Kemerdekaan berdasarkan kepada pandangan Islam pula ialah sebuah bangsa atau umat manusia itu bebas untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT, bebas daripada kezaliman kepada keadilan dan bebas dari kejahilan kepada berilmu.
Berdasarkan kepada pengertian tersebut dapatlah dinyatakan bahawa agama Islam melihat kemerdekaan meliputi soal kenegaraan dan masyarakat.
Sekiranya masyarakat masih lagi terbelenggu dengan pelbagai masalah, dikuasai pemikiran dan cara hidup, ia sebenarnya masih lagi belum merdeka.
Seorang sahabat iaitu Rubi' bin A'mir pernah menjelaskan ketika bertemu panglima tentera Rom yang bernama Rustum tentang hakikat kemerdekaan dengan katanya yang bermaksud:
"Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam) untuk kami merdekakan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."
Bersyukurlah dengan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar nikmat ini terus berkekalan dan kemakmuran negara akan sentiasa bertambah dengan pengisian-pengisian yang diredhai Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud:
"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku tambahi nikmatku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras."
Namun, persoalan besar timbul di sini bagaimanakah kemerdekaan dapat dikekalkan di negara ini?
Semangat jati diri merupakan asas kepada kemerdekaan.
Secara ringkasnya, sifat jati diri sangat berkaitan dengan nilai patriotisme yang boleh ditakrifkan sebagai perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.
Begitu juga jika ditinjau dari sudut pandangan Islam, ianya boleh dihubungkait dengan sifat cintakan tanah air.
Jati diri bukanlah satu ideologi. Ia merupakan satu semangat dan gagasan dalam mendidik jiwa agar mempunyai semangat mencintai kehidupan dan tanah air.
Dalam semua aspek, umat manusia perlulah membina semangat jati diri kerana ianya menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat.
Agama Islam sebenarnya telah menggariskan dengan jelas tentang jati diri khususnya berhubung kait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan dan maruah negara.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:
"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya."
Bagi memungkinkan nilai jati diri ini berkembang, unsur yang utama perlu ada dalam diri kita ialah sikap saling berkorban dan tidak mementingkan diri sendiri.
Walaupun rakyat di negara kita dalam pelbagai bangsa dan agama, namun setiap daripada kita hendaklah bertanggungjawab dan sentiasa bersedia serta sanggup mengorbankan kepentingan diri demi negara yang kita cintai, tidak mempertikai apa yang telah dipersetujui bersama dan menerima apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Umat Islam hari ini seolah-olah hilang panduan dan pedoman untuk membezakan mana yang benar dan mana yang salah, mana yang palsu dan mana yang tulen.
Inilah permainan minda dan persepsi yang sedang dijalankan oleh musuh untuk mengelirukan umat Islam.
Apabila umat Islam hilang pegangannya, rapuh pedomannya dan hilang sensitivitinya pada agama Islam, inilah saat yang dinanti-nantikan oleh musuh Islam.
Pelbagai cara sedang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan jati diri ummah di antaranya melalui pembohongan fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun akidah sama ada melalui media massa, internet, facebook, email, SMS dan sebagainya.
Penjajahan minda di bawah inovasi baharu yang canggih menjadikan ruang sosial tidak mempunyai sempadan lagi. Segala maklumat memenuhi ruang tanpa kawalan dan pemantauan yang berkesan.
Proses pendemokrasian maklumat ini berjalan begitu pantas dan sebenarnya media massa mempunyai pengaruh yang besar dalam mencanai pemikiran rakyat.
Serangan musuh Islam ini hampir berjaya, sehinggakan pada hari ini kita sedang mengalami suatu ketidaktentuan dalam masyarakat yang kita tidak pasti apakah puncanya sehingga umat Islam dicabar jiwa dan jati dirinya.
Penghinaan kepada umat Islam secara berterusan seperti memperlekehkan hak-hak eksklusif ummah seperti kalimah Allah, masjid dan sebagainya, mempersendakan ibadah umat Islam seperti menghina bulan Ramadan dengan hidangan binatang yang haram di sisi Islam dan yang paling malang lagi ada yang sanggup menghina Rasulullah SAW.
Kita juga dihidangkan dengan isu-isu sosial yang tiada kesudahannya seperti isu remaja, pembunuhan, rompakan dan sebagainya.
Sebagai umat Islam, menjadi kewajipan kita untuk meletakkan kepentingan agama dan akidah di tempat yang teratas.
Segala perkara yang merosakkan agama dan akidah wajib dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras.
Umat Islam yang menjaga agama akan menjadi seorang yang berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral.
Mereka yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya, dan tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya.
Justeru, sebagai umat Islam yang mempunyai jati diri, cintakan agama, bangsa dan negara, diseru agar bersatu padu dalam menangani isu-isu ini.
Perpecahan berdasarkan ketaksuban dan fahaman kepartian yang sempit sebenarnya akan merugikan ummah itu sendiri bahkan akan terus melemahkan ummah sehingga tidak lagi dihormati oleh mereka yang bukan Islam.
Cukup-cukuplah kita membicarakan tentang parti mana yang bagus dan pemimpin mana yang bersih kerana ia pasti tidak akan berkesudahan.
Di masa ini, perpaduan antara kita mestilah menjadi agenda utama demi memastikan Islam sebagai agama rasmi negara dipertahankan.
Umat Islam hendaklah sama-sama berganding bahu, bersatu padu, merapatkan saf dan mengeratkan perpaduan agar apa jua usaha musuh Islam untuk mengugat keharmonian dan keamanan negara dapat digagalkan.
Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar.
Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 160 yang bermaksud:
"Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri."
Adalah wajar bagi kita sebagai rakyat dan warganegara Malaysia untuk mengenang kembali segala pengorbanan dan susah payah para pejuang negara yang telah berjasa kepada agama, bangsa dan negara.
Kita perlu sedar bahawa perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai sekali pun kita pada hari ini tidak lagi dijajah secara fizikal. Masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan.
Kemerdekaan yang dikecapi lebih empat dekad yang lalu perlulah diisi dengan pembangunan dari segenap aspek sama ada fizikal, mental dan spiritual dan dibangunkan dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa.
Kita sebagai rakyat tidak boleh berpeluk tubuh dan berasa puas hati dengan apa yang dikecapi selama ini.
Janganlah kita menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan sebagai satu cuti umum sahaja ataupun sebagai satu pesta untuk bersuka ria. Sebaliknya bagi memulakan agenda besar ini, marilah sama-sama kita mengisi Hari Kemerdekaan dengan nilai keimanan dan ketaqwaan yang sejati.
Melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada kita dengan sepenuhnya kerana ianya sebahagian daripada syahadah dan ikrar kita kepada Allah SWT.
Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita meyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak.
Generasi muda perlu menyelami erti kemerdekaan dengan menjadikan pengorbanan generasi terdahulu sebagai inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju.
Kenanglah tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Leftenan Adnan, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan lain-lain lagi.
Bayangkanlah suasana di zaman mereka yang penuh dengan ancaman, jerih-perih, susah-payah namun tetap mereka teruskan perjuangan walau dengan air mata, keringat dan darah demi untuk mendapatkan sebuah kemerdekaan.
Mereka ini sanggup menggadaikan nyawa semata-mata mahu memerdekakan negara ini dari penjajah sehingga orang Melayu mampu mentadbir sendiri negara ini dan terus mampu untuk memelihara kesucian Islam.
Inilah semangat keramat yang dimiliki pejuang yang terdahulu, perjuangan yang ikhlas untuk bangsa, agama dan tanah air tercinta.
Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-'Araf ayat 96 yang bermaksud:
"Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment