Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, May 4, 2012

Bersikap prejudis


SALAH satu kesilapan berfikir yang selalu kita buat ialah prasangka atau prejudis terhadap orang-orang lain. Sebagai contoh, kita mungkin mempunyai prejudis bahawa wanita yang bertudung tidak mengumpat, ataupun lelaki yang berserban tidak memfitnah ataupun pemuda yang kurus dan comot sebagai penagih dadah. Prasangka kita ada kalanya betul dan ada kalanya salah. Apakah proses yang mencipta pelbagai prejudis kita terhadap orang-orang di sekeliling kita?

Untuk memahami dari mana datangnya prejudis kita, kita perlu memahami proses:

a. Bagaimana kita membina pelbagai andaian berkenaan orang-orang lain.

b. Bagaimana kita mengelompokkan orang-orang lain ke dalam kelompok-kelompok, umpamanya kelompok orang muda dan orang tua, serta mengapa mereka melakukan apa yang mereka lakukan.

c. Bagaimana kita meramaikan tingkah laku orang-orang itu.

Ada beberapa faktor yang boleh mempengaruhi persepsi kita terhadap orang-orang lain.

1. Maklumat daripada orang itu:

Ini termasuklah tingkah laku orang itu sendiri, seperti apa yang dilakukan, pakaiannya, potongan rambutnya, bahasanya dan maklumat-maklumat bukan lisan mengenainya. Kita tidak perlu nampak orang itu kerana kita mungkin mendapat maklumat berkenaan diri beliau daripada cerita orang lain, ataupun daripada bahan-bahan bertulis yang mengandungi keterangan mengenainya.

2. Persepsi orang yang membuat penilaian:

Kita sebagai orang yang membuat penilaian, kita mempunyai ramalan berkenaan orang-orang yang kita nilai. Ramalan-ramalannya itu boleh mempengaruhi penilaian kita. Sebagai contoh kita mungkin mempunyai andaian-andaian stereotaip berkenaan perwatakan orang-orang di sekeliling kita, umpamanya kita mungkin percaya orang yang bertugas sebagai pustakawan adalah orang yang pendiam, manakala pelawat adalah orang yang periang.

3. Hubungan antara penilai dengan orang yang dinilai:

Cara kita menilai seorang sahabat dengan orang yang langsung tidak kita kenali adalah berbeza. Perbezaan hubungan menghasilkan andaian yang berbeza-beza. Kalau seorang sahabat datang dan menepuk bahu kita dari belakang, kita akan menilai dia dengan cara yang berbeza dibandingkan kalau orang yang tidak kita kenal yang menepuk bahu kita dari belakang.

Kita juga menerangkan tingkah laku mereka dengan cara-cara yang berbeza. Perbuatan sahabat kita menepuk bahu kita dari belakang akan kita terangkan dengan cara yang berbeza, manakala perbuatan yang sama daripada orang yang tidak kita kenal akan kita terangkan dengan cara yang berbeza.

4. Konteks sosial:

Persepsi kita ke atas orang-orang lain tidak terjadi dalam vakum, atau di luar konteksnya. Kalau kita melihat orang itu tersenyum apabila mendengar berita rakannya menang loteri, kita akan menerangkan perbuatannya itu dengan cara berlainan dibandingkan jikalau kita melihat dia tersenyum apabila mendengar berita rakannya kehilangan kereta. Kita boleh menerima kalau seorang doktor lelaki dan seorang wanita bercakap hal-hal yang sangat sulit sekiranya mereka bercakap di bilik doktor itu. Sebaliknya kita tidak boleh menerima sekiranya mereka bercakap perkara yang sama di meja restoran.

5. Latar belakang budaya:

Persepsi kita berkenaan orang-orang lain juga dipengaruhi oleh budaya kita. Apabila orang-orang melayu bercakap sesama sendiri, mereka berdiri agak rapat antara satu sama lain dibandingkan dengan jarak sesama orang Amerika. Jikalau orang Melayu bercakap agak rapat dengan orang Amerika, orang Amerika itu mungkin menganggap orang Melayu itu terlampau hendak bermesra-mesra dengannya. Jikalau orang Amerika itu berdiri jauh sedikit, orang Melayu itu mungkin menganggap orang Amerika itu sombong.

Pada setiap saat kita membuat penilaian ke atas orang-orang di sekeliling kita. Kita mengatakan mereka itu begini, ataupun begitu. Kita katakan mereka suka ini, ataupun suka itu. Kita meramalkan apa yang mereka akan lakukan. Kita juga menerangkan kepada diri kita sendiri mengapa mereka itu begini, ataupun begitu.

Sebagai contoh, apabila ada orang lalu di depan kita tanpa menundukkan kepala, kita katakan orang itu tidak tahu bersopan, wanita yang berpurdah kita katakan dia taat agama, lelaki yang pendiam kita katakan orang yang baik dan begitulah seterusnya.

Ada masanya andaian kita tentang orang-orang lain adalah tepat. Sebagai contoh, kita boleh menerangkan sifat-sifat peribadi ahli-ahli keluarga kita dan rakan-rakan kita kerana kita kenal rapat dengan mereka. Kita mempunyai banyak pengalaman tentang mereka. Oleh hal yang demikian kita dapat mengatakan mereka itu adalah orang-orang yang begini, ataupun begitu. Tetapi dengan orang-orang yang kita cuma kenal-kenal bacang pun kit dengan mudah berani mengatakan mereka begini ataupun begitu.

Kita juga berani cepat-cepat mengatakan orang-orang yang baru sahaja kita kenal dua tiga minit bahawa mereka itu begini ataupun begitu. Malah kita juga berani cepat-cepat menilai orang-orang yang cuma kita kenali melalui surat khabar sahaja.

Walaupun kita tidak mengetahui banyak tentang orang-orang itu, tetapi kita berani mengeluarkan pendapat kita tentang peribadi mereka serta kita berani mengatakan mereka melakukan itu atau ini disebabkan kerana mereka begitu ataupun begini.

Ada kalanya maklumat yang ada kepada kita sangat sedikit tetapi kita masih tetap berani membuat penilaian berdasarkan maklumat yang amat sedikit. Katakanlah, kita sedang berdiri menanti bas dan kita terlihat seorang lelaki lain di tempat kita. Hati kita mungkin berkata ''Dia macam orang pekerja pejabat'', kemudian hati kita berkata lagi, ''Dia macam pekerja swasta'', kemudian hati kita berkata lagi, ''barangkali dia bekerja dengan bank''. Kita boleh membuat penilaian-penilaian seperti itu walaupun kita hanya nampak orang itu tidak sampai dua tiga minit sahaja.

Kita bukan hanya melihat apa yang kita pandang. Kita juga memproses apa yang kita lihat dan seterusnya kita membuat apa yang disebut taakulan atau inferensi. Apabila kita nampak sesuatu, kita akan mempersepsi apa yang kita lihat dengan tujuan cuba memahami apa yang kita nampak itu. Apabila kita nampak lelaki memakai ketayap putih, kita mungkin mengandaikan dia seorang yang kuat sembahyang. Apabila kita nampak wanita yang mendedahkan rambutnya, kita mungkin mengandaikan dia tidak sembahyang.

Walaupun maklumat yang kita punyai tentang kedua-dua orang itu hanya itulah sahaja, tetapi kita berani cepat-cepat membuat andaian tentang mereka. Bukan itu sahaja, kita juga yakin bahawa penilaian kita itu tepat. Tetapi lazimnya andaian kita terhadap orang-orang lain adalah tidak tepat.

Biasanya, persepsi kita berkenaan orang-orang lain adalah penilaian personaliti, di mana kita membuat pelbagai andaian berkenaan ciri-ciri peribadi mereka, dan jenis-jenis perwatakan mereka. Penilaian yang kita buat itu juga menerangkan kepada kita akan tingkah-laku orang-orang lain. Sebagai contoh, apabila kita percaya bahawa orang-orang yang pemurah adalah orang-orang yang tidak mengharapkan apa-apa balasan, maka apabila kita melihat seseorang menolong orang lain, maka kita mempunyai penjelasan mengapa orang itu menolong orang, iaitu dia seorang yang pemurah dan dia tidak mengharapkan apa-apa balasan.

Penilaian-penilaian yang kita buat ke atas orang-orang lain juga menyebabkan kita meramalkan tingkah-laku mereka yang kita nilai. Sebagai contoh, kita meramalkan orang-orang yang pemurah pada hari ini akan terus-menerus pemurah pada masa depan.

Kita meramalkan orang-orang yang bersembahyang hari ini akan terus bersembahyang pada masa depan. Di dalam bilik temu duga pekerjaan, kita yakin bahawa calon yang kita anggap layak untuk jawatan itu juga layak menjalankan tugas-tugasnya nanti.

Ramalan-ramalan kita juga mempengaruhi penilaian kita. Katakanlah kita menjadi saksi kepada sebuah peristiwa di mana kita ternampak sebuah kereta sport merah terbabas dan tercampak ke dalam longkang.

Walaupun kita tidak dapat mengagak berapa kelajuan kereta tersebut waktu kejadian itu berlaku, kita berani mengatakan bahawa kenderaan itu terbabas kerana dipandu melebihi had kelajuan yang dibenarkan. Kita membuat penilaian itu kerana kita meramalkan pemandu-pemandu kereta sport berwarna merah akan memandu dengan laju.

Ini adalah contoh bagaimana andaian-andaian yang kita pegang berkenaan jenis-jenis orang mempengaruhi cara-cara bagaimana kita mengingat balik perkara-perkara yang pernah kita alami ataupun saksikan. Sebenarnya pemandu kereta malang itu terbabas kerana terlanggar minyak di atas jalan.

Prejudis yang kita buat ke atas orang-orang lain mempunyai kesan praktikal ke atas orang-orang yang kita nilai. Penilaian kita mempengaruhi siapa orang-orang yang kita terima sebagai sahabat, siapa yang akan kita ambil bekerja dengan kita, siapa yang akan kita tolong dan siapa yang kita tentang.

Penilaian yang dibuat oleh seorang hakim ke atas kejujuran orang yang dituduh mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh hakim itu, iaitu sama ada orang itu bersalah ataupun tidak.

Penilaian yang dibuat oleh seorang ketua pejabat ke atas bakat dan kebolehan pekerjanya mempengaruhi kemajuan kerjaya pekerja itu. Penilaian yang dibuat oleh seorang gadis ke atas watak seseorang pemuda mempengaruhi keputusan gadis itu sama ada akan menerima ataupun menolak usaha pemuda tersebut untuk merapati si gadis.

Oleh: AINON MOHD.

Utusan Malaysia 10 April 1998

No comments: