Bulan Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk kita menghadapi bulan Ramadhan yang merupakan medan ibadah bagi umat Islam.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya”.
Bulan Syaaban adalah bulan Rasulullah dan bagi kita sebagai umatnya berbagai ganjaran yang disediakan untuk setiap amalan bagi persediaan menghadapi Ramadhan.
As-Syeikh Othman Ahmad Syeikh al-Khaubawi di dalam kitab Duratun Nasihin menceritakan tentang amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik:
“Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah Arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca selawat untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya menyelam di air. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu yang sangat banyak sekali. Maka Allah SWT menciptakan dari tiap-tiap titis air itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai hari Kiamat.”
Banyak hadis yang menceritakan tentang kelebihan bulan Syaaban antaranya ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari RA melalui Aisyah RAH:
"Maka tidaklah aku melihat baginda SAW berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan tidaklah aku melihat baginda SAW memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban." - (Riwayat al–Bukhari)
Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah ibadah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan Syaaban.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadhan yang terafdhal untuk berpuasa. Nabi SAW menjawab yang bermaksud:
"Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadhan".
Nabi SAW ditanya lagi, sedekah apakah yang terafdhal? Nabi SAW menjawab yang bermaksud:
"Sedekah dibulan Ramadhan." - (Riwayat at-Tirmizi)
Pada bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban. Ini adalah kerana pada malam tersebut Allah SWT telah memberikan kelebihan kepada hamba-hambanya dan memberi keampunan kepada mereka kecuali yang syirik kepada-Nya.
Sabda Rasulullah SAW menerusi hadisnya yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah RA daripada Abu Hurairah RA:
"Allah SWT melihat kepada makhluk-makhlukNya pada malam nisfu syaaban lalu mengampuni makhluk-makhlukNya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan." - (Riwayat Ibnu Majah)
Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini maka umat Islam dianjurkan pelbagai ibadah antaranya:
- Melakukan ibadah puasa sunat dan qiyamullail, inilah ibadah yang paling diutamakan oleh Rasulullah SAW pada bulan yang mulia ini. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah puasa sunat pada 15 terakhir bulan Syaaban. Ambillah peluang ini untuk membiasakan diri kita dengan ibadah puasa supaya ianya tidak menjadi keberatan apabila tibanya bulan Ramadhan. Melakukan solat tahajjud dan solat sunat taubat amatlah ditekankan terutamanya pada malam Nisfu Syaaban. Inilah masa yang sesuai untuk diperbanyakkan berdoa memohon supaya diberi keampunan dan kerahmatan dari Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa pada siangnya, maka sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman: "Adakah di sana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang yang diberi ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana, adakah di sana? Sehingga terbit fajar". - (Riwayat Ibnu Majah)
- Memperkukuhkan tali silaturrahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ianya bersangkutan dengan hubungan manusia dengan Allah SWT. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia sesama manusia selagi mana mereka saling bermaafan. Sucikan diri dari perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadhan supaya amal ibadah pada bulan yang berkat ini dapat dirasai kemanisannya.
- Beristiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan. Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian. Beristiqamah membawa maksud sentiasa melakukan amal ibadah tersebut tiap-tiap hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa yang diambil untuk melaksanakannya.
- Memperbanyakkan mohon keampunan daripada Allah SWT. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan segala dosa yang dilakukannya saban waktu. Dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah terutamanya dosa-dosa kecil yang datang dari perbuatan manusia sama ada melalui percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan. Semua dosa ini sebenarnya telah menjadi titik-titik hitam di dalam hati yang menyebabkan hati menjadi semakin keras. Lebih membimbangkan, hati akan jauh dari petunjuk Allah SWT. Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun daripada Allah SWT kerana selagi pintu keampunan itu terbuka, Allah SWT berfirman di dalam surah Hud ayat 3 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya; supaya Ia memberi kamu kesenangan hidup yang baik hingga ke suatu masa yang tertentu, dan Ia akan memberi kepada setiap orang yang ada kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya Aku bimbang kamu akan beroleh azab hari Kiamat yang besar."
Renungkanlah Firman Allah SWT di dalam surah al-An'am ayat 122 yang bermaksud:
"Dan adakah orang yang mati, kemudian Kami hidupkan dia semula, dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi untuk ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar daripadanya?Demikianlah diperlihatkan pula pada pandangan orang kafir itu akan keelokkan apa yang mereka telah lakukan."
Sumber: e-khutbah JAKIM
kredit imej: I LUV Islam
No comments:
Post a Comment