebih ramai penternak meminta kerajaan mengambil alih kerja pemusnahan ternakan mereka.

Anggota tentera yang terbabit dalam operasi itu digerakkan dalam 45 pasukan dan mereka memusnahkan kira-kira 35,000 babi sehari.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meneruskan semburan asap dan ubat jentik-jentik di kawasan yang terbabit dengan wabak JE bagi membunuh nyamuk Culex.

Sebanyak 105,383 kandang babi, 2,760 ladang dan 17,724 buah rumah di seluruh negara terbabit dalam kerja penyemburan asap oleh 132 pasukan bertugas.

Seramai 102 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat juga menjalankan kerja mengepam air daripada lubang yang digali untuk menanam babi.

Menjelang penghujung Mac 1999, dua lagi penternak dan seorang pekerja ladang babi dari Bukit Pelandok, mati di HU, dipercayai diserang wabak JE menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 52 orang.

Ketika itu juga, seramai 74 mangsa wabak itu sedang menjalani rawatan iaitu 38 orang di Seremban, HU (30), dan masing-masing dua di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Kuala Pilah dan Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur. Turut menjalani rawatan di HU ialah tiga pelajar berusia antara 13 dan 14 tahun.

Dalam pada itu, kajian saintis terhadap virus misteri yang ditemui pada lima daripada 30 mangsa JE mendapati virus itu tidak pernah wujud dalam katalog kajian dunia. Virus yang pertama kali ditemui di negara ini dipercayai mempunyai kaitan dengan virus Hendra yang pernah ditemui di Brisbane, Australia pada 1994.

Virus yang ditemui hasil kajian Jabatan Perubatan Mikrobiologi HU dengan bantuan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Atlanta, Amerika Syarikat, itu dipercayai mempunyai tanda-tanda yang sama dengan JE, tetapi ia tidak boleh merebak melalui gigitan nyamuk seperti JE.

Sebulan selepas itu iaitu pada April 1999, kerajaan mengumumkan nama virus seakan Hendra yang ditemui buat kali pertama di dunia itu sebagai ‘virus Nipah’ dan ia dinamakan sempena nama Kampung Baru Sungai Nipah, Port Dickson.

Kajian mendapati virus Nipah dan JE tergolong dalam viral encephalitis dan menggunakan kaedah rawatan yang sama kerana mempunyai simptom yang serupa seperti demam panas dan sakit kepala. Bagaimanapun, cara kedua-dua virus ini disebarkan berbeza. JE disebarkan melalui nyamuk Culex, manakala virus Nipah melalui cecair atau sentuhan babi.

Kerajaan juga bertindak mengedarkan risalah berhubung kaedah serangan virus Nipah yang merebak apabila seseorang tersentuh lendir daripada babi yang dijangkiti. Tidak lama selepas penemuan virus Nipah itu diumumkan, satu lagi kegemparan berlaku apabila virus berkenaan dikesan sudah menjangkau dari Negeri Sembilan ke Perak apabila seorang pesakit yang dimasukkan ke Hospital Fatimah disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Siasatan pihak berkuasa mendapati ramai pesakit terdedah kepada serangan virus berkenaan kerana pekerja ladang babi yang memasuki kawasan berisiko tinggi itu tidak memakai pakaian perlindungan diri bagi mengelakkan dijangkiti virus itu. Ada di antara mereka juga tidak melaporkan kepada pihak berkuasa jika ternakan mereka sakit atau menunjukkan kesan seperti dijangkiti virus Nipah.

Malah, ada penternak babi melanggar peraturan larangan membawa keluar babi daripada kawasan wabak dan pemotongan babi sehingga menyebabkan wabak terus menular ke negeri lain.

Ketika jumlah angka korban akibat dua virus berkenaan meningkat kepada 81 orang, kerajaan meneruskan usaha memusnahkan babi yang menjadi punca virus JE dan Nipah. Sehingga 19 April, sebanyak 640,500 babi sudah dimusnahkan dalam operasi besar-besaran yang dilakukan sekitar Bukit Pelandok, Lukut dan Seremban.

Seterusnya Operasi Fasa Kedua bagi mencegah wabak JE dan Nipah dilancarkan kerajaan pada 22 April membabitkan pemeriksaan ke atas 15,000 babi di 1,000 ladang seluruh negara.

Program Ujian dan Pemantauan Kebangsaan fasa kedua itu diadakan selama 90 hari membabitkan tiga peringkat, iaitu:

Pengawasan ke atas semua ladang ternakan babi untuk mengesan virus berkenaan membabitkan penubuhan pasukan pengambilan contoh darah di setiap Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) negeri; Pengawasan ke atas pusat pemotongan babi; dan Siasatan pantas serta pemeriksaan susulan terhadap babi yang dikenal pasti mempunyai penyakit seakan NE atau JE.

Pada 7 Mei, virus Nipah yang menyerang Negeri Sembilan dan Perak sebelum itu, dikesan mula menular ke Johor apabila ujian ke atas beberapa sampel darah babi daripada sebuah ladang di Seelong, Senai, didapati positif mengandungi virus bahaya itu.

Sehubungan itu, semua babi serta beberapa ekor anjing dan kucing di negeri itu dimusnahkan untuk memastikan virus itu tidak merebak ke ladang lain.

Hampir dua minggu kemudian, daerah Alor Gajah pula diisytiharkan kawasan pertama dilanda virus Nipah di Melaka selepas contoh darah yang diambil di empat ladang babi di daerah itu didapati positif.

Menjelang alaf baru iaitu tahun 2000, tidak banyak lagi kes baru membabitkan jangkitan virus JE dan Nipah yang dilaporkan.

Seramai 468 penternak babi di Bukit Pelandok juga menerima bayaran ihsan RM31 juta kerana ternakan mereka dimusnahkan dalam operasi besar-besaran sebelum itu. Bagaimanapun, pada Julai 2000, hampir 5,000 lagi babi yang dijangkiti virus Nipah ditembak di Perak dan Sarawak.

Di Sarawak, operasi membunuh semua 4,555 babi di dua ladang berasingan itu terpaksa dilakukan selepas dua pekerja ladang disahkan positif dijangkiti virus Nipah, setelah ujian darah dilakukan terhadap mereka.

Sementara itu di Taiping, Perak, 375 babi termasuk yang disahkan menghidap virus Nipah di sebuah ladang di Simpang Halt, Simpang, turut dimusnahkan.

Selepas itu, jarang lagi kedengaran kes kematian membabitkan virus Nipah dan JE yang dilaporkan.

Kini hampir 10 tahun berlalu, virus Nipah dan JE tercatat dalam sejarah hitam negara sebagai antara jangkitan wabak yang amat menggemparkan. Serangan virus itu menyebabkan lebih 100 orang terkorban termasuk kira-kira 30 kanak-kanak serta hampir satu juta babi terpaksa dibunuh bagi membendung penularan wabak berkenaan.


FAKTA: Virus JE

* Wabak Japanese Encephalitis (JE) dan virus Nipah menular di seluruh negara sekitar 1998 hingga 2000.

* Lebih 100 orang terkorban termasuk kira-kira 30 kanak-kanak.

* Bukit Pelanduk dan kawasan berdekatan ketika itu dipercayai ladang ternakan terbesar di Asia Tenggara dan menjadi pembekal utama bekalan babi terbesar Asia Tenggara.

* Penduduknya mengusahakan ternakan itu mengikut tradisi keluarga bermula 1950-an

* Antara faktor yang dikatakan menjadi punca wabak merebak adalah kelemahan sistem kumbahan di kawasan itu sehingga mencemarkan bukan saja penempatan terbabit, malah sungai dan parit berhampiran.

* Nyamuk Culex yang dikesan menjadi pembawa virus JE kebiasaannya aktif daripada jam 6 petang hingga 6.30 pagi.

* Virus Nipah pula merebak apabila seseorang itu menyentuh babi yang memiliki virus berkenaan.


Oleh Nasron Sira Rahim
Berita Minggu

No comments: