Kajian terbaharu oleh Fakulti Kesihatan Awam Harvard (HSPH), Amerika Syarikat mendapati kaitan jelas antara pengambilan daging merah terutamanya yang sudah diproses dengan peningkatan risiko diabetes Jenis 2.
Pada masa yang sama, penggantian dengan protein lebih sihat seperti produk tenusu rendah lemak, kekacang dan gandum menunjukkan penurunan risiko yang ketara.
Hasil gabungan dan kajian terkini mereka dengan data sedia ada tersebut, daripada sejumlah 442,101 peserta, 28,228 daripadanya mendapat diabetes Jenis 2. Mereka mendapati hidangan daging merah tidak diproses seberat 100 gram meningkatkan 19 peratus diabetes Jenis 2 manakala hidangan daging diproses seperti sosej seberat 50 gram melonjakkannya kepada 51 peratus.
Dalam kajian itu, individu yang menggantikan diet daging merah dengan kekacang dapat menurunkan risiko diabetes Jenis 2 sebanyak 21 peratus, produk tenusu rendah lemak (17 peratus) dan gandum (23 peratus).
Sementara itu, kajian di St. Michael's Hospital dan University of Toronto, Kanada menunjukkan bahawa pengambilan kekacang setiap hari dapat membantu mengawal diabetes Jenis 2 dan mengelakkan komplikasi.
Pengambilan kira-kira 50 gram kekacang setiap hari sebagai pengganti karbohidrat terbukti berkesan terhadap kawalan glisemik dan serum lipid pesakit diabetes Jenis 2.
"Kekacang memberi manfaat kepada kawalan gula dan lipid darah dan mungkin digunakan sebagai strategi meningkatkan kawalan diabetes tanpa sebarang peningkatan berat badan," kata Dr. Jenkins dari Jabatan Endokrinologi dan Metabolisme di St. Michael's Hospital.
Dalam kajiannya, tiga diet berbeza disediakan untuk pesakit diabetes Jenis 2 iaitu mufin biasa, campuran pelbagai kekacang dan gabungan mufin dan kekacang.
Peserta yang menerima diet eksklusif kekacang dilaporkan mengalami peningkatan dalam kawalan gula dalam darah melalui ujian glycosylated hemoglobin (HbA1c) selain penurunan lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) atau kolesterol tidak baik.
sumber: Kosmo!
No comments:
Post a Comment