Menurut sebahagian ulama, peristiwa Isra' Mikraj ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.
Peristiwa ini adalah perjalanan suci Rasulullah SAW bagi memenuhi jemputan Allah SWT.
Peristiwa Isra' Mikraj ini juga sebenarnya membuka cerita kepada kita tentang hakikat alam semesta ini. Bagaimana kedudukannya, susunan langit yang tujuh serta tujuh petala bumi namun, yang pentingnya dalam Isra' Mikraj adalah petunjuk, pedoman dan panduan untuk kita yakni umat di akhir zaman.
Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 1 yang bermaksud:
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Bagaimanapun, sebelum berlaku Isra' Mikraj, Rasulullah SAW menjalani pembedahan dada yang dilakukan oleh Malaikat Jibril untuk membersihkan hati daripada ketulan hitam bernama 'alaqah iaitu tempat syaitan membisikkan perasaan was-was dan dimasukkan hikmat, ilmu dan iman.
Setelah itu, Allah SWT mengatur program kerohanian untuk Rasulullah SAW iaitu program Isra' Mikraj menghadap Allah SWT dalam tempoh satu malam sahaja.
Peristiwa ini menjadi bukti kekuasaan Allah SWT ke atas hamba-Nya dalam membina dan memantapkan pegangan akidah.
Perjalanan suci Rasulullah SAW ini melibatkan beberapa amalan luar biasa iaitu perjalanan dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin.
Rasulullah SAW menjadi imam solat kepada Rasul-Rasul sedangkan mereka itu telah lama wafat dan menghadap Allah di Sidratul Muntaha untuk menerima perintah solat lima waktu secara berhadapan terus dengan Allah SWT.
Perjalanan yang melibatkan dua masjid tertua di dunia dan paling suci dalam Islam menjadi petanda betapa hubungan akrab antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa berkaitan pertalian kiblat dan pusat gerakan Rasul-Rasul terdahulu menegakkan syiar Islam.
Replika Masjidil Haram di Taman Tamadun Islam, Terengganu |
Kemudian Rasulullah SAW menjadi imam kepada beberapa Nabi dalam suasana alam kerohanian itu dan bersalaman satu sama lain menunjukkan bahawa para Nabi semuanya akur terhadap kedudukan Baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah SWT.
Pertemuan Rasulullah SAW dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha dalam suasana alam kerohanian itu tanpa ditemani Malaikat Jibril adalah pertemuan kemuncak sebagai penghargaan dan penghormatan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang menyempurnakan Islam sebagai agama global untuk manusia.
Inilah bukti kekuasaan dan kebesaran Allah SWT yang mampu melakukan apa sahaja yang diinginkanNya.
Salah satu pengajaran dalam peristiwa Isra' Mikraj ialah persediaan teliti Rasulullah SAW dalam penyucian hati atau kalbu. Proses penyucian hati ini akan mengukuhkan kepercayaan kita bahawa dalam pertemuan dengan Allah SWT, seseorang dituntut membersihkan jiwa dan raganya daripada pelbagai sifat keji.
Dengan jiwa yang bersih, penuh keimanan dan ketakwaan, maka akan beroleh kemudahan untuk berkomunikasi secara khusyuk dengan Allah SWT dan membawa hasil yang menguntungkan.
Kebersihan dan penyucian hati amat penting dalam membentuk keperibadian manusia. Pakaian yang bersih apabila kita pakai akan menjadi kotor. Semakin lama kita pakai, maka semakin kotor pakaian tersebut.
Cuba bayangkan bagaimana rupa dan baunya jika pakaian itu tidak dibasuh, demikian juga dengan tubuh badan kita. Semakin hari semakin kotor, berbau busuk dan terdedah kepada pelbagai penyakit jika kita tidak mandi dan membersihkannya dengan sempurna.
Begitu jugalah hati manusia, setiap manusia tanpa mengira kedudukan pangkat dan keturunan ketika dilahirkan adalah dalam keadaan bersih.
Bagaimanapun, manusia ini mempunyai sifat kelemahannya. Manusia menginginkan pangkat, kedudukan, kemuliaan, penghormatan, kekayaan dan kesenangan.
Dalam keadaan sedar memenuhi keperluan hidup itu, maka manusia kadangkala melakukan dosa kecil atau besar. Dosa ini akan menjadi titik hitam di dalam hati.
Semakin banyak kesalahan maka semakin tebal titik hitam dalam hati seseorang. Kelemahan dan kegagalan manusia menyelenggara dan meningkatkan prestasi penyucian hati telah menjerumuskan individu atau keluarga dalam perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah SWT dan hak asasi manusia.
Antara tanda-tanda semakin tebal titik hitam dalam hati manusia ialah:
- Malas melakukan ketaatan dan amal kebaikan.
- Tidak tersentuh hatinya apabila mendengar ayat-ayat al-Quran.
- Tidak tersentuh dengan perkara yang terjadi seperti berlakunya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran sebagai contoh kematian, sakit, bencana dan sebagainya.
- Berlebihan mencintai dunia serta melupakan akhirat.
- Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat.
- Kemaksiatan yang berterusan.
- Meremehkan dosa kecil.
- Tidak memperdulikan sumber makanan.
Bagaimana cara kita membaiki, menyelenggara dan meningkatkan prestasi hati kita supaya ianya terus selari dengan akidah, akhlak dan syariat Islam?
Pada masa ini umat Islam terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman dan ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, liberalisme, pluralisme, komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.
Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti Black Metal, budaya punk, gejala gay, seks bebas dan sebagainya.
Gejala ini berlaku disebabkan oleh beberapa perkara antaranya kepincangan keimanan dan kecemaran hati umat Islam yang digelapkan oleh perbuatan mereka sendiri.
Hati adalah pusat kesedaran, pusat penggerak setiap gerak geri kaki tangan, mulut, mata, fikiran dan pancaindera kita. Alangkah indahnya pergaulan antara manusia dalam masyarakat apabila rata-rata manusia yang hidup dalam masyarakat mempunyai hati yang putih bersih kerana dapat menjamin masyarakat hidup dengan aman damai.
Inilah masanya untuk umat Islam sedar dan meletakkan kepentingan Islam di dalam hatinya melebihi segala kepentingan yang lain. Umat Islam wajib mempertahankan kesucian dan kedaulatan agama Islam sebaik yang mungkin dan bertindaklah berdasarkan kebijaksanaan dan keimanan.
Janganlah disebabkan menurut emosi, kesucian agama Islam digadaikan dan dibiarkan tergugat.
Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:
"Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment