Dato’ Hj Salleh bin Mohd Hussein sewaktu melawat Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA), Raub Pahang pada 1 Februari 2007. Beliau juga pernah menjadi pengetua SEMESTA. Kini beliau adalah pengerusi kepada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), masih lagi berkaitan dengan dunia pendidikan.
Eureka : Assalamualaikum, cikgu.
Pengetua : Waalaikumsalam, sila duduk.
Eureka : Terima kasih. Tujuan kedatangan saya adalah untuk menemuramah cikgu dan saya harap cikgu tidak keberatan. Soalan pertama dari saya ialah bilakah cikgu dilahirkan? Di mana? Dan anak yang keberapa?
Pengetua : Terima kasih di atas kunjungan saudari. Saya dilahirkan di sebuah kampung yang terletak jauh dari bandar iaitu di Batu 16, Lambor Kanan, Bota pada 16 Februari 1957.
Eureka : Bagaimana dengan pendidikan awal cikgu di sana?
Pengetua : Pendidikan awal saya di sebuah sekolah umum di Lambor Kanan. Dulu sekolah umum tetapi sekarang sekolah kebangsaan.
Eureka : Boleh saya tahu apakah hobi cikgu di masa lapang?
Pengetua : (Sambil tersenyum) Sebagai seorang pendidik tentulah kegemaran saya membaca buku dan majalah, di samping itu juga saya amat gemar menyaksikan perlawanan bola sepak.
Eureka : Apakah cita-cita awal cikgu?
Pengetua : Cita-cita memang banyak dari awal, maklumlah masa kanak-kanak dulu nak jadi doktor, kapten tentera dan lain-lain. Akhirnya saya memilih sebagai pendidik setelah mendapat pendedahan daripada berbagai pihak.
Eureka : Bolehkah cikgu ceritakan pengalaman manis dan pahit secara ringkas ketika di bangku sekolah?
Pengetua : (Sambil merenung jauh ke luar jendela) Ya….!! Pengalaman memang banyak, saya berasal dari keluarga yang miskin pastinya banyak pengalaman pahit manis yang saya tempuhi. Saya pernah menumpang di rumah orang dengan keadaan yang serba kekurangan. Saya juga terpaksa berjalan kaki berbatu-batu untuk pergi ke sekolah. Sewaktu di tingkatan satu hingga tiga, saya tidak tinggal di asrama, saya tinggal di sebuah kampung di pinggir bandar Ipoh iaitu di rumah bapa saudara. Kadangkala apabila basikal saya rosak, saya terpaksa berjalan kaki berbatu-batu iaitu 6 hingga 7 batu, ikut jalan tepi Sungai Kinta. Saya tidak pernah berbelanja dan terpaksa memakai seluar basah ke sekolah kerana saya hanya mempunyai sehelai seluar sahaja. (Dengan wajah yang muram) satu peristiwa yang tidak dapat saya lupa ialah ketika saya hendak mengambil SPM, bapa saya terpaksa bekerja memecah batu di Cameron Highlands untuk mendapatkan wang peperiksaan. Bapa saya juga pernah memanjat bangunan kebajikan kerana hendak meminta bantuan untuk menyekolahkan saya, akhirnya berjaya masuk ke Tingkatan 6 di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Setelah mendapat keputusan yang baik dalam SPM akhirnya saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. (Dengan keadaan yang sedih menyandarkan badannya ke kerusi) malangnya………saya tidak dapat masuk ke universiti kerana keadaan keluarga……..adik-adik yang ingin bersekolah. Oleh kerana saya tidak mahu ayah saya menjual sawah, saya mengambil keputusan untuk bekerja. Setelah mengumpul wang……..saya memohon masuk ke universiti.
Eureka : Boleh cikgu ceritakan atau memberitahu cara-cara belajar yang berkesan?
Pengetua : Sebenarnya tidak ada satu cara pun tetapi berdasarkan daripada pengalaman……..ya! Adanya satu sistem belajar amat perlu. Di samping kita mahir sistem amat penting. Jadual yang dibuat haruslah dipatuhi. Cara belajar yang baik, secara individu dan kumpulan. Setiap kali belajar pastikan pen atau pensil serta kertas atau buku nota ada bersama, ini bertujuan untuk mencatat isi-isi penting. Membuat perbincangan dengan kawan-kawan dan berkongsi pendapat adalah amat baik. Untuk SPM kita hendaklah rajin menjawab soalan peperiksaan tahun-tahun yang lepas.
Eureka : Apakah harapan cikgu terhadap Sekolah Menengah Gunung Rapat? Apakah cikgu meletakkan satu harapan yang tinggi terhadap sekolah ini?
Pengetua : Harapan (sambil berfikir sejenak), saya tidak pernah meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap sekolah ini, walaupun saya ada menaruh harapan. Ianya terpulang kepada para pelajar untuk membentuk kemajuan diri sendiri. Saya berharap dan berdoa agar mereka berjaya. Kejayaan mereka adalah hadiah buat guru-guru.
Eureka : Baiklah cikgu oleh kerana masa tidak mengizinkan eloklah kita berhenti di sini. Saya doakan Insya Allah setiap apa yang cikgu inginkan akan tercapai. Terima kasih.
Pengetua : Sama-sama.
1 comment:
org dekat kg aku ripe nya.
Post a Comment