Celik di dunia
Ramai manusia yang diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik dan boleh melihat dengan sempurna.
Bagaimanapun, di akhirat nanti, ramai daripada mereka yang celik di dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan buta.
Kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian?
Jawapannya ialah kerana mereka ini berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan aturan-aturan Allah, melakukan maksiat, membuat dosa-dosa besar dan menzalimi orang lain.
Mata mereka juga tidak digunakan untuk melihat kebenaran sebaliknya digunakan untuk melihat kebatilan.
Akibatnya, hidup mereka di dunia disempitkan, tidak tenang, menderita dan sering ditimpa musibah.
Di akhirat pula, mereka akan menjadi buta sebagai balasan keengkaran semasa di dunia.
Firman Allah SWT di dalam surah Taha ayat 124 - 125 yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik?."
Bayangkan betapa azabnya golongan ahli neraka yang diseksa fizikalnya dengan seksaan yang dahsyat, ditambah pula dengan mata yang dibutakan, tidak dapat melihat kawasan sekeliling.
Ini adalah satu bentuk seksaan spiritual yang amat dahsyat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang engkar.
Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 106 - 107 yang bermaksud:
"Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (sepaerti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya."
Buta di akhirat
Sebagai seorang Islam kita mestilah bijak melayarkan bahtera kehidupan ke arah yang benar mengikut petunjuk yang telah digariskan oleh al-Quran dan al-Hadis.
Bukan mengikut hawa nafsu atau kepentingan diri dan lebih malang lagi jika sanggup tunduk dan mengikut kehendak musuh Islam.
Di dalam menuju akhirat kita hendaklah mencari dan mengumpul seberapa banyak bekalan pahala dan kebajikan semasa hidup di dunia.
Sebagaimana pesan Saidina Ali RA:
"Seharusnya manusia yang berakal tidak bersungguh-sungguh melainkan dalam tiga perkara: Berusaha untuk keperluan hidupnya, beramal untuk hari kemudian dan bersuka-suka di dalam perkara yang tidak haram."
Perbuatan kita semasa di dunia menentukan kedudukan kita di sisi Allah SWT di akhirat dan begitulah sebaliknya.
Jika kita benar-benar taat dan akrab di dunia dengan Allah SWT, maka di akhirat pastinya Allah SWT akan mendampingi kita.
Seorang sahabat Nabi yang bernama Samurah bin Jundab pernah berkata:
"Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah SWT, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya. Barangsiapa yang menghormati perintah Allah, lalu bersegera melakukannya, menjauhkan diri daripada larangan Allah, juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, maka kedudukan di sisi Allah pun terhormat."
Satu riwayat menceritakan bahawa suatu hari tiga orang lelaki berjalan di depan masjid ketika Rasulullah SAW sedang berceramah menyampaikan wahyu Allah SWT kepada manusia.
Salah seorang daripada tiga orang itu berjalan begitu sahaja, dia tidak tertarik untuk mendengar apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW sementara dua orang lagi memutuskan untuk singgah, mendatangi majlis Nabi SAW.
Salah seorang dari mereka telah memilih tempat kosong di celah-celah majlis dan seorang lagi memilih untuk duduk di belakang.
Apabila selesai daripada ceramah, Rasulullah SAW bersabda:
"Mahukah aku beritahu perihal ketiga-tiga orang ini? Salah satu daripada mereka datang kepada Allah SWT, maka Allah SWT menyambutnya. Salah seorang merasa malu-malu, maka Allah pun malu kepadanya. Adapun seorang yang berpaling daripada Allah SWT, maka Allah berpaling daripadanya." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Segala amalan kita di dunia ini akan dibentangkan di akhirat, tidak terkecuali walaupun ianya sekecil zarah.
Pada ketika itu kita akan melihat segala amalan semasa hidup ini dalam suratan amal, ada yang berpahala, ada juga yang berdosa.
Mereka yang berdosa itu akan merasa takut dengan keadaan sedemikian.
Janganlah demi untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati, kita sanggup melakukan tindakan yang ternyata boleh mendatangkan musibah pada bangsa dan agama serta mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 49 yang bermaksud:
"Dan Kitab-kitab Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya. dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun."
Bahaya lidah dan mata
Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak.
Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh perlanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda.
Dalam banyak-banyak anggota, lidah dan mata paling banyak kesalahan yang melibatkan sesama manusia.
Mata jika tidak dihalakan kepada kebaikan yang melibatkan ianya akan mendatangkan kemaksiatan dan dosa lidah dan mata boleh menyebabkan seseorang itu menerima azab di akhirat.
Hujatul Islam Imam al-Ghazali pernah berkata:
Menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan.
Walaupun sewarak mana seseorang itu, banyak solat, puasa akan tetapi apabila tidak mampu menjaga lidah dan akhlaknya dari memfitnah, berbohong, hasad dengki dan dendam, pasti dia akan tergolong dalam golongan orang yang rugi.
Untuk hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melalui lidah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih bersopan.
Sikap tidak menjaga lidah bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama manusia yang mengakibat keadaan menjadi huru hara dan kacau bilau.
Berkatalah perkara yang benar dengan penuh keberanian walaupun ianya sangat pahit untuk ditelan lebih-lebih lagi jika kita sebagai pemimpin kerana ianya menggambarkan pendirian dan sikap kita sebagai seorang yang beriman.
Berwaspadalah kita akan setiap tutur kata kerana bahayanya lidah bukannya hanya pada individu tertentu tetapi kesannya juga boleh meruntuhkan sesebuah negara dan bangsa.
Menghitung diri
Marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita ini sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak?
Adakah segala amalan kita di dunia ini dijamin pahala di akhirat?
Segala amalan kita akan diperhitungkan sama ada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
Setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid.
Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata yang boleh membangkitkan kebencian kepada individu tertentu, prasangka buruk serta bercakap bohong.
Setiap apa yang diucapkan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Hanya perkataan-perkataan yang diredhai Allah akan dicatat, manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 - 8 yang bermaksud:
"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!"
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment