Pengikut dan Ex-smgrian
Friday, December 27, 2013
Produktiviti amaliah pancaran watak Islam
Produktiviti rohaniah adalah tunjang tertampilnya produktiviti amaliah.
Islam bukan sekadar suatu sistem kepercayaan (rohaniah) tetapi suatu cara hidup (amaliah). Pancaran rohaniah yang tinggi terlihat pada amal, watak dan peribadi - bakal membentuk dan mengendalikan sistem dengan baik. Inilah kekuatan dan keindahan Islam.
Isu yang sering berbangkit dalam kalangan penganut Islam ialah ritualnya tinggi, tahajud dan qiyamnya hebat, tetapi pancaran peribadi dan amal Islamnya tidak sehebat kekuatan rohaniahnya. Ia menyebabkan produktiviti amalnya menjadi rendah.
Pada hari ini kita mampu melahirkan para abid (ahli ibadah) yang tinggi rohaniahnya, tetapi kekuatan rohaniah itu tidak terpancar dalam penguasaan ilmu, keterampilan dan metodologi yang menyebabkan umat Islam terus menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain.
Justeru amat penting faktor rohaniah diolah agar faktor amaliah berjalan seiring. Jiwa rukuk dan sujud dalam solat tidak saja membawa hati dan diri khusyuk terhadap ALLAH, tetapi tanda aras terbaik dalam amal dan perlakuan. Kita menjadi orang yang menepati waktu, guna masa secara optimum, menghasilkan produktiviti yang tinggi, patuh dan taat terhadap pengurus dan pengurusan serta menghubungkan produktiviti kerja sebagai sumber ibadah.
Faktor rohaniah tidak saja beri kesan perubahan atau transformasi kepada diri, tetapi juga terhadap sistem. Konsep beribadah kerana ALLAH (ikhlas) terhubung langsung dengan hikmah untuk manusia. Kita melakukan solat sehingga hitam dahi memberi pertanda kehebatan jiwa rukuk dan sujud menjadikan kita hebat dalam ilmu, membina jiwa tadabbur, menghasilkan kaji selidik dan karya besar untuk menjadi pedoman dan bimbingan terhadap akal budi insan.
Rukuk dan sujud sebagai lambang ketaatan dan kepatuhan kita kepada ALLAH kerana ALLAH lah menjadi sumber pergantungan kita, al-Quran sumber petunjuk kita, Sunnah Rasulullah SAW sebagai sumber contoh dan akhirnya tertampil akhlak karimah dalam melakukan peranan terbaik untuk manusia dan sistem.
Kualiti insani ini bakal menghasilkan produktiviti amaliah yang tinggi dan mampu memberi manfaat kepada dirinya serta orang lain. Produktiviti rohaniah menjadi pemangkin terhadap produktiviti amaliah dan ia menjadikan maksud ibadah itu luas dan mencakupi.
Rasulullah SAW memberi landasan sangat penting dalam hadisnya iaitu apabila mati anak Adam, tiga perkara yang tinggal. Pertama, amal jariah; kedua, ilmu yang bermanfaat dan ketiga, anak soleh dan mendoakan kedua orang tuanya yang telah pergi. Maksud hadis ini amat rapat hubungannya dengan produktiviti amaliah - menghubungkan apa dilakukan semasa hidup dan kaitannya dengan yang telah pergi.
Amal jariah memberi maksud yang sangat luas - seperti melakukan kebaikan dalam hidup, membantu orang lain, menjadikan sistem dalam hidup hebat dan cemerlang - menjadi sumber penghubung kepada yang pergi.
Ilmu bermanfaat - selagi digunakan untuk manfaat diri dan orang lain, ia terhubung kepada pemberi ilmu yang telah pergi.
Lebih penting lagi meninggalkan anak yang soleh yang menjadi sumber kekuatan masyarakat dan sistem. Soleh dalam kepimpinan dan kepengikutan, soleh dalam ilmu dan amalan, soleh dalam dakwah dan tarbiah, soleh dalam perlakuan dan tindakan bakal memberi kesan terhadap yang telah pergi.
Oleh itu faktor pendidikan menjadi sesuatu amat utama. Sejak dalam perut ibu, lahir ke dunia, sehingga mumaiyiz dan akil baligh, dalam keluarga, di tahap persekolahan apa lagi di dalam masyarakat; pendidikan adalah amat penting supaya pembentukan ilmu dan watak kekal menjadi fitrah dan soleh dan mampu menyumbang kepada diri, keluarga, umat dan negara.
Inilah produktiviti amaliah yang amat dituntut untuk dilakukan supaya integriti umat Islam menjadi hebat dan dihormati. Kita tidak saja akhirnya menjadi pengguna kepada manfaat berbanding ilmu orang lain, tetapi penyumbang kepada kesejahteraan umat manusia.
Oleh Prof. Datuk Dr. Sidek Baba, Sinar Harian 26 Januari 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment