HUBUNGAN rapat antara Sambanthan dan Tunku Abdul Rahman dapat dilihat dari segi makanan kegemaran Perdana Menteri pertama negara yang terdiri daripada masakan India Selatan seperti nasi daun pisang, makanan berempah dan lain-lain.
RAMAI golongan remaja tidak tahu tentang tokoh negarawan ini yang turut bersama-sama Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman memerdekakan tanah air.
PERKONGSIAN hidup Toh Puan Umasundari Sambanthan, 79, dengan Tun V. T. Sambanthan berlangsung hanya selama 23 tahun.
Ini kerana pada usia 59 tahun dan 11 bulan, Sambanthan menghembuskan nafas terakhir pada 18 Mei 1979. Sudah hampir tiga dekad berlalu, segala kenangan manis dan pengorbanan yang dilakukan oleh suaminya masih terpahat dalam hati Uma bagaikan baru semalam waktu berlalu.
Di hati wanita yang berjiwa kental ini, Sambanthan adalah seorang insan yang sukar dicari ganti. Begitupun, Uma yakin sumbangan Sambanthan kepada rakyat jelata, masih kurang diketahui kalangan warga muda.
"Ramai golongan remaja tidak tahu tentang tokoh negarawan ini yang turut bersama-sama Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman memerdekakan tanah air. Malah beliau membawa banyak pembaharuan dalam parti pimpinan (MIC), selain mengubah nasib masyarakat India di kawasan ladang"
"Beliau bukan sahaja berjuang untuk kaum India. Ini kerana beliau sentiasa mengutamakan kesejahteraan negara secara menyeluruh. Negara ini seakan-akan keluarganya sendiri," ujar Uma yang menyatakan walaupun jurang perbezaan umur antara mereka berdua agak luas iaitu 10 tahun, namun Sambanthan sentiasa 'memimpinnya'.
"Biasanya suami akan memaksa isteri untuk mengikut cara mereka tetapi beliau sebaliknya. Sambanthan memberi ruang kepada saya untuk meluahkan perasaan dan berkongsi pendapat.
Saya secara perlahan-lahan mempelajari prinsip dan pegangan hidupnya sebelum kami bergerak secara berkumpulan."
Uma yang mempunyai latar belakang dalam bidang kimia dari Universiti Madras, India, mengakui menghadapi masalah menemani suami ke mesyuarat dan bersemuka dengan orang awam yang berpusu-pusu mengunjunginya. Daripada seorang pegawai kimia yang terperuk di makmal (pernah berkhidmat sebagai guru di Singapura), Uma perlahan-lahan berasa selesa menerima pelawat di rumah.
"Dengan ketiadaan suami yang seringkali sibuk di Kabinet, saya mendengar keluhan mereka dan cuba membantu meleraikan masalah. Tetapi sebelum itu semua, saya akan memasak dan pastikan mereka balik dengan perut yang kenyang," kata Uma dengan penuh semangat. Beliau juga menggalakkan pembabitan wanita di peringkat tinggi.
Sambanthan dilahirkan di Sungai Siput, Perak pada tahun 1919 dan mempunyai tiga orang adik-beradik iaitu V.M Sundram, V. Krishnan dan V. Saraswathy. Sambanthan mendapat pendidikan formal di Sekolah Tinggi Clifford, Kuala Kangsar, Perak sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di Universiti Annamalai, India.
Semasa berada di luar negara, Sambanthan telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap bidang politik. Beliau mengikuti secara dekat perkembangan Pergerakan India Kebangsaan yang ketika itu berjuang untuk membebaskan negara India daripada jajahan British. Tidak hairanlah juga apabila beliau menyertai sayap pemuda Kongres Kebangsaan India di negara itu.
Sekembali ke tanah air dan selepas kematian bapanya pada tahun 1942, Sambanthan mengambil alih tugas pengurusan perniagaan keluarganya dalam bidang penerokaan ladang getah. Peluang ini digunakan dengan sebaik mungkin untuk menjalinkan hubungan yang rapat dan mesra dengan penduduk setempat. Kemudahan sekolah dan keperluan lain disediakan bagi meningkatkan tahap hidup masyarakat yang masih ketinggalan.
Sekolah Tamil Mahatma Gandhi yang dibuka secara rasmi pada tahun 1954 di Sungai Siput, memperkasakan usahanya membantu meningkatkan mutu pendidikan kanak-kanak estet.
Melihat ketulusan hati dan keikhlasan yang ditunjukkannya, dengan serta-merta Sambanthan dilantik sebagai Lembaga Kaunselor Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Pada tahun yang sama juga, beliau dipilih sebagai majlis perundangan (ahli Parlimen) di kawasan Kinta Utara yang kemudiannya ditukar kepada kerusi Sungai Siput pada tahun 1959. Sebelum Sambanthan dilantik sebagai Presiden parti MIC atau Kongres India Malaysia pada 1955, MIC rata-ratanya mendapat sokongan daripada kumpulan elit India.
Sebaliknya, majoriti daripada penduduk India di Tanah Melayu ketika itu ialah kelas bawahan yang tidak menyertai parti memandangkan nasib dan masa depan mereka tidak dipedulikan.
Namun, selepas beberapa pusingan perbincangan dan perundingan, akhirnya Sambanthan dilantik sebagai presiden parti yang ke-5 dari tahun 1955 hingga 1973. Pelantikannya juga menarik lebih ramai penyertaan.
"Tunku dan Sambanthan mempunyai hubungan yang rapat sejak awal lagi. Malah, kedua-duanya berusaha untuk mewujudkan sebuah negara berbilang bangsa yang harmoni," jelas Uma yang masih tidak melupakan hari yang paling bersejarah dalam hidupnya iaitu pengisytiharan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.
Ketika berusia 27 tahun, Uma masih lagi teringatkan dirinya mengenakan sehelai sari berwarna putih dengan calitan warna merah pada penghujung kain. Sari ini juga begitu bermakna kerana ia adalah hadiah pemberian suaminya pada hari pertunangan.
"Saat itu cukup simbolik;satu permulaan kepada kebebasan daripada rejim kolonial, kebebasan berfikir dan kebebasan untuk memimpin negara kita sendiri," ujarnya yang berdiri di belakang Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bersama suami.
Uma dan suaminya juga tidak banyak bercakap kerana diselubungi rasa sebak melihat bendera Union Jack diturunkan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibar.
Atas dasar kepercayaan dan kebolehan, Tunku Abdul Rahman memberi portfolio penting kepada Sambanthan untuk menyandang jawatan penting dalam Kabinet. Antaranya ialah Menteri Buruh (1955-1957), Menteri Kesihatan (1957-1959) dan Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekomunikasi (1959-1971) dan akhirnya Menteri Perpaduan Kebangsaan (1972-1974).
Sambanthan juga menguatkan tahap ekonomi parti dengan menjual sebahagian daripada estet bapanya seluas 2.4 kilometer persegi di samping menyediakan perkhidmatan kewangan.
Salah satu sumbangan beliau yang terbesar ialah penubuhan Persatuan Koperasi Kewangan dan Tanah Kebangsaan (NLFCS) yang diasaskan bersama dengan K.R Somasundram pada tahun 1960. Menerusi NLFCS, buruh-buruh India di ladang getah diminta menyumbang sekurang-kurangnya RM10 untuk kebaikan masa depan. Estet pertama yang dibeli ialah di Bukit Sidim, Kedah.
Semasa Sambanthan meninggal dunia, NLFCS memiliki 18 buah estet dengan keluasan 120 kilometer persegi dan 85,000 ahli. Hari ini, koperasi itu mempunyai 19 estet dengan keluasan 142 kilometer persegi dan melabur dalam sektor perladangan kelapa sawit, hartanah dan perbankan. NLFCS juga adalah koperasi yang terbesar di Asia Tenggara.
Oleh SUBASHINI RAJANDRA
Kosmo!
No comments:
Post a Comment