Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, August 5, 2013

Anugerah malam al-Qadar


Bulan Ramadan, al-Quran dan malam al-Qadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Di antaranya ialah firman Allah SWT di dalam surah al-Qadar yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Qur'an) ini pada Malam Laitatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Para ulama antaranya Syeikh Dr. Yusof al-Qaradawi menyebut bahawa tarikh malam Lailatul Qadar sengaja disembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya.

Ia adalah satu anugerah Allah SWT kepada umat Muhammad SAW yang tidak ternilai fadilatnya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:

"Cari malam Lailatul al-Qadr di malam ganjil 10 hari terakhir bulan Ramadhan." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sepuluh malam akhir Ramadan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu.

Pada sepuluh malam yang terakhir inilah terdapat malam al-Qadar atau Lailatul Qadar yang begitu istimewa sekali fadilatnya dan amalan pada malam itu lebih baik dari seribu bulan.

Ia juga merupakan malam yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku pada satu malam sahaja sepanjang tahun.

Maka beruntunglah siapa yang memperolehinya dan rugilah siapa yang melepaskannya.

Pelbagai hikmah dari anugerah malam al-Qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman.

Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga seribu bulan.

Sekiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar.

Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama seribu bulan iaitu sekitar 83 tahun 4 bulan, seolah-olah kita menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Selain kelebihan beramal, malam Lailatul Qadar juga memperjelaskan segala urusan hidup manusia dengan penuh hikmah.

Firman Allah SWT melalui surah al-Dukhan ayat 3-6 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur'an itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. Padanya dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku. Iaitu perkara-perkara dari sisi Kami; sesungguhnya Kamilah yang mengutus Rasul-rasul. Sebagai rahmat dari Tuhanmu; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Persoalan yang timbul di sini ialah bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan Lailatul Qadar?

Rasulullah SAW telah menggariskan beberapa langkah kepada umatnya agar berusaha sedaya upaya mendapatkan Lailatul Qadar ini.

Menurut Imam Bukhari dan Muslim bahawa Saidatina Aisyah meriwayatkan:

"Sesungguhnya, Rasulullah s.a.w. apabila masuk malam sepuluh terakhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam (dengan amal ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam ibadah ) dan uzlah dari isteri-isterinya."

Orang yang beribadah pada 10 malam yang terakhir akan bebas dari api neraka berdasarkan hadis-hadis sahih.

Walau bagaimanapun umat Islam dituntut melakukan ibadat sepanjang malam di bulan Ramadan dengan bermunajat kepada Allah SWT agar dihapuskan segala dosa, di samping berdoa untuk mendapatkan kesejahteraan hidup, rezeki yang berkat, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang baik kerana pada malam Lailatul Qadar tiada hijab untuk Allah menerimanya.

Perkara-perkara yang perlu diberatkan pada malam-malam terakhir Ramadan:
  1. Menghayati malam terakhir  di bulan Ramadan dengan beribadah penuh khusyuk dan penuh penghayatan.
  2. Meninggalkan sementara keseronokan dunia dengan beriktikaf di masjid sambil beribadat sepuas-puasnya.
  3. Beriman dan yakin bahawa Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
  4. Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmatnya dan keredaannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahqaaf ayat 13-14 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetapkan pendirian, maka tidaklah mereka takut, dan tidak akan berdukacita. Merekalah ahli syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka telah kerjakan."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: