Nabi Muhammad SAW amat menggalakkan umatnya menceburi bidang perniagaan, malah sebahagian kehidupan Baginda itu telah dihabiskan dalam bidang perniagaan. Ayat-ayat al-Quran banyak menyebut tentang perniagaan dan menggalakkan umatNya berusaha mencari rezeki dalam bidang ini sebagaimana firman Allah dalam surah al-Jumuah ayat 10 yang bermaksud:
"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat."
Berdasarkan ayat ini nyata bahawa tuntutan mencari rezeki dalam bidang perniagaan adalah berkaitan dengan agama dan merupakan sebahagian usaha dakwah dalam menyebarkan Islam, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat serta para pedagang semasa zaman perkembangan Islam.
Mereka ini bukan sahaja membawa barang-barang dagangan bahkan mereka juga membawa juga ajaran Islam dengan ciri-ciri akhlak yang baik yang menjadi ikutan kepada sekian manusia.
Imam Ghazali pernah berkata:
"Bahawa penghalang antara manusia dengan tuhannya banyak bersangkut paut dengan urusan mencari rezeki, dimana tidak sempurna urusannya dengan Allah SWT disebabkan dia terkejar-kejar mencari rezeki."
Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan namun soal keberkatan tidak boleh diketepikan atau dipandang remeh. Ramai daripada kalangan peniaga hari ini sebagai contoh sanggup meninggalkan solat sebab takut rugi, meneruskan juga urusniaga dan lain-lain lagi.
Dikeruhkan lagi dengan situasi ekonomi yang tidak menentu pada hari ini, ada peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang, menyembunyikan barang supaya harga naik, mencampurkan barang yang elok dengan yang tidak elok, barang lama dengan barang baru dan menipu dalam membuat timbangan.
Mengikut laporan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sehingga Jun 2011 telah menerima sebanyak 3,698 aduan daripada pengguna dimana ianya meliputi pelbagai isu dan masalah yang menimpa pengguna seperti isu gores dan menang, skim cepat kaya, penipuan perkhidmatan, barang tiruan, cetak rompak dan sebagainya.
Lebih malang lagi kita juga dimaklumkan terdapat golongan wanita dan kanak-kanak dieksploitasi oleh peniaga untuk menjual barang-barang mereka dan ada juga dijadikan sebagai keldai upahan untuk mengedar dadah dan VCD tidak bermoral.
Islam mengharamkan sebarang bentuk eksploitasi, penipuan dan penindasan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Mutaffifin ayat 1 - 5 yang bermaksud:
"Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya)."
Dalam satu kisah yang diceritakan oleh al-Maraghi bahawa di Madinah terdapat seorang peniaga yang bernama Abu Juhaynah, beliau mempunyai dua alat penimbang, satu besar dan satu kecil. Apabila beliau hendak membeli biji-bijian dan buah-buahan daripada para penanamnya beliau akan menggunakan alat penimbang yang besar dan apabila ingin menjual kepada orang lain ditimbangkan dengan alat penimbang yang kecil.
Ibnu Umar RA menerangkan pada suatu ketika beliau melintasi peniaga itu lalu berkata:
"Takutlah kepada Allah SWT dan sempurnakan timbangan. Ini disebabkan golongan yang mengurangkan timbangan itu pada hari Kiamat akan ditahan untuk menghormati kebesaran Tuhan yang Maha Pengasih, bahkan peluh pun menahan mereka."
Dalam kita menyusun dan mengendali kegiatan perniagaan, kita perlu berwaspada, agar ianya dilaksanakan berdasarkan semangat Islam yang berpandukan panduan prinsip al-adl wal ihsan iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat di samping prinsip tidak memudaratkan.
Amalan yang berasaskan prinsip ini akan sentiasa mengingati balasan daripada Allah di atas setiap kesalahan seperti dengki mendengki, mementingkan diri sendiri dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.
Jadilah seperti Abdul Rahman bin Auf, seorang peniaga yang berjaya tetapi tidak pernah meninggalkan solat dan hubungannya dengan Allah SWT. Umar al-Khattab RA pernah berkata:
"Aku hendak mati ketika jihad fisabilillah dan kalau tidak dapat, aku mahu mati ketika sedang berniaga."
Untuk memastkan kita sebagai pembeli dan pengguna dapat dilindungi, maka kita hendaklah menjadi pengguna yang bijak. Bijak dalam erti kata tidak dapat dieksploitasi oleh pengusaha dan penjual. Bijak memilih penjual yang boleh dipercayai dan bijak memilih barangan dan perkhidmatan yang suci, halal dan berkualiti.
Sesungguhnya untung rugi nasib penjual adalah terletak di tangan kita sendiri sebagai pembeli dan pengguna. Jika kita prihatin, berhemah dan waras dalam mendapatkan barangan dan perkhidmatan maka terjaminlah kehidupan kita.
Laporkan sebarang keraguan yang tidak munasabah kepada pihak berwajib, kerana sekiranya jika tiada sebarang aduan atau masalah dikemukakan, ini akan menyebabkan peniaga-peniaga semakin berani melakukan penipuan dan penyelewengan secara terang-terangan.
Kita juga perlu tahu menguruskan perbelanjaan harian secara berhemah dan tidak boros ketika berbelanja. Seharusnya kita cuba mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang dapat memberikan pulangan yang setimpal dengan setiap sen yang dibelanjakan.
Didiklah anak-anak kita dari awal lagi supaya mereka mengamalkan amalan berjimat cermat dan tidak boros ketika berbelanja. Jadilah pengguna dan peniaga yang tidak mementingkan keuntungan dunia semata-mata bahkan mengharap ganjaran daripada Allah SWT di akhirat.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa' ayat 29 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment