Apabila sebut Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidiladha, ramai yang terbayangkan kumpulan jemaah yang sedang menunaikan ibadah Rukun Islam kelima di kota mulia Mekah al-Mukarramah.
Tak kurang juga yang membayangkan lembu dan kambing yang disembelih untuk korban, lalu menjadikan hampir setiap hari mereka akan menikmati hidangan daging hingga boleh demam dibuatnya.
Hakikatnya, Aidiladha adalah lebih daripada sekadar kerja haji atau korban.
Aidiladha adalah sejarah besar mengenai bukti cinta suci dan pengorbanan. Ia adalah cinta suci dan pengorbanan suami isteri malah cinta suci dan pengorbanan dalam hubungan ibu bapa dan anak.
Pengorbanan suami isteri
Menurut sejarah, Nabi Ibrahim a.s. dan Siti Sarah sudah lama berumah tangga, namun tidak dikurniakan zuriat.
Siti Sarah mencadangkan supaya Nabi Ibrahim a.s. berkahwin lagi dan merestui Siti Hajar menjadi madunya.
Pada mulanya Nabi Ibrahim a.s. keberatan kerana cintanya terhadap Siti Hajar tidak luntur.
Namun, Siti Sarah berkeras dan akhirnya Nabi Ibrahim a.s. bersetuju memperisterikan Siti Hajar.
Apabila Siti Hajar hamil, Nabi Ibrahim a.s. amat gembira dan mengharapkan Siti Sarah turut merasa gembira.
Tetapi, berita kehamilan Siti Hajar itu membuatkan madunya cemburu.
Kian hari, rasa cemburunya kian menebal, terutama selepas kelahiran Nabi Ismail a.s. hingga Siti Sarah mendesak suaminya membawa Siti Hajar dan anaknya jauh dari tempat itu.
Lalu Nabi Ibrahim a.s. membawa Siti Hajar dan anak mereka menuju ke Baitul Haram.
Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah.
Segala kesukaran yang ditempuh Siti Hajar bersama anaknya, Nabi Ismail a.s. ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim a.s. di tengah-tengah padang pasir kontang adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan seorang isteri kepada perintah suaminya.
Kisah ketabahan Siti Hajar diaplikasikan ketika umat Islam menunaikan ibadat haji malah umrah.
Para jemaah difardukan untuk menunaikan sai iaitu berulang-alik dari Safar ke Marwah sebanyak tujuh kali.
Ia bertujuan mengingati kembali falsafah pengorbanan Siti Hajar ketika itu.
Inilah iktibar daripada al-Quran yang menggambarkan seorang isteri contoh yang menjadi lambang kewanitaan sejati.
Kalau wanita Islam hari ini bersemangat kental seperti Siti Hajar, pasti bahagia akan dikecapi.
Contoh yang ditunjukkan oleh Siti Hajar, yang sanggup menempuh pelbagai kesusahan hidup semata-mata kerana taatkan perintah Allah dan suaminya, tidak syak lagi suatu contoh cukup baik untuk diteladani.
Siti Hajar tidak mempertikaikan haknya sebagai isteri tetapi lebih kepada berusaha melaksanakan tanggungjawabnya.
Nabi Ibrahim a.s. juga mengorbankan perasaannya semata-mata akur kepada perintah Ilahi.
Lantaram, buat para suami dan isteri, lengkapkanlah diri anda untuk menjadi hamba-Nya yang soleh dan solehah.
Insya Allah anda akan mampu menjadi suami dan isteri yang bertanggungjawab dan membahagiakan pasangan anda.
Aidiladha turut mengajar kita mengenai besarnya cinta dan pengorbanan seorang anak kepada bapa.
Nabi Ismail a.s. berlapang dada menerima hajat ayahanda baginda yang diperintahkan oleh Allah agar menjadikan anakanda kesayangan sebagai korban.
Tiada bantahan, larangan atau pujukan, sebaliknya hanya sokongan.
Nabi Ismail a.s. berpesan kepada ayahandanya agar dirinya diikat kemas supaya dirinya gagal untuk meronta ketika kesakitan hingga memungkinkan ayahandanya mengingkari perintah Allah.
Betapa cintanya si anak kepada bapanya itu hanya kerana menginginkan bapanya sentiasa berada dalam keredaan Allah SWT.
Semangat pengorbanan itulah yang sepatutnya diwarisi oleh anak-anak hari ini.
Saya akui, hari demi hari, banyak kes kegagalan si ayah dalam melaksanakan tanggungjawab yang patut dan wajar kepada anak-anak.
Ramai ayah yang tidak menunaikan tanggungjawab nafkah yang sepatutnya terutama apabila berlakunya perceraian.
Lazimnya, anak diletakkan di bawah jagaan ibu manakala si ayah lupa akan tanggungjawab tersebut.
Kesan tidak ambil peduli itu menyebabkan anak-anak gagal untuk menyayangi dan menghormati si ayah.
Dalam satu kes baru-baru ini, seorang lelaki bertanya: "Apakah hukumnya seorang anak tidak mendoakan ayahnya?"
Jawapan saya, antara amalan untuk murah rezeki ialah mendoakan kedua-dua ibu bapa.
Namun dia menambah: "Masalahnya puan, ayah saya ni tak pernah sayang dan peduli langsung tentang hidup anak. Kahwin sampai empat tapi tak ambil tahu langsung kebajikan anak-anak."
Mencintai ibu bapa
Saya memberitahunya, tanggungjawab seorang anak ialah untuk kekal menghormati ayahnya tidak kira siapapun si ayah, walaupun dia gagal melaksanakan tanggungjawabnya.
Ayah yang gagal itu antara dia dengan Allah.
Si ayah itu yang derhaka amanahnya dengan Allah.
Sebagai anak, jangan pula jadi anak derhaka.
Mungkin doa anak itu mampu ubah sikap ayah.
Walaupun si ayah sudah meninggal, doa anak boleh membantunya di alam 'sana'.
"Tapi bukankah ayah jadi punca anak derhaka sebab ayah tak mendidik anak dengan baik?" Tanya lelaki itu lagi.
Memang tanggungjawab ibu bapa untuk didik anak-anak namun apabila anak sudah mukalaf iaitu layak menerima tanggungjawab, si anak bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri juga untuk buat yang baik dan tinggalkan yang buruk.
Tidak boleh salahkan ayah semata-mata.
Jika pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang anak belum mencapai tahap pengorbanan Nabi Ismail a.s., bukankah selayaknya kita berusaha untuk mencintai ibu dan bapa kita sebagaimana cintanya Nabi Ismail a.s. kepada Nabi Ibrahim a.s.?
Buktikanlah cinta kepada ibu bapa dengan memaafkan kesilapan mereka dan tetap kekal mendoakan kesejahteraan mereka, bukan hanya di dunia tetapi kehidupan di akhirat.
Jika tidak mampu membantu ibu bapa berada dalam reda Ilahi, cukuplah sekadar kita dapat mengelakkan diri daripada terus menyusahkan mereka.
Ingatlah! Doa anak yang soleh atara tiga perkara dibawa bersama ketika maut menjemput kita.
Dicuplik dari artikel Iktibar Korban tulisan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie di akhbar Kosmo! 4 November 2011.
No comments:
Post a Comment