Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, August 13, 2013

Sikap positif penentu kejayaan


Sebagai umat Islam, kita dituntut agar sentiasa bersikap positif dan bersabar, bersemangat waja dan tidak mudah berputus asa.

Segala dugaan kehidupan adalah fitrah dan lumrah kehidupan yang juga merupakan ujian daripada Allah SWT kepada kita sama ada kita ini hamba-Nya yang terbaik dari segi amal ibadah di dunia.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud:

"Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun."

Salah satu daripada sifat yang sewajarnya bagi diri manusia untuk mencipta kejayaan dalam hidupnya adalah dengan berfikiran positif.

Apakah yang dimaksudkan dengan berfikiran positif?

Secara ringkasnya, berfikiran positif ialah sikap seseorang yang sentiasa memandang sesuatu situasi itu dengan prasangka baik.

Agama Islam amat menganjurkan umatnya supaya berfikiran positif di dalam kehidupan berbanding berfikiran negatif yang seringkali berprasangka buruk dan tercela.

Sikap prasangka baik memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang manusia.

Amatlah tepat dengan pesanan Rasulullah SAW yang menyanjungi seorang mukmin yang berfikiran positif dalam segala aspek kehidupannya.

Bahkan itulah sikap dan ciri mukmin yang sejati sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Apabila seseorang mukmin itu memperoleh kebaikan, dia terus bersyukur kepada Allah dan itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya." - Hadis Riwayat Muslim

Berdasarkan hadis ini tergambar dengan jelas ciri-ciri mukmin yang sebenar.


Bukan sahaja dia sabar dan tabah menghadapi segala mehnah dan tribulasi, bahkan dia juga dianggap kalis dengan segala cabaran demi cabaran serta terus fokus dengan matlamat utamanya dalam kehidupan iaitu mencari keredhaan Allah SWT kerana redha Allah Taala yang didambakan dan dihajati dalam hidupnya.

Seandainya setiap daripada kita menghayati dan mengamalkan seruan Rasulullah SAW ini, insya Allah segala permasalahan di dalam hidup kita akan kita lalui dan hadapi dengan tenang dan mudah.

Tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan.

Umat Islam akan terus menuju kepada matlamat untuk mencapai sebanyak mungkin kejayaan demi kejayaan.

Justeru, tanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jati diri yang positif yang wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim."

Jika tiada lagi berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan, umat Islam akan terus menerajui tamadun dunia.


Sehubungan dengan itu, kita perlu mempelajari sikap positif dari para sahabat Rasulullah, antaranya ialah:
  1. Jelas matlamat hidup dan kehidupan ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
  2. Tegas berpegang dengan prinsip akidah dan syariah tetapi tidak melampau dan melulu yang dirangsang oleh emosi.
  3. Memiliki semangat juang yang tinggi dan berani menghadapi risiko melalui perjuangan misi sebagai mukmin.
  4. Tidak melupakan dunia namun tidak pula hanyut dengan keindahannya.
  5. Berakhlak mulia dan beristiqamah walaupun diuji.
  6. Berani membuat perubahan ke atas diri sendiri apabila ia mendapatkan kebaikan.

Kita adalah sebaik-baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Kekalkan perpaduan dan keamanan yang telah dianugerahkan Allah SWT terutamanya ke arah perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan pentadbiran negara.

Jauhilah segala perkara dan perbuatan yang boleh menjerumuskan diri kita ke arah kebinasaan.


Bersyukurlah dengan nikmat keamanan dan keharmonian negara yang kita kecapi di sepanjang kehidupan ini.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud:

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: