Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, March 24, 2014

Kisah Prof. Muhd. Kamil Ibrahim

Entri ini dicuplik daripada artikel Impian menetap di Madinah tercapai oleh Khadijah Mohamad Nor yang disiarkan di akhbar Kosmo! 15 November 2012.


"YA Allah Na, jika abang ada peluang mahu rasanya menetap di Mekah ataupun Madinah. Mana-mana pun abang tidak kisah. Kedua-dua tempat barakah. Hati jadi seronok, tenang dan damai. Insya-Allah, abang akan datang kembali untuk menetap di sini selepas Sofea berumur 20 tahun."

Itu bait-bait kata yang pernah terlontar daripada bibir Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim kepada adik perempuannya, Azlina sewaktu mereka sama-sama menunaikan ibadah haji kali pertama pada tahun 2006. Ketika itu, mereka dalam perjalanan pulang dari Masjidil Haram ke hotel.

Pelaksanaan rukun Islam kelima itu ternyata membawa kesan yang amat besar dalam hidupnya.

Ia merupakan impian 16 tahun ke hadapan. Kalimat yang terdetik daripada hati itu mendapat perkenan Yang Maha Esa. Empat tahun kemudian, Muhd. Kamil ditawarkan untuk berhijrah ke Madinah sebagai Profesor Perakaunan di Universiti Taibah.

Tawaran yang diperoleh melalui Dr. Adnan Alamasi selaku dekan universiti tersebut boleh diibarat sebagai hadiah paling bermakna buat Muhd. Kamil. Apatah lagi ia berlaku selepas keazaman untuk berhijrah ke jalan Allah pada usia melepasi 41 tahun.

"Secara zahirnya, pada usia tersebut saya sudah memiliki segala-galanya termasuk kerjaya, isteri dan empat zuriat sebagai pengikat kebahagiaan. Tetapi dalam konteks agama, saya manusia yang jahil.

"Saya tidak tahu membaca al-Quran melainkan hanya beberapa surah ringkas yang dihafal sejak kecil. Saya juga tidak pandai berdoa dalam bahasa Arab. Tidak hafal wirid selepas solat, tidak pandai membaca surah Yasin, tidak pandai bertahlil malah ayat Kursi pun tidak lancar.

"Perkara ini menjadi penyebab saya gagal khatam al-Quran. Amalan pula hanya menyentuh perkara wajib. Perkara-perkara sunat langsung diketepikan. Ia tiada dalam kamus diri,"
akui Muhd. Kamil, 48, tentang kehidupan lampaunya yang diabadikan dalam buku bertajuk Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman.

Bagaimanapun, kejayaan dalam pendidikan rasmi Muhd. Kamil agak berlawanan. Ketika di sekolah rendah, beliau berjaya menamatkan pelajaran dalam tempoh lima tahun dan muncul sebagai pelajar terbaik.

Begitu juga sewaktu mengikuti program diploma dan sarjana muda dalam bidang perakaunan, beliau bergelar pelajar terbaik dan kedua terbaik. Malah, anak kelahiran Besut, Terengganu itu berjaya menghabiskan pengajian di peringkat sarjana sebulan lebih awal manakala ijazah doktor falsafah (PhD) diperoleh dalam tempoh 32 bulan sekali gus mencatat rekod dalam sejarah Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tunaikan haji

Ia satu pencapaian yang boleh dibanggakan bagi sesetengah pihak. Namun, hidup terasa kosong.

Segala-galanya bermula ketika Allah membuka pintu hatinya untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2005. Ketika itu beliau berjaya dalam kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C di UiTM. Ia merupakan rekod pelantikan termuda dalam sejarah UiTM kerana Muhd. Kamil berusia 39 tahun ketika itu. Dalam kejauhan itu terselit kepahitan apabila beliau berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk difitnah ekoran keputusan tersebut.

Selepas menerima surat pelantikan rasmi sebagai seorang profesor beserta tunggakan melebihi puluhan ribu ringgit, Muhd. Kamil berkata pada isterinya, Raudzah Roslan atau lebih mesra dipanggil Roza: "Allah menunaikan permohonan abang. Abang solat hajat hampir setiap malam setahun yang lepas. Abang merayu. Abang minta profesor, Dia bagi jawatan ini, Dia bagi duit lagi. Ya Allah, abang tidak sepatutnya berhenti daripada melakukan perkara yang abang lakukan selama ini. Abang hendak pergi haji. Abang hendak bersyukur kepada-Nya."

Begitulah hidayah Allah, anugerah terindah yang dipancarkan ke dalam hati Muhd. Kamil sekali gus mengundang rasa insaf kepada dirinya.

Benar, perancangan Allah Maha Hebat. Walaupun baru mendaftar untuk menunaikan haji sekitar bulan Julai 2005, namun panggilan untuk menjadi tetamu Allah berjaya diperoleh bagi musim haji tahun 2006. Ia kelihatan ajaib kerana mengikut giliran yang diberikan Tabung Haji, Muhd. Kamil hanya boleh pergi pada tahun 2011.

Itulah yang dinamakan kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya hatta perancangan manusia itu sendiri. Rentetan daripada itu, maka bermulalah pengembaraan rohani dan jasmani Muhd. Kamil bersama isteri, kakak (Shalmiah) dan adiknya, Azlina.

Sesuatu yang kelihatan mustahil menjadi kenyataan. Beliau mula belajar al-Quran dengan Hafizi, seorang hafiz muda sebelum berangkat ke Tanah Suci. Dengan bantuan beberapa jemaah yang memperbetulkan bacaannya termasuk Azlina, beliau dapat khatam al-Quran di Masjidil Haram. Baginya, ia cukup istimewa walaupun dilakukan pada usia 42 tahun.

"Ya Allah, akhirnya aku khatam di Masjidil Haram. Di hadapan Kaabah. Di rumah Pencipta Yang Maha Berkuasa lagi Bijaksana. Ia cukup istimewa," catat Muhd. Kamil dalam bukunya itu.


Hijrah Muhd. Kamil

Hasil daripada ibadah yang dilakukan dengan penuh rasa tawaduk, ia membangkitkan keimanan yang mendalam terhadap kebesaran Allah.

Ditanya tentang pengertian hijrah, Muhd. Kamil menjelaskan hijrah baginya adalah melakukan perubahan supaya diri semakin hampir dengan Allah.

"Apabila hijrah kita semata-mata kerana Allah, kesannya kita akan hampir dengan Allah. Kita merasai betapa kehidupan ini terlalu singkat. Maka apa sahaja yang kita lakukan, bersandar kepada keinginan asas tersebut iaitu mahu menjadi manusia yang lebih baik disisi-Nya.

"Sehubungan itu, kita akan terjemahkan dalam kehidupan harian dengan menjadi manusia yang lebih kuat bekerja, tekun, disiplin dan tidak berkira. Malah, sifat-sifat buruk seperti dengki, khianat dan suka membuat fitnah tentu sekali terhakis,"
ujar Muhd. Kamil melalui temu bual melalui e-mel bersama Kosmo! baru-baru ini.

Apa yang pasti, individu yang paling terkesan dengan penghijrahan Muhd. Kamil ialah isterinya, Roza. Roza tidak pernah jemu berdoa agar pintu hati suaminya terbuka untuk menunaikan haji.

Bagi Roza, dia amat bersyukur apabila melihat saat-saat awal penghijrahan suami terutama ketika menzahirkan niat untuk ke Mekah.

"Itulah hadiah perkahwinan yang paling berharga untuk saya. Enam tahun saya berdoa dan bermunajat mengharapkan suami lembut hati untuk menunaikan haji. Alhamdulillah, ia diperkenankan Allah," jujur luahan Roza mengenai suaminya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 29 Julai 1989. Ketika itu Roza berusia 22 tahun dan Muhd. Kamil 25 tahun. Mereka berkenalan ketika belajar di UiTM, Terengganu. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Sara Fateha, 22; Ahmad Haris Azrai, 21; Ahmad Amirul Iran, 14 dan Farah Sofea, 9.

Muhd. Kamil dan Roza serta dua anak mereka, Amirul dan Sofea berangkat ke Madinah pada 7 September 2011. Roza yang merupakan mantan pensyarah di UiTM turut bertugas di Universiti Taibah sebagai pensyarah pengurusan. Kini sudah satu tahun dua bulan beliau menetap di Madinah.

Sepanjang berada di Madinah, Muhd. Kamil sebolehnya tidak meninggalkan solat jemaah lima waktu di Masjid Nabawi. Kehidupan di Madinah cukup istimewa kerana setiap minggu beliau mengadakan jamuan berbuka puasa untuk jemaah melalui sumbangan yang dihulurkan oleh pembaca blog Kehidupan Ringkas tapi Signifikan.


Info ringkas tentang Prof. Muhd. Kamil Ibrahim

Prof. Muhd. Kamil Ibrahim merupakan profesor perakaunan yang telah berkhidmat lebih 22 tahun di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau mendapat pendidikan di MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan; UiTM; University of Dundee, Scotland dan University of Wales, United Kingdom.

Prof. Muhd. Kamil juga merupakan seorang penulis dan penyelidik yang prolifik. Beliau sudah menghasilkan lebih 500 artikel yang disiarkan di dalam pelbagai media massa dan jurnal akademik.

Beliau gemar minum air zam-zam dan makan nasi putih berlaukkan ikan goreng.

Apabila berada di Masjid Nabawi, beliau suka mencari jemaah haji atau umrah yang duduk termenung dan menyandar di tiang-tiang masjid untuk memberi tazkirah percuma.

Beliau meninggalkan sukan golf sejak enam tahun lalu selepas menunaikan ibadah haji.


Bina masjid di Somalia.

Bermula dengan perbualan santai di ruang solat di bahagian belakang Masjid Nabawi tentang persoalan mahu membina rumah di syurga akhirnya membawa kepada satu cita-cita murni iaitu untuk mendirikan rumah Allah.

Itu yang berlaku kepada Prof. Dr. Muhamad Kamil Ibrahim apabila guru al-Qurannya, Walid seorang anak muda dari Somalia menceritakan kaedah yang boleh dilakukan untuk memperoleh ganjaran tersebut.

Menurut Walid, terdapat beberapa cara yang dinyatakan melalui hadis Rasulullah SAW bagaimana seseorang itu dapat membina rumahnya di surga kelak. Antaranya seperti mengamalkan solat sunat rawatib 12 rakaat iaitu dua rakaat sebelum Subuh, empat rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat selepas Zuhur, dua rakaat sebelum Asar dan dua rakaat selepas Isyak; membaca surah al-Ikhlas sebanyak 10 kali dan membina masjid.

"Daripada situlah timbulnya ilham untuk saya membina masjid. Tambahan pula selepas mengetahui niat murni Walid un tuk menubuhkan sebuah madrasah apabila pulang ke kampung halamannya di Galkayo, ibu kota wilayah Mudug, Somalia bagi menyebarkan ilmu Islam di sana.

"Apabila ditanya berapa kos pembinaan yang mungkin diperlukan, beliau memberitahu modal untuk membina masjid di Somalia adalah kira-kira AS$200,000 (RM610,000),"
terang Muhd. Kamil.

Bagaimanapun, tanpa sumber kewangan yang kukuh, Muhd. Kamil tahu ia satu perkara mustahil untuk dilaksanakan. Justeru, beliau menyerahkan segala-galanya kepada Allah.

"Akhirnya, saya digerakkan hati untuk mengajak khalayak pembaca blog Kehidupan Ringkas tapi Signifikan (KRTS) bersama-sama untuk merealisasi impian yang kelihatan mustahil. Lalu, saya menunggu hari Jumaat bersamaan 20 Januari 2012 untuk melancarkan Tabung Masjid KRTS.

"Alhamdulillah, selepas dua bulan dilancarkan, dana terkumpul sudah melebihi RM650,000. Ia menyebabkan pembinaan masjid yang sepatutnya dilaksanakan pada pertengahan 2014 telah bermula lebih awal iaitu pada Julai lalu. Kini, ia sudah 95 peratus siap,"
ujar Muhd. Kamil sambil tidak putus-putus mendoakan agar mereka yang menyumbang turut mempunyai rumah sendiri di syurga nanti.


Berdakwah melalui penulisan.

Meskipun Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim bukan seorang lulusan dalam bidang agama, beliau dikurniakan bakat menulis yang amat luar biasa daripada Allah hingga mampu menyentuh hati pembaca dengan gaya tulisan yang bersahaja.

Melalui blog Kehidupan Ringkas tapi Signifikan yang beralamat di www.muhdkamil.org, beliau banyak meluangkan masa untuk menulis mengenai pelbagai perkara yang dilalui dalam hidupnya.

"Saya sentiasa menulis ketika tidak buat apa-apa. Maksud saya, masa rehat, saya menulis. Tetapi jika isteri saya berkata, 'Yang, jom kita ke kedai,' saya akan terus berhenti menulis dan pergi. Senang cerita, isteri saya juga penulis. Jadi banyak yang boleh kami kongsi bersama.

"Setiap hari saya akan menulis di blog."
ujar Muhd. Kamil ketika ditanya tempoh masa yang diperuntukkan untuk menulis setiap hari.

Beliau sentiasa berdoa agar Allah terus memberinya ilham, melapangkan masa dan meminjamkan secalit ilmu-Nya yang bermanfaat.

"Setiap kali memulakan penulisan, saya sering terbayang bagaimana pandangan khalayak pembaca kepada apa yang ingin saya sampaikan. Soal riak, takbur, sombong dan angkuh sering menjadi pertimbangan yang menyukarkan keinginan untuk memulakan penulisan baharu.

"Saya benar-benar takut apa yang ditulis bukan ilmu bermanfaat sebaliknya menimbulkan lebih banyak fitnah berbanding niat sebenar,"
tutur beliau.

Buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman yang diterbitkan pada tahun 2007 nyata memberi impak yang besar terhadap siri penghijrahan Muhd. Kamil untuk terus berdakwah melalui penulisan. Rentetan daripada itu, beliau berterusan menghasilkan karya terbaik untuk dikongsi bersama masyarakat.

Antaranya termasuklah PhD kecil tapi Signifikan, Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok (2008), 50 Tip Motivasi Haji (2011) dan terbaharu Anekdot Madinah - Benar Dia Maha Mendengar yang sudah dihantar manuskrip ke pihak penerbitan.

Menurut Pengurus Penerbitan PTS Islamika Sdn. Bhd. (PTS), Imran Azmi, pertemuan pertama antara PTS dan Muhd. Kamil pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada bulan Jun 2007.

"Ketika itu, Prof membawa draf manuskrip beliau untuk dipertimbangkan pihak PTS. Kebetulan, Prof. bertemu dengan Pengerusi PTS sendiri, Ainon Mohd. yang memberi komen pertama: 'Saya suka buku ini.'

"Kami tidak menyangka pembetulan itu dibuat dalam masa terdekat. Sejak itu, Prof. terus berhubung dengan PTS sehingga buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman diterbitkan pada bulan Ramadan 1428H bersamaan September 2007. Buku tersebut dialncarkan secara rasminya pada 9 Oktober 2007,"
jelas Imran ketika dihubungi Kosmo!.

Keperibadian

Berdasarkan statistik, kesemua buku-buku Muhd. Kamil yang diterbitkan oleh PTS terjual melebihi 109,000 naskhak.

Ditanya tentang keperibadian Muhd. Kamil, Imran menyatakan: "Beliau seorang yang cukup mesra dan lemah-lembut. Meskipun menjawat jawatan Profesor, beliau tidak sombong dan tidak mempunyai protokol khusus. Beliau mudah didekati oleh sesiapa sahaja. Tetapi, beliau amat berdisiplin dan tegas dalam urusan rasmi."

Sejak berhijrah ke Madinah, Muhd. Kamil berjaya menyiapkan karya pertamanya di bumi yang menyimpan jasad insan teragung, Nabi Muhammad SAW iaitu Bersyukur Saat Diuji, sebuah naskhah istimewa untuk menyuntik jiwa menjadi insan yang lebih tahu mensyukuri segala nikmat kurniaan Ilahi.

"MKI mempelbagaikan kaedah untuk menyampaikan risalah kebaikan, keburukan dan ancaman. Saya terkesan dengan penyampaian syarahan, penulisan dalam blog dan penerbitan bahan bacaan.

"Ia dilakukan secara lemah-lembut, santai dan sangat berhemah,"
antara petikan yang diungkapkan Dr. Muhammad Faizal A. Ghani dari Universiti Malaya mengenai dakwah Muhd. Kamil melalui penulisan di dalam buku Bersyukur Saat Diuji.

Bagi Wan Mohd. Ghazali Wan Sulaiman, seorang usahawan dari Shah Alam pula menyatakan: "Membaca karya Profesor Muhd. Kamil membawa saya sehingga ke noktah terakhir. Seperti ada sesuatu memanggil-manggil saya meneruskan pembacaan sehingga tamat.

"Buku ini saya kelaskan sebagai buku agama moden yang berjaya mengubah landskap penyampaian ilmu. Bagi saya kunci kekuatan karya-karya MKI ialah ketulusan dan keikhlasan beliau yang mahu menyampaikan ilmu semata-mata kerana Allah. Ia sangat terasa."

No comments: