Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, April 28, 2014

Vegetarian


Definisi vegetarianisme seperti yang dipetik daripada buku Why Vegetarian? A Beginner's Guide keluaran Persatuan Vegetarian Malaysia (MVS) adalah 'pemakanan seseorang tanpa melibatkan daging, ayam atau makanan laut sama ada bersama telur atau produk tenusu atau tidak'.

Berdasarkan kajian yang dijalankan Persatuan Perubatan Britain pada tahun 1986, pengamal vegetarian kurang risiko menghidap penyakit jantung, hipertensi, obesiti, diabetes, kanser, gangguan usus, buah pinggang dan osteoporosis.

Tanggapan bahawa amalan vegetarianisme mampu mengekang individu daripada diserang penyakit berbahaya ada wajarnya. Paling ketara adalah pengurangan lemak dalam makanan yang diperoleh memberi impak positif terhadap kesihatan insan vegetarian.

Namun, perlu diketahui, pengamal vegetarian juga berpotensi menjadi obesiti, kurang nutrisi dan penyakit lain jika diet yang dijalankan tidak betul caranya.

Pakar diet Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, Tan Yen Sing memberitahu, sekiranya makanan yang disediakan pengamal vegetarian masih mengandungi minyak dan kerap mengambil hidangan bergoreng, risiko mendapat diabetes masih tinggi, meskipun tiada daging yang diambil.

"Tidak bermakna apabila menjadi vegetarian, anda boleh mengabaikan faktor lain seperti penyediaan dan amaun makanan yang diambil. Vegetarian yang makan dalam kuantiti yang banyak atas alasan bagi mendapatkan tenaga juga berisiko berdepan masalah kesihatan.

"Sebaik-baiknya, seorang vegetarian merancang piramid makanannya agar setiap menu yang diambil memiliki zat secukupnya yang diperlukan badan.

"Diet vegetarian sebenarnya mampu membekalkan segala nutrien kepada tubuh seseorang. Kuncinya, mengambil beberapa jenis makanan pada amaun yang betul bagi menyamai keperluan kalori.

"Nutrien yang perlu dikumpulkan pengamal vegetarian adalah protein, zat besi, kalsium, zink dan vitamin B12. Pertamanya adalah protein, ia penting bagi tujuan tumbesaran dan pengawalan kesihatan.

"Sumber protein bagi vegetarian kebanyakannya datang daripada kekacang, produk kacang soya seperti tauhu dan tempe, produk tenusu dan telur." Jelas Yen Sing.

Tambah Yen Sing, mereka yang bercadang untuk menjadi vegetarian perlu melakukannya secara berperingkat. Dapatkan konsultasi daripada doktor atau pakar diet yang bertauliah dan jalani pemeriksaan kesihatan sebelum membuat keputusan.


Jenis-jenis vegetarian

1) Pescatarian: Mengambil makanan laut.

2) Lacto-ovo: Makan telur dan produk tenusu.

3) Lacto: Makan produk tenusu, tidak termasuk telur.

4) Ovo: Makan telur, tidak termasuk produk tenusu.

5) Vegan: Tidak makan produk tenusu, telur, madu atau sebarang produk haiwan termasuk barangan kulit, sutera, bulu biri-biri dan lain-lain.

6) Fruitarian - Makan buah dan kekacang tetapi tidak mengambil produk haiwan dan sayur-sayuran.

7) Makrobiotik - Makanan berasaskan bijirin termasuk sayur-sayuran.


Diet vegetarian

1) Bijirin: Nasi, jagung, gandum, oat, barli dan roti - kaya dengan protein, vitamin B dan zink.

2) Sayur: Vitamin C, beta karotina, zat besi, kalsium, fiber dan riboflavin.

3) Kekacang: Kacang kuda, soya, dhal dan lain-lain - protein, fiber, zat besi, kalsium, zink dan vitamin B.

4) Buah: Fiber, Vitamin C dan Beta Karotina.


Menurut Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Paduka Mahmood Zuhdi Abd. Majid, amalan vegetarianisme hanyalah budaya yang diamalkan oleh ramai orang yang juga pengikut pelbagai agama dan tidak salah jika dipraktikkan oleh Muslim.

"Ia sama seperti budaya pemakaian yang banyak diperkenalkan Barat. Orang Islam yang mengatakan amalan vegetarianisme sebagai haram adalah tidak betul. Ia hanya menjadi salah sekiranya pengamal beragama Islam itu mengikuti tertib spiritual yang dianjurkan oleh agama lain," ujar beliau.

Mahmood Zuhdi menambah, sebenarnya amalan vegetarianisme sangat berfaedah dari segi kesihatan dan umat Islam sangat digalakkan mencuba amalan tersebut memandangkan daging yang ada dalam pasaran pada masa kini mudah diragui kandungan dan kebersihannya.

sumber: Artikel Vegetarian boleh obes, Fahami konsep vegetarianisme, Kosmo! 17 Disember 2012.

No comments: