Mengamalkan bunga bermakna memerangi Allah dan Rasul
Amalan memakan riba atau mengenakan bunga dalam Islam adalah dilarang dan hukumnya haram.
“Hai orang yang beriman! Takutlah kepada Allah dan hindarkanlah perbuatan riba, jika kamu beriman. Maka jika kamu tidak menghentikan (perbuatan riba itu) ketahuilah Allah dan Rasulnya akan memerangi kamu. Dan jika kamu sudah berhenti (dari perbuatan itu dan taubat) maka bagimu soal (pokok) hartamu, tidaklah kamu menganiaya dan tidak pula teraniaya.” (Al-Baqarah : 278-279)
Bersandarkan firman Allah itu, bererti orang yang melakukan dan makan harta riba, bererti dia memerangi Allah dan Rasulnya.
Riba dibahagikan kepada empat jenis :
- Riba Fadhl (riba kerana lebih), iaitu menukar atau menjual dua barang sejenis dengan kadar yang tidak sama, umpamanya menjual RM1 kemudian membayar RM1.50 atau menjual 1kg beras kepada 1.5kg pula.
- Riba Qardh (riba kerana hutang), iaitu seseorang berhutang kepada seseorang dengan syarat dan perjanjian keuntungan atau kelebihan daripada yang dihutang itu.
- Riba Nasa’ (riba bertangguh membayar hutang), seperti orang berhutang RM100, dengan perjanjian dibayar pada waktu yang ditentukan dan apabila tidak ditepati waktunya jumlah hutang berdasarkan hari dan bulannya. Ia menyebabkan hutang itu semakin bertambah.
- Riba Yadh (riba kerana tiada timbang terima dalam akad), seperti menjual emas atau perak dengan perak.
Dalam perkembangan berkenaan Allah menyatakan menerusi firmannya :
“Hai orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba yang berlipat ganda. Takutlah kamu kepada Allah, semoga kamu beroleh kemenangan.” (Ali Imran : 130)
Sewaktu Rasulullah SAW Israk, Baginda diperlihatkan Allah betapa hebatnya seksaan kepada manusia yang mengamalkan perbuatan itu. Baginda diperlihatkan sekumpulan manusia yang perutnya membesar, mereka menanggung seksaan perit kerana perutnya diisikan dengan ular dan kala yang sentiasa menyengat dan menggigit mereka, sesungguhnya sangatlah pedih dan sakit. Keadaan mereka itu dijawab oleh Jibril, iaitu merekalah pemakan riba ketika hayatnya di dunia.
Larangan berkenaan bukan saja kepada individu tetapi mereka yang turut terbabit dalam perbuatan itu. Sabda Rasulullah yang bermaksud :
“Dikutuk (dilaknat) Rasulullah SAW akan orang yang memakan riba, orang yang berwakil padanya, penulisnya, pun dua saksinya (yang turut menyaksikan perjanjian yang menyebabkan riba itu).”
Jika ada individu yang ingin berhutang anggaplah kita membantunya dengan ikhlas tanpa perlu mengenakan sebarang kadar riba. Malah, hayatilah firman Allah yang bermaksud :
“Wang yang kamu berikan kepada orang dengan jalan riba (menaikkan kadar wang) supaya bertambah banyak dalam harta orang itu, maka tidaklah wang itu bertambah banyak di sisi Allah, tetapi zakat yang kamu berikan kepada orang kerana menurut perintah-Nya, itulah sebenarnya yang berlipat ganda”. (Ar Rum : 39)
Dipetik daripada ruangan Mimbar Harian Metro 28 Jun 2002
No comments:
Post a Comment