Memberi nyawa dan mencabut nyawa adalah hak mutlak Allah SWT yang tiada sesiapapun boleh mempertikaikannya. Lantaran itu Allah SWT boleh memendekkan umur seseorang dengan kehendak dan kuasaNya dan dengan kehendak dan kuasaNya jugalah Dia boleh memanjangkan umur seseorang.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 70 yang bermaksud:
"Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa."
Kita hendaklah bersyukur kepada Allah SWT kerana menghidupkan kita melalui nyawa yang diberikannya dan dengan nyawa itulah kita dapat menikmati indahnya kehidupan, menikmati keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita.
Apabila nyawa telah terpisah daripada badan, semua itu tidak berguna lagi. Oleh yang demikian, kita wajib menghargai nyawa sendiri atau nyawa orang lain. Menghargai nyawa bermaksud memelihara dan menjaganya dengan sebaik mungkin dengan mengelakkan diri daripada terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perbuatan atau tindakan yang boleh menghilangkan nyawa atau dengan kata lain menyebabkan kematian.
Berdasarkan laporan dan pemerhatian di akhbar-akhbar dan media massa, isu kemalangan jalan raya adalah penyebab yang terbesar kepada kematian. Menurut laporan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bahawa lebih daripada 6 ribu orang mati akibat kemalangan jalan raya dengan purata 18 kematian sehari atau 1 kematian setiap 1 jam 20 minit.
Kajian oleh Kementerian Kesihatan, kemalangan jalan raya adalah punca keempat kematian di negara kita dan sekiranya ia tidak dibendung, kemalangan jalan raya boleh menjadi punca utama kematian menjelang tahun 2020.
Pada tahun 2010, sebanyak 6,872 kematian akibat kemalangan jalan raya, yang mana 4,036 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyatakan bahawa 30% daripada kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal ialah golongan berumur 16 ke 25 tahun berbangsa Melayu dan daripada jumlah tersebut 40% daripadanya tidak mempunyai lesen memandu.
Perbuatan-perbuatan yang menimbulkan mudharat dan merbahaya yang boleh membawa kepada kematian seperti menunggang motosikal secara merbahaya, tidak mematuhi peraturan jalan raya, memandu namun tidak memiliki lesen memandu adalah tindakan-tindakan yang tidak menghargai nyawa.
Walaupun tindakan seperti itu tidak menyebabkan kehilangan nyawa secara langsung tetapi lama kelamaan atau silap percaturan boleh menyebabkan kematian atau sekurang-kurangnya memusnahkan keselesaan dan kesempurnaan hidup.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:
"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya."
Jalan raya merupakan satu kemudahan awam yang menjadi penghubung kepada kita dari satu tempat sama ada dari bandar ke desa atau sebaliknya. Ianya bukanlah tempat untuk kita menunjukkan kehebatan atau keberanian kita memandu kenderaan, kerana itulah menjadi tanggungjawab kepada kita semua sebagai pengguna menjaga dan memelihara kemudahan ini dan menjadikannya sebagai suatu tempat yang selamat dan bukannya tempat kecelakaan.
Adalah tidak dapat dinafikan dan diakui bahawa punca utama kemalangan jalan raya di negara ini adalah disebabkan perilaku pengguna itu sendiri yang menyebabkan kerugian harta benda, kecederaan, kecacatan anggota badan bahkan boleh membawa kepada kematian.
Seperkara lagi yang menjadi antara punca utama kehilangan nyawa di negara kita pada masa kini ialah kebakaran. Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada tahun 2010 jumlah kebakaran mengikut jenis bangunan adalah sebanyak 5,240 kes yang berlaku.
Keselamatan kebakaran hendaklah diambil perhatian yang serius oleh kita semua kerana kebakaran itu boleh membunuh. Api semasa kecil menjadi kawan tetapi setelah besar ia menjadi lawan.
Pelbagai cerita telah dipaparkan oleh media berkaitan kebakaran, apa yang menyedihkan ialah apabila kebakaran bukan sahaja memusnahkan harta benda, tetapi juga menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak boleh ditukar ganti. Lebih menyedihkan apabila kehilangan orang yang tersayang, tempat tinggal dan kehilangan punca mata pencarian.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya, itulah ungkapan yang sewajarnya difikirkan bersama-sama bagi mengambil langkah keselamatan secara berterusan, pemeriksaan ke atas semua kelengkapan keselamatan kebakaran perlulah dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan alat keselamatan sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan.
Kesedaran masyarakat terhadap bahaya kebakaran dan aspek keselamatan perlu dipertingkatkan sama ada di rumah, di pejabat, di sekolah, di masjid dan surau, di pusat membeli-belah dan sebagainya.
Sedarkah kita bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat tidak dapat kita kecapi tanpa pengorbanan dan ketabahan setiap anggota-anggota penyelamat khasnya dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Pengorbanan yang mereka curahkan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan dan tidak pernah mengharapkan penghargaan dan pujian dari kita, namun sebagai umat yang bersyukur, kita hendaklah menghargai mereka sebagai tanda terima kasih dan syukur kita kepada Allah SWT.
Marilah sama-sama kita menyatakan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT kerana telah melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya dengan menjaga keselamatan dan kesejahteraan kita.
Marilah sama-sama kita menghargai nyawa yang diberikan oleh Allah SWT dengan mengelak diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan memudaratkan kehidupan.
Marilah sama-sama kita mendidik anak-anak kita agar mereka mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Janganlah kita membiarkan anak-anak kita memandu kenderaan tanpa lesen dan menunggang motosikal dengan bebas tanpa menggunakan topi keledar kerana itu semua mengundang kepada kecelakaan.
Tanggungjawab menjaga keselamatan kebakaran dan menyelamat adalah tanggungjawab bersama dan bukanlah tanggungjawab Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia semata-mata. Oleh itu marilah kita bersama-sama menjadikan budaya menjaga keselamatan kebakaran ini amalan hidup kita, insya Allah kejadian yang tidak diingini akan dijauhi oleh Allah SWT.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 17 yang bermaksud:
"Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepada engkau, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan dia sendiri; dan jika dia melimpahkan sesuatu kebaikan kepada engkau, maka Dia adalah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment