Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, April 9, 2009

Hukum salam bukan mahram

Soalan

Saya ingin bertanya hukum bersalam lelaki dengan perempuan yang sah nikah. Saya difahamkan terdapat pendapat mengatakan tidak haram malah dibolehkan dalam keadaan tertentu. Ia berdasarkan dalil baiah terhadap wanita terhadap Rasulullah SAW.

Jawapan

Tiada larangan khusus dalam perkara di atas. Ia bergantung kepada keadaan dan orang yang terbabit. Perbuatan bersalam yang diharamkan apabila ia membangkitkan syahwat dan mendatangkan fitnah. Sesetengah ulama mengharamkan bersalam antara lelaki dan perempuan atas dasar menutup sesuatu yang menjadi jalan kerosakan (sadd zara’i), iaitu seorang Islam diharamkan melakukan sesuatu pada awalnya halal, tetapi apabila dikerjakan ia mendatangkan bahaya atau pada kebiasaan boleh mendatangkan bahaya.

Mengenai baiah Rasulullah SAW dengan wanita, ada dua riwayat iaitu Rasulullah SAW bersalam dengan wanita dan riwayat yang lain Baginda meninggalkan perbuatan itu tetapi tidak dinyatakan sama ada ia haram, makruh atau lebih utama ditinggalkan. Saya bagaimanapun berpendapat adalah lebih baik untuk tidak bersalaman antara lelaki dan perempuan atau tidak memulainya.

Berdasarkan penjelasan Profesor Yusuf al-Qaradawi, hukum bersalaman antara lelaki dan perempuan bergantung kepada keadaan. Ia haram apabila menimbulkan syahwat dan mendatangkan fitnah. Menurutnya, ada ulama yang mengharamkan bersalaman antara lelaki dan perempuan atas dasar menutup jalan ke arah kerosakan. (Yusuf al-Qaradawi, 1993 : 291-302).

Dengan kata lain, mengelak daripada terjerumus kepada perkara haram seperti perhubungan bebas.

Dr. Abdul Salam Muhammad Shukri
Penolong Profesor Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Dipetik daripada ruangan Fikrah Dr. Salam, Harian Metro 28 Jun 2002

No comments: