Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, February 4, 2013

Mengharmonikan masyarakat

Piagam Madinah

Berdasarkan kepada sirah Rasulullah SAW, pendekatan agama memainkan peranan yang besar dalam mengharmonikan masyarakat.

Rasulullah SAW ketika merangka Piagam Madinah, Baginda telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu.

Terdapat tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah SAW dalam membentuk Piagam Madinah:
  1. Mendirikan sebuah masjid sebagai tempat orang Islam beribadat, tempat Rasulullah menyampaikan ajaran Islam dan tempat pentadbiran.
  2. Mengikat tali persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin bagi mewujudkan persefahaman dan membantu kaum Muhajirin memulakan hidup baru dengan pertolongan kaum Ansar.
  3. Mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi supaya sama-sama mempertahankan Madinah dari ancaman luar.

Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik orang Islam mahupun bukan Islam dengan syarat tidak berbuat zalim, khianat dan huru-hara, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya:

"Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhan." - Hadis Riwayat Abu Daud

Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah RA katanya:

"Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah SAW berdiri. Lalu kamipun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah SAW “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah." - Hadis Riwayat al-Bukhari.

Hadis ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum kerana Islam menuntut kita supaya saling hormat-menghormati dan bersikap lebih kemanusiaan sesama manusia yang lain.

Inilah konsep yang telah terbina dan diamalkan oleh pemerintah semenjak kemerdekaan sehingga berjaya mewujudkan masyarakat berbilang agama yang sentiasa hidup harmoni di negara ini.

Menurut Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya Fatawa ibn Taimiyah bahawa:

Kesejahteraan umat manusia tidak dapat diwujudkan di dunia maupun di akhirat, kecuali mereka bergabung menjadi sebuah masyarakat, bekerjasama dan saling tolong menolong untuk menciptakan kesejahteraan dan mencegah kesengsaraan.

Kerana itu agama Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia termasuklah konsep hubungan dengan penganut agama lain.

Firman Allah SWT di dalam surah al-An'aam ayat 108 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu menghina apa yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa ilmu pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan."


Kebebasan beragama

Di negara kita, sejarah membuktikan bahawa dasar hidup pelbagai agama, keturunan dan budaya dapat membentuk masyarakat yang harmoni.

Walaupun kebebasan beragama dibenarkan di negara kita, namun ianya dilindungi oleh Perlembagaan persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai Agama Persekutuan atau Agama Negara.

Bagaimanapun, agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Dalam usaha mengukuhkan Islam, Perlembagaan juga memperuntukkan dalam Perkara Sebelas (11)(4) bahawa daayah agama lain kepada umat Islam adalah dilarang.

Oleh itu, agama Islam telah mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak penganut agama lain.

Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mereka hanya disebabkan perbezaan agama.

Sebaliknya, jika hak Islam digugat, hak orang Islam dipertikai, orang Islam diperkotak-katikkan maka baharulah Islam mengizinkan umatnya bertindak mengikut lunas-lunas sebagaimana yang digariskan oleh syara'.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9 yang bermaksud:

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halamanmu, serta mereka membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Ingatlah, jangan ada antara kita yang sanggup memanipulasikan isu berkaitan agama demi kepentingan diri kerana kesannya sangat buruk pada agama dan negara.


Toleransi dalam Islam

Seharusnya umat Islam memahami tuntutan mengharmonikan masyarakat dan bertoleransi dalam kehidupan.

Namun, perlu diingat, toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan akidah, Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kekufuran atau kesyirikan.

Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah kita tidak melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui.

Sikap melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara.

Umat Islam yang menjiwai makna keharmonian adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain.

Kepada mereka yang bukan Islam, janganlah mempertikaikan perkara yang telah termaktub di dalam perlembagaan dan dipersetujui bersama serta mempertikai hak-hak eksklusif orang Islam.

Hujatul Islam al-Ghazali pernah berpesan bahawa sesuatu umat itu perlu mantap pegangan agamanya. Tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia.

Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan adalah penjaganya. Sesuatu yang tidak bertiang pasti akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga, pasti akan musnah dan hilang.

Inilah masanya umat Islam sedar betapa Ulil Amri di negara ini sentiasa mementingkan masa depan akidah dan hala tuju umat Islam.


Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia

Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia disambut pada setiap minggu pertama bulan Februari setiap tahun.

Ia bertujuan untuk mewujudkan keharmonian antara penganut agama dan mengarus perdanakan agama sebagai jalan penyelesaian terhadap konflik dunia.

Kepada umat Islam, apakah kita telah melaksanakan seruan Rasulullah SAW agar sentiasa bermuamalah dengan baik kepada semua manusia?

Apakah kita telah mencontohi akhlak Baginda SAW ketika berurusan dengan bukan Islam yang berlindung di bawah pemerintahan Islam?

Menerusi akhlak dan sikap kita ini, insya Allah dengan izin-Nya masyarakat bukan Islam akan tertarik dengan medan dakwah bil hal (dakwah dengan contoh perbuatan yang nyata) kita.

Mudah-mudahan dengan kita kembali merenung dan menilai perjalanan hidup Baginda, kita mampu berdakwah dengan akhlak dan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh agama kita.

Semoga dengan itu juga, kita mampu menterjemahkan Islam sebagai agama Rahmatan lil 'Alamin (rahmat bagi seluruh manusia dan alam).

Eratkan silaturrahim sesama Islam dan tingkatkan dakwah kepada bukan Islam menerusi toleransi dan kemuliaan akhlak kita seperti yang digariskan oleh Islam yang suci.

Yakinlah, seluruh umat Islam bertanggungjawab mengekalkan keharmonian dan sebab itulah kita perlu menolak sebarang unsur yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum dan agama.

Percayalah, menerusi sifat-sifat yang dinyatakan tadi akan mampu melenyapkan salah faham mereka terhadap Islam selama ini hasil dari propaganda media barat yang memusuhi Islam.

Semoga negara yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya.

Bayangkan, segala kenikmatan dan kebahagian pasti akan dirasai oleh seluruh umat hasil mengamalkan sifat dan akhlak yang telah disebutkan.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 64 yang bermaksud:

"Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatupun; dan jangan sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain sebagai tuhan selain dari Allah. Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah bahawa kami adalah orang Islam."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: