Sistem ekonomi Islam merupakan sistem yang sempurna kerana ia berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
Islam telah menetapkan garis panduan dalam kita mencari dan memiliki harta.
Ada harta yang menjadi hak individu dan hak umum kepada masyarakat.
Ada juga harta yang menjadi hak milik negara yang mana pihak pemerintah berhak memungut bayaran secara syari'e seperti cukai perolehan dan hasil pertanian, perdagangan dan aktiviti industri.
Hasil pungutan tersebut dibelanjakan untuk kemaslahatan negara dan rakyat.
Berdasarkan kepada sejarah Islam, sistem percukaian telah pun wujud contohnya dana untuk tadbir urus negara Islam Madinah banyak ditampung oleh sumber lain seperti:
- Jizyah iaitu cukai kepala kepada golongan bukan Islam
- Ghanimah iaitu harta rampasan perang
- Fi' iaitu harta rampasan perang Islam tanpa berlakunya pertempuran
Semasa era pemerintahan Saidina Umar al-Khattab R.A. beliau telah mengenakan cukai perniagaan sebanyak 10% yang dipanggil 'Usyur kepada peniaga kafir harbi, 5% kepada peniaga kafir dhimmi dan 2.5% kepada peniaga Muslim.
Pengurangan cukai diberikan kepada peniaga Islam kerana mereka sudah mempunyai tanggungjawab membayar zakat perniagaan pada kadar tertentu.
Mekanisme cukai yang dibuat ini tidak lain adalah untuk menampung perbelanjaan negara Islam yang semakin mendesak.
Pengambilan harta secara cukai yang dipungut oleh pemerintah adalah dibenarkan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 41 yang bermaksud:
"Pergilah kamu (untuk berperang), dalam keadaan ringan atau berat; dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."
Di Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berperanan untuk memungut hasil negara dan membantu pihak pemerintah dalam hal berkaitan kastam dan duti negara.
Pihak Kastam telah memastikan pungutan cukai dan duti kastam tepat, cekap dan berkesan sesuai dengan perkembangan dasar dan strategi percukaian negara.
Pihak Kastam juga membantu melaksanakan dasar pembangunan perindustrian dan aktiviti ekonomi negara dalam memudahkan urusan perdagangan, perindustrian serta kerjasama serantau dan antarabangsa, serta mempertingkatkan aktiviti mencegah kegiatan penyeludupan barang import dan eksport yang bertentangan dengan kepentingan negara dari segi keselamatan dan perlindungan sosial.
Sebagai warganegara pula, apabila kita membayar cukai, hasil bayaran tersebut dapat diagih dan digunakan untuk memenuhi keperluan asas rakyat seperti makanan, pakaian dan membantu golongan fakir dan miskin, membiayai kebajikan rakyat yang memerlukan, menyedia dan melengkapkan kemudahan awam seperti jalan raya, hospital, masjid, sekolah dan seumpamanya.
Cukai yang dibayar juga boleh memulih sesuatu situasi selepas rakyat ditimpa bencana seperti banjir, ribut taufan, gempa bumi, tanah runtuh dan juga sebagai keperluan jihad di jalan Allah SWT.
Membayar cukai sangat berkait rapat dengan sikap amanah. Sifat amanah dilihat sebagai satu kontrak yang membuktikan semangat tolong menolong, kasih sayang dan ketinggian iman seseorang antara mereka yang mampu dengan yang tidak berkemampuan.
Mengelak diri dengan tidak membayar cukai merupakan ancaman terhadap ekonomi dan keselamatan negara, malah kredibiliti kerajaan yang memerintah akan menjadi lemah disebabkan oleh gejala negatif tersebut.
Pesan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan kesan mereka yang tidak membayar hutang sebagaimana sabdanya:
"Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya."
Renungi juga firman Allah SWT di dalam surah an-Nuur ayat 33 yang bermaksud:
"Dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu. Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan barang sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah sesudah paksaan mereka itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment