Valentine
Ken Swiger, di dalam sebuah artikel berjudul Should Biblical Christians Observe It? menulis bahawa perkataan Valentine berasal dari bahasa Latin yang bermaksud Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat dan Yang Maha Kuasa.
Perkataan itu digunakan pada zaman Rom kuno yang ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan atau dewa orang Romawi.
Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi "to be my Valentine?", maka ianya telah melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT kerana ia telah meminta seseorang menjadi Sang Maha Kuasa dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala.
Berdasarkan kepada pandangan tokoh-tokoh agama, menyambut atau meraikan sambutan hari Valentine adalah bertentangan dengan syarak.
Menurut Panel Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut turut bercampur dengan perbuatan maksiat dan amalan yang bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan yang menjadi trend baru zaman moden tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Perayaan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.
Agama Islam tidak sesekali melarang umatnya bercinta kerana cinta adalah fitrah semula jadi manusia, namun mestilah berdasarkan hukum Islam bukannya berteraskan hawa nafsu semata-mata.
Kualiti iman
Persoalan besar timbul, apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku?
Antara sebab-sebabnya ialah kualiti keimanan umat Islam yang semakin lemah dan kekaburan kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang Muslim.
Syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119 yang bermaksud:
"Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata."
Agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas.
Jangan kita mengikut contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara keyakinan di hati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar."
Ayat ini mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian.
Banyak dan berkualitinya amal soleh seseorang itu maka tinggilah kualiti iman yang dimiliki dan begitulah sebaliknya.
Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.
Kasih sayang
Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia.
Kasih sayang di antara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya daripada syahwat." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang melalui ikatan yang sah perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun.
Kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya.
Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat.
Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 207 yang bermaksud:
"Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya."
Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah, sambutan hari Valentine hendaklah dihentikan daripada diraikan oleh umat Islam.
Janganlah terjebak dengan budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan.
Wujudkanlah perasaan anti hari Valentine di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi akidah, syariah dan tamadun manusia.
Harus diingat mengamalkan dan mengikut budaya asing terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu sebenarnya akan menjerumus umat Islam kepada kehancuran.
Semua umat Islam perlu sedar dan bersatu menolak sambutan hari Valentine kerana ia merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam dan bukannya menyerahkan tanggungjawab ini hanya kepada pihak pemerintah semata-mata.
Jika semua umat Islam bersatu hati dan memainkan peranan masing-masing, segala budaya maksiat dan songsang ini akan dapat dihentikan.
Perkasakan akidah
Ibu-bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dengan menutup segala pintu maksiat dan kemungkaran, senantiasa memerhati gerak-geri anak-anak sama ada dari segi tingkah lakunya dan pergaulan hariannya.
Cuba bayangkan, apakah akibatnya kepada institusi keluarga dan masa depan negara jika masih ada lagi ibu bapa yang leka dan sanggup membiarkan anak-anak mereka terus bergelumang dalam maksiat dan pergaulan bebas?
Oleh itu, perkasakan akidah diri kita, keluarga dan masyarakat dengan menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta mematuhi segala perintah dan larangan yang telah ditetapkan, mudah-mudahan dengan cara ini kehidupan kita diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:
"Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment