Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 20, 2009

Hamdan hapus Paraku di Sarawak

Bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak saksi penyerahan diri ketua komunis, ahli

SEBELUM mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia pada 16 September 1963, Sarawak berdepan keadaan getir iaitu ancaman konfrontasi dari luar negara, manakala dalam negeri pihak komunis berusaha mempengaruhi orang ramai sehingga menjejaskan keadaan keselamatan.

Tetapi ada satu perkara yang menarik berlaku apabila Ketua Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) iaitu gerakan komunis paling berpengaruh di Sarawak ketika itu, Bong Kee Chok tiba-tiba keluar daripada persembunyian di hutan dan berkeliaran di pekan Simanggang (kini Sri Aman). Paraku adalah sayap angkatan bersenjata Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).

Perkara ini diceritakan oleh bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Tan Sri Hamdan Sirat, 87, yang dapat melihat dan merasai sendiri zaman kesengsaraan ketika konfrontasi Malaysia-Indonesia; ancaman bersenjata komunis; pergolakan politik yang berakhir dengan pembangunan berterusan sehingga kini dinikmati semua.

Sebagai orang nombor satu dalam pasukan polis di Sarawak (1969-1978), Hamdan sudah tentu menjadi sasaran komunis tetapi akhirnya beliau turut memainkan peranan melemah dan seterusnya menghapuskan saki baki komunis di Bumi Kenyalang.

Hamdan berkata, komunis di Bahagian Simanggang yang dipimpin Bong Kee Chok semakin lemah, sehinggakan ketua Paraku itu sendiri menghantar surat menerima tawaran menyerah diri kepada Ketua Menteri ketika itu, Datuk Abdul Rahman Yaakub (kini Tun dan bekas Yang Dipertua Negeri).

“Anehnya, belum pun kandungan surat itu dibincangkan dalam mesyuarat yang turut saya hadiri, pada 20 Oktober 1973, Bong bersama dua pengawal peribadinya keluar ke pekan Simanggang bertemu polis untuk meminta berjumpa sendiri dengan Tun Rahman. Ketika itu, Tun Abdul Rahman berada di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui Berita Harian di kediamannya di Demak, dekat Kuching.

Polis yang terkejut dengan kemunculan mendadak Bong kemudian menempatkannya di rumah rehat Simanggang dan menghubungi Abdul Rahman di ibu negara yang kemudian bergegas pulang dan terus ke Simanggang keesokan harinya untuk berunding.

“Tun Abdul Rahman berunding sepanjang malam sehingga awal pagi. Akhirnya (pihak komunis) bersetuju untuk menyerah diri beramai-ramai dengan meletak senjata dan mengikuti program pemulihan.

“Esok harinya, pada 21 Oktober (1973), perjanjian antara kerajaan negeri diwakili Tun Abdul Rahman dan Bong yang dikenali Pengisytiharan Sri Aman itu cukup bersejarah sehinggakan Bahagian Simanggang ditukar nama kepada Sri Aman,” katanya yang turut menyaksikan detik bersejarah itu.

Hamdan yang bersara pada 1978 berkata, Bong balik semula ke dalam hutan selepas perjanjian itu dan seminggu kemudian keluar bersama kumpulan kecil komunis, diikuti kumpulan lebih besar menyerah diri dengan membawa senjata.

“Dalam tempoh sebulan, lebih 250 pengikut Bong keluar menyerah diri di Sri Aman,” katanya dan perjanjian Bong dengan kerajaan negeri memberi tekanan kepada kumpulan komunis yang bergerak di Sibu, kawasan pertengahan Sarawak.

Beliau yang berpangkat Asisten Superintendan Polis selepas mengikuti kursus di London pada 1957, berkata Bong dipaksa ke Sibu untuk berbincang dan memujuk pemimpin komunis yang bergerak di situ menyerah diri.

“Pada mulanya, mereka berkeras dan perbincangan di kalangan pemimpin komunis Sibu dengan Bong menjadi panas sehingga pergaduhan berlaku. Bong memberi amaran supaya mereka keluar menyerah diri dalam tempoh 15 hari sekiranya tidak mahu diserang pasukan keselamatan.

“Akhirnya komunis di Sibu menyerah diri, keadaan keselamatan kembali pulih dan terkawal pada 1974,” katanya dan menyatakan bahawa ancaman komunis terus dilumpuhkan selepas perjanjian damai pada 1990.

Hamdan berkata, psikologi perang atau perang saraf termasuk risalah tawaran serah diri digunakan untuk melemahkan moral komunis sebelum itu dan ia mengambil masa agak lama untuk dilakukan. Ia menyebabkan ancaman komunis sentiasa wujud walaupun selepas Sarawak mencapai kemerdekaan.

Sebenarnya, kata Hamdan, selepas kebanyakan negara di Asia, Afrika termasuk Indonesia, Filipina dan Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, penduduk Sarawak turut mahukan kemerdekaan.

“Sebelum Gagasan Malaysia diutarakan Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, pemimpin tempatan sudah menubuhkan parti politik, malah sebelum 1960, sudah ada perhubungan antara pemimpin Sarawak bersama Sabah dan Brunei bagi memperoleh kemerdekaan dari British,” katanya.

Hamdan berkata, apabila Gagasan Malaysia diperkenalkan, orang Melayu Sarawak, Iban dan Melayu memberi sokongan penuh kerana ia mempercepatkan proses kemerdekaan.

“Sokongan penduduk Cina, tidak sekata, hanya satu parti politik iaitu Pertubuhan Cina Sarawak (SCA) menyokong penubuhan Malaysia, manakala Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) pada peringkat awal membantah,” katanya yang turut membawa wakil Tunku Abdul Rahman, Datuk Senu Abdul Rahman bertemu dengan pemimpin Melayu dan Iban bagi membincangkan Gagasan Malaysia.

Beliau berkata, ancaman pertama muncul selepas Suruhanjaya Cobbold mengadakan pungutan suara yang membolehkan penduduk Sabah dan Sarawak menyertai pembentukan Malaysia ialah bantahan daripada Indonesia, sehingga mencetuskan ancaman bersenjata.

“Pemberontakan Parti Rakyat Brunei (PRB) yang diketuai AM Azahari pada Disember 1962 turut membabitkan penduduk Sarawak di Limbang yang menyokong gerakan PRB itu, tetapi berjaya dipatahkan tentera British seminggu kemudian menyebabkan Azahari melarikan diri ke Indonesia.

“Ia menyemarakkan pengaruh Indonesia bagi menentang penubuhan Malaysia sehingga akhirnya pada 1965, berlaku konfrontasi antara Malaysia-Indonesia, yang turut menjejaskan rakyat negeri ini terutama di kawasan sempadan,” katanya yang membantu membentuk peninjau sempadan bagi mengumpul maklumat ketenteraan ketika kemuncak ancaman militer Indonesia.

Pada masa sama, menurut Hamdan, pengaruh komunis yang mendapat inspirasi dari kejayaan komunis di China, Russia dan Cuba, semakin mendapat tempat di kalangan penduduk bangsa Cina di kawasan luar bandar di Sarawak yang bersekolah Cina dan akhirnya membentuk Clandestine Communist Organisation (CCO).

Sebelum 1963, CCO hanya menjalankan kegiatan subversif, namun selepas pemberontakan PRB dan Azahari membentuk pasukan tentera Kalimantan Utara (NKA), pertubuhan komunis itu mengisytiharkan diri sebagai Parti Komunis Kalimantan Utara dengan tenteranya, Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku).

“Pada masa itu difikirkan, ada hubungan komunis (CCO dan PKKU) dengan Azahari. Namun dokumen yang diperoleh kemudian dari arkib komunis, tidak menyokong kenyataan itu,” katanya yang pernah menjawat jawatan Pemangku Yang Di-Pertua Negeri Sarawak selama dua kali pada 1 April 1982 dan 3 Mei 1983.

Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar

Berita Harian 17 September 2007

1 comment:

Anonymous said...

Alangkah baiknya jika dibunuh sahaja ketua komunis tu pada waktu itu. Sebab hujung-hujung komunis pun menyerah diri juga. Mungkin ribuan ekar tanah diberikan sebagai habuan untuk komunis tu. Jika tidak mana mungkinsemalaman tun rahman berunding dengan ki chok tu.