Hidup bermasyarakat
Kehidupan manusia di muka bumi ini tidak dapat lari dari hidup secara berjemaah atau dengan kata lain hidup bermasyarakat.
Apabila kita jauh dari sanak saudara dan ahli keluarga, maka orang yang paling hampir dengan kita ialah jiran tetangga atau sahabat handai yang tinggal berhampiran dengan kita.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 36 yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat dan orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takabur dan suka meninggi-ninggikan diri."
Berdasarkan ayat tersebut, dapat difahami bahawa melaksanakan tuntutan sosial sesama umat Islam adalah salah satu tuntutan dalam Islam dan ia merupakan salah satu cabang keimanan kita terhadap Allah SWT.
Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabda Baginda yang bermaksud:
"Sesiapa yang tidak mengambil berat di atas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada pagi hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredhai Allah." - Hadis Riwayat at-Tabarani
Islam adalah agama persaudaraan dan perpaduan. Dalam persaudaraan dan perpaduan terkandung nilai-nilai unggul seperti berbuat-baik, berkasih-sayang, hormat-menghormati, tolong-menolong, amanah, jujur, bertimbang-rasa dan sebagainya.
Maka nilai-nilai ini menjadi tunjang di dalam kehidupan bermasyarakat.
Justeru, tuntutan berbuat baik atau melakukan kebaikan tidak terbatas kepada ibu bapa, adik-beradik, ahli keluarga atau mereka yang ada pertalian darah dengan kita sahaja.
Bahkan kita dituntut berbuat baik atau melakukan kebajikan kepada kawan-kawan, jiran tetangga, mereka yang tidak kenali termasuk juga terhadap haiwan dan makhluk-makhluk yang lain.
Ibadah
Umat Islam mempunyai peluang yang amat luas untuk melipatgandakan pahala khususnya bagi mereka yang dikurniakan harta dan wang ringgit yang banyak.
Kerana itu, beruntunglah mereka yang diberi oleh Allah SWT kelebihan suka menolong orang lain dan membantu di dalam kerja-kerja kebajikan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain." - Hadis Riwayat al-Baihaqi.
Berdasarkan hadis tersebut, maka beruntunglah kita atau bagi sesiapa yang menjadi orang yang banyak memberi manfaat kepada sesama manusia, suka memberi bantuan dalam kerja-kerja kebajikan atau berusaha mengurangkan penderitaan terhadap musibah yang ditanggung oleh seseorang.
Oleh itu, yang jelas bagi kita semua, bahawa seruan amalan suka menolong dan membantu orang lain adalah termasuk di dalam amal ibadah, bahkan pahalanya lebih besar daripada beriktikaf di dalam masjid.
Ibnu Qayyim Rahimahu Allah menghuraikan hadis tersebut dengan menjelaskan bahawa sesiapa yang berbuat baik dengan orang lain, Allah akan berbuat baik kepada dirinya dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya dan sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, maka Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan bermuamalah dengannya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat.
Oleh yang demikian, banyakkan membantu atau menolong orang yang memerlukan bantuan kerana Allah.
Kukuhkan ukhwah
Semarakkan tuntutan tanggungjawab sosial terutama di tempat kediaman kerana sesungguhnya tersirat seribu rahsia dan hikmah di sebalik semangat tersebut.
Semoga hubungan yang baik dan semangat tolong menolong dapat mengukuhkan lagi ikatan ukhwah (persaudaraan) sesama Islam.
Terdapat beberapa pengajaran yang disimpulkan di sini iaitu:
- Menurut Sunnahtul Allah, manusia tidak boleh hidup bersendirian. Oleh sebab itu, manusia tidak dapat lari dari hidup bermasyarakat yang saling perlu-memerlukan dan saling bergantung antara satu sama lain.
- Masyarakat yang hidup saling tolong menolong dan hidup dalam suasana ukhwah akan hidup dalam keadaan aman dan sejahtera, makmur dan bahagia.
- Tuntutan menunaikan tanggungjawab sesama umat Islam atau melaksanakan hak mereka merupakan salah satu dari cabang iman. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan ini akan mendapat ganjaran pahala serta dikasihi Allah SWT dan Rasul.
- Semangat bantu-membantu dan hidup berkasih sayang serta bertolak ansur dapat membentuk perpaduan yang jitu. Di samping ia dapat menghindarkan dari anasir-anasir yang tidak sihat, perbuatan khianat, fitnah dan sebagainya yang boleh mengancam kehidupan masyarakat.
Renungilah firman Allah SWT di dalam surah Fusilat ayat 34 yang bermaksud:
"Dan tidaklah sama ( kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan yang jahat. Tolaklah ( kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, apabila engkau perlaku demikian maka orang-orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah sahabat karib."
- e-khutbah JAKIM
* Foto oleh Jain Mahmud
No comments:
Post a Comment