Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, July 11, 2012

Satu ummah memerangi jenayah


Dadah merupakan punca utama berlakunya jenayah dan menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Menurut sumber yang diambil dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan, bagi bulan Januari hingga Oktober 2011 secara purata terdapat 616 orang penagih baru dikesan dalam masa sebulan.

Berlakunya jenayah seperti mencuri, merompak, rogol, bunuh, merempit dan lain-lain lagi adalah berpunca daripada dadah.

Setiap perkara yang boleh memabukkan dan merosakkan akal fikiran yang waras merupakan punca kepada berlakunya kemungkaran dan jenayah.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya."

Berdasarkan Muzakarah Fatwa kali ke-3 pada 13 - 14 April 1982 dan kali ke-76 pada 21 - 23 November 2006 memutuskan:

Sebarang penyalahgunaan dadah termasuk dadah jenis baru seperti ecstasy dan ketamin, hukumnya adalah haram.

Kerosakan yang dibawa oleh gejala dadah sangatlah besar. Bukan hidup penagih sahaja yang terjejas, bukan setakat kesihatan, kewangan si penagih tetapi yang paling malang gejala ini akan menghilangkan kewarasan, menghilangkan ketawa riang anak-anak dan isteri yang diganti dengan tangisan yang berpanjangan.

Kerosakan akibat dadah tidak terhad hanya pada seorang individu yang menjadi penagih sahaja tetapi kerosakan ini akan turut dirasai oleh ahli keluarganya. Akan ranap harapan ibu bapa, akan musnah impian saudara-mara dan akan hancur masa depan anak-anak dan isteri di bawah tanggungannya malahan akan memusnahkan sesebuah bangsa dan negara.

Pada prinsipnya mereka yang terlibat dengan dadah merupakan satu jenayah dan perbuatan yang berdosa besar kerana telah merosakkan nama baiknya sendiri dan menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat.

Perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang daripada Allah SWT. Kadangkala dengan hanya satu perbuatan jenayah sahaja boleh menghancurkan nilai kehidupan dan menyebabkan kerugian sepanjang hayat di dunia dan akhirat.

Oleh itu, usaha membanteras, memerangi jenayah dan perbuatan berdosa tidak boleh dibuat berdasarkan kes-kes terhad atau oleh agensi tertentu tetapi perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara selari dengan kehendak syariat Allah.

Maka amat wajar sekali seluruh umat Islam, ibu bapa dan anggota masyarakat berusaha dengan ikhlas memerangi punca segala jenayah.

Pencemaran jiwa dan hilang kewarasan akal telah menggugat seseorang hamba itu dalam usaha memerangi jenayah dan kemungkaran.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Nu'man bin Basyir yang bermaksud:

"Ingat! Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal darah, Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya, Ingatlah! Itulah hati." - Hadis Muttafaqun 'Alaih.

Berdasarkan hadis ini jelas jiwa yang tercemar telah menyesatkan dan memalingkan hati manusia menjauhi Allah SWT. Satu lagi perkara yang saling kait mengait dengan hati yang menjadi penghalang usaha ini ialah hawa nafsu.

Firman Allah SWT dalam surah Saad, ayat 26 yang bermaksud:

"Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu."

Kepada penegak-penegak jenayah dan pengamal dosa besar, jangan berseronok dengan perbuatan keji dan bergembira dengan kemungkaran.

Setiap perbuatan keji itu ada pembalasan yang setimpal dengannya sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Di samping itu, mereka juga akan menghadapi kesan buruk sewaktu menghadapi saat kematian atau sakaratulmaut.

Firman Allah SWT dalam surah al-Waaqi'ah ayat 88 - 89 yang bermaksud:

"Kesudahannya jika ia (yang mati itu) dari orang Muqarrabiin. Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta syurga kenikmatan."

Mereka yang dipermudahkan dan disenangkan ketika menghadapi sakaratulmaut ialah mereka yang beriman dan beramal kebajikan secara ikhlas.

Allah SWT mengutus berpuluh-puluh malaikat rahmat untuk menghibur hatinya ketika menghembuskan nafas terakhir, berpisah meninggalkan anak isteri dan keluarganya sehingga dia menghadapi mati dengan tenang, mudah, bahagia dan gembira.

Manakala bagi mereka yang terlibat dengan dosa besar dan kemungkaran menghadapi kesukaran dan keperitan yang bertindih-tindih ketika nazak.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah ayat 29 yang bermaksud:

"Serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih."

Mereka yang disukarkan sakaratulmaut ialah mereka yang mendustakan agama, tidak mengerjakan solat, sombong dan jahat serta bergelumang dengan dosa demi dosa.

Ketika menghadapi nazak atau sakaratulmaut itu, Allah SWT memperlihatkan kepada dirinya segala dosa dan kejahatan yang dilakukan, seluruh penderitaan zahir dan batin mangsa-mangsa perbuatannya dikumpulkan dan ditayangkan kepadanya ketika menghadapi saat kematian.

Kalau dia membunuh, diperlihatkan perbuatan pembunuhan itu. Jika dia menzalimi orang, maka diperlihatkan kezaliman yang dilakukan. Jika dia mencuri, merompak, merogol akan diperlihatkan segala perbuatan itu di saat kematian.

Ingatlah dan insaflah semasa masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah kita sebagai satu ummah memerangi jenayah dan menutup segala pintunya, jadikanlah diri kita sebagai satu ummah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan terus kekal bertakwa kepada-Nya.

Sebagai ibu bapa, ruangkanlah sedikit masa dengan memberi perhatian kepada anak-anak agar hidup mereka tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Ajaklah mereka untuk berkongsi pandangan, masalah dan disiplinkan hidup mereka dengan cara hidup yang sihat.

Untuk menghindarkan diri kita dari kesukaran menghadapi sakaratulmaut, nazak yang perit yang tidak dapat dibayangkan kesukaran di saat kematian, marilah kita sekalian memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT, memperbanyakkan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur, menjauhi segala perbuatan berdosa dan mungkar.

Marilah kita memperbanyakkan beristighfar semoga semua kesalahan yang dilakukan selama ini akan diampunkan oleh Allah SWT.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 7 yang bermaksud:

"Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji kali kedua,Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: