Pasukan Polis Cawangan Khas Malaya ketika zaman darurat sekitar tahun 1948 hingga Julai 1960 merupakan antara pihak yang telah memainkan peranan penting dalam perjuangan menentang komunis.
Pesara Polis British, Dr. Leon Comber (gambar), 88, berkata, anggota cawangan tersebut khususnya yang berketurunan Asia merupakan penggerak utama kepada pasukan itu memandangkan mereka memahami sejarah, budaya, agama dan politik masyarakat tempatan.
"Saya berpendapat, anggota Polis Cawangan Khas Malaya yang berbangsa British harus mengakui bahawa mereka terpaksa bergantung kepada kepakaran polis berketurunan Asia.
"Ini kerana, mereka sendiri tidak begitu arif tentang hal setempat sebagaimana anggota tempatan," katanya.
Mengulas lanjut, Comber yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Khas Johor berkata, anggota berkenaan amat memahami selok-belok politik Parti Komunis Malaya (PKM).
"Anggota cawangan itu turut melaksanakan tugas perisikan politik berkaitan PKM selain menjalankan tugas-tugas perisikan operasi untuk pasukan polis dan tentera," jelasnya.
Tambah Comber, pasukan polis itu juga menjadi penyebab utama ramai anggota komunis di negara ini berjaya ditumpaskan pada zaman darurat.
"Kejayaan itu turut didorong oleh kecekapan pentadbiran Malaya yang tidak mengamalkan rasuah serta memperoleh sokongan kuat daripada orang Melayu," katanya.
Menurut beliau, pasukan polis Amerika tidak dapat melakukannya sebaik anggota Polis Cawangan Khas Malaya semasa menentang tentera Vietnam Utara ketika perang Vietnam dari tahun 1955 hingga 1975.
"Walaupun mereka mempunyai lebih daripada 12 agensi perisikan di Vietnam, mereka saling bersaing dan menentang antara satu sama lain," katanya.
Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 27 Februari 2012.
No comments:
Post a Comment