Pengikut dan Ex-smgrian
Friday, June 14, 2013
Khasiat susu ibu
Susu ibu sangat baik untuk bayi dan ia juga memberikan faedah buat ibu serta keluarga.
Susu ibu merupakan makanan terbaik dan terunggul dicipta khas untuk bayi.
Komposisi zat yang terkandung dalam susu ibu pada waktu pagi, tengah hari dan malam adalah berlainan.
Susu yang keluar pada usia bayi sehari lebih banyak kandungan lemak.
Bayi akan mendapat semua zat makanan yang diperlukan, terhindar daripada jangkitan-jangkitan penyakit seperti cirit-birit berbanding susu formula yang mendedahkan mereka dengan risiko masalah kerana air dan botol susu yang tidak bersih.
Susu ibu juga mengandungi antibodi-antibodi untuk mengelak dan mencegah jangkitan respiratori (pernafasan), jangkitan telinga dan pneumonia.
Susu ibu juga mengurangkan risiko Insiden Sindrom Kematian Mengejut.
Kesan daripada zat-zat yang diperoleh daripada susu ibu dapat mengelakkan kesan jangka panjang dari segi obesiti, darah tinggi dan diabetes.
Kandungan susu ibu juga dapat membantu perkembangan otak bayi agar menjadi cerdik dan cerdas.
Ia membantu perkembangan psikomotor, emosi dan sosial yang lebih baik.
Susu ibu juga meningkatkan daya intelek (IQ) yang lebih baik.
Susu ibu juga boleh mengelakkan bayi kembung perut dan memudahkan penghadaman bayi.
Susu ibu juga mengeratkan ikatan kasih antara ibu dan bayi.
Penyusuan badan juga dapat mempercepatkan pengecutan rahim selepas bersalin. Secara tidak langsung, si ibu kurang mendapat masalah pendarahan selain tubuh akan cepat kembali ke bentuk asal kerana sentiasa mengeluarkan lemak melalui susu dan dibakar ketika proses menyusu.
Ia juga dapat mengurangkan risiko barah payudara, ovari, rahim dan osteoporosis.
Penyusuan ibu dapat membantu ekonomi keluarga kerana tidak perlu membeli susu formula yang mahal harganya.
Penyusuan ibu ialah satu kemahiran yang perlu dipelajari agar para ibu dapat menyusukan bati dengan betul dan efektif.
Kegagalan memberikan penyusuan efektif menyebabkan bayi tidak dapat membesar dengan baik.
Penyusuan tidak efektif dan dengan teknik yang tidak betul akan menyebabkan puting terluka, bengkak susu dan sebagainya.
Cara-cara penyusuan ibu yang efektif
Semua bayi perlu diberikan susu ibu sejak lahir hingga enam bulan secara ekslusif.
Selepas enam bulan, para ibu disarankan memberikan makanan pelengkap tanpa menghentikan penyusuan kerana selepas enam bulan pemberian susu sahaja adalah tidak mencukupi.
Teknik penyusuan bayi
Badan bayi perlu lurus, rapat dengan ibu, mukanya menghadap payudara.
Jika bayi tidak menghisap payudara berkemungkinan bayi tersebut dalam keadaan tidak selesa.
Apabila bayi berada dalam posisi menyusu, mulutnya akan terbuka luas dan barulah diberikan susu.
Mulut bayi perlu masuk dalam semua kawasan areola (kawasan hitam payudara) dan bukannya hisap puting sahaja yang boleh menyebabkan luka puting.
Sekiranya bayi menolak susu ibu ini adalah kerana mereka mengalami keliru puting (akibat pemberian susu melalui botol).
Jangan berikan susu dengan botol dan ajar bayi minum dengan cawan sedikit demi sedikit. Dengan kedudukan 45 darjah, bayi akan minum seperti kucing dan lama-kelamaan apabila sudah biasa, bayi akan minum susu dengan banyak.
Para ibu disyorkan agar merancang jadual penyusuan dua minggu sebelum kembali bekerja.
Susu perlu diperah dalam tempoh berpantang selepas bayi selesai menyusu bagi memastikan stok mencukupi.
Apabila susu kerap diperah, lebih banyak susu dihasilkan.
Sekiranya si ibu letih, sedih, marah dan stres ia akan mempengaruhi penghasilan hormon oksitosin yang menyebabkan pengeluaran susu terhenti.
Bagi melancarkan pengeluaran oksitosin, ibu perlu duduk di tempat yang sunyi, lihat gambar bayi dan mendengar muzik-muzik lembut. Keadaan tersebut akan membolehkan susu keluar.
Berdasarkan kepada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga (NHMS III, 2006), peratus ibu yang pernah menyusukan bayi dengan susu ibu telah meningkat daripada 88.6 peratus pada tahun 1996 kepada 95 peratus.
Ramai antara mereka tidak dapat meneruskan penyusuan secara eksklusif selama enam bulan seperti yang disarankan.
Hanya 14.5 peratus ibu menyusui bayi mereka secara eksklusif pada enam bulan pertama.
Menurut NHMS III, 2006, ini merupakan peratus yang paling rendah di rantau Asia Tenggara.
Walau bagaimanapun, berdasarkan laporan Pengawasan Pemakanan Kebangsaan, penyusuan ibu secara eksklusif pada umur enam bulan telah meningkat kepada 23.3 peratus pada tahun 2011.
Sumber: Artikel Skil Menyusu Badan Perlu Dipelajari oleh Nurul Izza Rosly, Kosmo! 14 September 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment