Kredit imej http://hernyzar-helmizan.blogspot.com |
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qada' dan qadar." - Hadis Riwayat Abu Naim.
Pengajaran daripada hadis di atas.
Manusia yang mempunyai sikap tercela (mazmumah) sering dibenci oleh orang ramai. Ia boleh merosakkan potensi diri hingga adakalanya turut mengganggu masyarakat setempat. Sikap inilah yang menjauhkan hati dari mengingati Allah SWT.
Hasad dengki adalah di antara sifat-sifat mazmumah tersebut. Oleh itu, awasilah diri daripadanya kerana ia adalah dosa pertama sekali dilakukan oleh iblis yang telah menolak perintah Allah agar sujud kepada Nabi Adam A.S. Begitu juga Qabil yang telah membunuh Habil, juga disebabkan oleh perasaan dengki.
Sifat dengki itu ialah apabila melihat orang lain lebih daripadanya maka dia akan cuba untuk menjatuhkannya. Inilah dengki yang dilarang oleh Islam. Seharusnya apabila seorang mukmin melihat orang lain berjaya maka dia harus berusaha kuat untuk menjadi sepertinya. Inilah dengki yang dibenarkan dalam Islam.
Dengki (yang dilarang Islam) harus dicegah dengan memupuk sifat qana'ah (puas hati dengan apa yang ada setelah berusaha), reda serta bersyukur dengan pemberian Allah bukan melakukan perkara-perkara yang membawa kekufuran terhadap-Nya.
Takdir yang ditentukan Allah terhadap hamba-Nya tidak sama, sesetengahnya diluar kehendak hamba itu sendiri. Ada yang dapat memiliki rumah besar, berpangkat tinggi serta dapat menikmati makanan yang enak-enak dan ada juga yang hanya duduk di pondok buruk dan makan sekadar untuk mengalas perut. Namun Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya.
-Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment