Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, January 2, 2014

Produktiviti rohani asas kekuatan diri


Aspek rohaniah amat penting dalam diri seorang Islam. Ia menghubungkan insan dengan KHALIQ atau PENCIPTA. Kedekatan diri insan dengan ALLAH menghasilkan rasa takwa yang tinggi. Orang-orang bertakwa menurut al-Quran adalah amat mulia disisi-NYA (inna aqra maqum ‘indallah hi atqaqum – Surah al-Hujurat: 13).

Faktor rohaniah menjadi sempadan hubungan manusia dengan alGhaib. Ilmu dan petunjuk ALLAH menerusi al-Quran menjadi suluh yang amat penting bagi memahami PENCIPTA dan hakikat penciptaan. Pencerahan akal budi insan sentiasa bertaut dengan keyakinan bahawa sesuatu yang ada dan terdapat adalah dicipta bukan sedia jadi atau semula jadi.

Manusia, alam ini, bumi yang diduduki, sumber rahmat dan nikmat yang sangat banyak dilimpahkan kepada insan dan makhluk adalah dicipta oleh-NYA. Rangkaian hubungan, silih gantian, keteraturan dan ketertiban perjalanan alam yang terjadi adalah ketentuan sunnah-NYA yang tidak mampu dikendalikan manusia kerana manusia itu sendiri itu dikendalikan oleh-NYA.

Dalam Surah al-Alaq ayat 2 – Khalaqal insan namin alaq memberikan landasan pemikiran dan hikmah yang sangat penting mengenai sumber kejadian dan penciptaan. Ia menjadi asas kepada ilmu embriologi yang bermula dengan cantuman kromosom X dan Y serta menghasilkan darah beku (alaqa).


Alaqa ini melalui proses membesar, membentuk- ditiupkan roh bagi menyempurnakan sifat jadinya insan. Al-Quran beri pedoman roh itu adalah milik dan ciptaan ALLAH dan pengetahuan manusia mengenainya amat sedikit.

Dengan roh membolehkan akal berfikir, hati merasa, daya berfungsi dan berperanan. Tanpa roh manusia akan mati dan roh itu akan kembali kepada pemiliknya. Hakikatnya manusia itu diciptakan dari tidak ada menjadi ada, dari ada menjadi tiada dan dari tiada akan menjadi ada semula.

Manusia hanya dituntut memiliki rasa syukur yang tinggi terhadap PENCIPTA. Hasil adanya akal membolehkan manusia berfikir tentang kebesaran ALLAH dan kekerdilan diri, menimbang baik-buruk sesuatu, dosa-pahala dan akhirnya melaksanakan amanah keadilan, kejujuran, keikhlasan, kebijaksanaan supaya kehidupan menjadi lebih tertib, teratur, sejahtera dan beradab.

Fikir umpamanya tidak sekadar suatu proses taakulan untuk mendapatkan data dan fakta. Fikir juga terhubung dengan zikir dalam erti kata luas. Bila disebutkan Allahuakbar dalam lafaz dan tasdik (membenarkan) ia bukan bermakna besarnya ALLAH itu yang disamakan dengan lautan, gunung-ganang, batu-batan atau seumpamanya. Ia boleh membawa kepada syirik. Tetapi kebesaran ALLAH itu merujuk mengenai kehidupan yang diberi dengan roh dipinjamkan, rahmat dan nikmat dilimpahkan, takdir terjadi di luar mampu manusia mengadakannya atau menciptanya.

Fikir dan zikir menjadi landasan perjalanan manusia untuk mengetahui berbagai cara dan pendekatan bagi membolehkan proses kefahaman dan penerimaan makna berlaku.

Penerimaan terhadap makna petanda proses keilmuan terjadi. Makna kebahagiaan tidak saja diukur dengan keselesaan dan keceriaan hidup, tetapi pancaran rohaniah yang membangun jiwa sakinah, keikhlasan dan daya ihsan yang teguh sebagai lambang ibadullah dan ibadur rahman.

Asas kehambaan (ibadullah) dan memiliki sifat kasih sayang (ibadur rahman) membolehkan manusia memiliki sifat taat, patuh, akur dan tunduk kepada PENCIPTA dan titah perintah-NYA supaya perjalanan hidup manusia sentiasa dalam tawaduk tinggi dengan menerima hakikat bahawa “Aku adalah hamba-NYA yang berperanan sebagai khalifah di muka bumi”.

Ia mendorong manusia melakukan terbaik dalam hidup ini supaya manfaat rohaniah yang tinggi dapat diterjemahkan dalam amalan dan perbuatan. Produktiviti rohaniah menjadi landasan amal yang tidak saja bersifat kedalaman, tetapi memancar keluar dalam amal dan perbuatan. Al-Quran memberikan penekanan jelas dalam Surah al Asr – Illallazi na’amanu waamilussaalihat – orang-orang beriman manifestasinya ialah amal soleh.

Produktiviti rohaniah amat dituntut agar ia menjadi sandaran suburnya amalan bersifat zahiri dan terlihat pada watak dan diri.

Oleh Prof. Datuk Dr. Sidek Baba, Sinar Harian 19 Januari 2012

No comments: