Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, January 12, 2012

Kepimpinan taklif, bukannya tasyrif (kemuliaan)





Kemajuan sesebuah negara adalah sangat bergantung kepada urus tadbir yang ada hubung kaitnya dengan ketepatan memilih pemimpin yang benar-benar berfungsi sebagai seorang pemimpin dan pentadbir.


Kepakaran dan kemahiran serta perwatakan peribadi amatlah mempengaruhi corak kepimpinan dan menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Ketepatan memilih pemimpin ini juga dapat menjamin kehidupan yang harmoni dan memastikan segala sistem kehidupan dilaksanakan dengan berkesan.

Sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa melantik orang yang tidak layak menjadi pemimpin, maka sesungguhnya ia telah membuang kalung Islam daripada tengkuknya." - (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Rasulullah SAW juga telah berpesan kepada umatnya bahawa perlu ada di kalangan umatku yang menjadi pemimpin di dalam sebuah organisasi ataupun masyarakat demi melaksanakan amal makruf dan mencegah kemungkaran.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud RA yang bermaksud:

"Dan apabila ada tiga orang keluar mengembara maka salah seorang daripadanya hendaklah dilantik menjadi ketua."

Ini bertujuan jika berlakunya perselisihan pendapat di kalangan mereka, maka satu keputusan dapat dibuat melalui perlantikan seorang ketua.

Seorang ulama terkenal iaitu Dr. Abdul Aziz Izat al-Khayyat di dalam kitabnya an-Nuzum as-Siyasi fi al-Islam menyatakan:

"Adalah menjadi keperluan asas bagi sesebuah masyarakat untuk mewujudkan pemerintah yang menjaga hal ehwalnya serta mentadbir urusan kehidupan anggotanya. Jika tidak wujud kuasa yang membelanya nescaya kehidupan manusia akan menjadi kucar-kacir dengan yang kuat menelan dan menguasai yang lemah dan tak berdaya. Budaya ini berdasarkan tabiat semula jadi manusia yang sentiasa cenderung kepada permusuhan dan melakukan kezaliman. Oleh yang demikian, seluruh umat manusia sejak dari zaman dulu lagi telah sepakat tentang perlunya wujud golongan yang menjalankan tugas pemerintahan dari kalangan mereka, tanpa mengira apa gelarannya."

Memimpin sesebuah negara adalah suatu taklif (tanggungjawab) bukannya tasyrif (kemuliaan) yang diberikan oleh Allah SWT. Mereka yang diberi taklif dan tanggungjawab serta amanah ini perlu tunduk dan patuh kepada Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud:

"Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan ( pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan."

Al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah menyatakan:

"Pemerintahan adalah satu amanah dan disyariatkan bagi mengantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan dunia umat Islam. Ijmak ulama menetapkan bahawa melantik pemerintah yang mampu melaksanakan tanggungjawab pemerintah dikalangan umat Islam hukumnya adalah wajib."

Begitu juga pandangan Ibnu Taimiyyah di dalam kitabnya al-Siyasah al-Syarieyyah dengan mengatakan bahawa:

"Perlu diketahui tanggungjawab memerintah adalah sebahagian daripada kewajipan agama yang paling besar, malah agama tidak dapat ditegakkan tanpa pemerintah. Ini adalah kerana manusia perlu berkumpul dalam memenuhi keperluan hidup mereka dan perkumpulan itu memerlukan adanya ketua."

Pemilihan pemimpin ataupun khalifah merupakan satu ikatan kontrak yang dipersetujui dengan rakyat sama ada melalui proses penyerahan kuasa atau pilihanraya. Berdasarkan kepada ini, maka kedaulatan dan kuasa yang ada pada pemimpin adalah merupakan satu kontrak sosial yang disepakati antara pemerintah dengan rakyat.

Untuk menjamin kuasa ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan tidak disalahgunakan demi kebaikan rakyat, maka pemimpin yang berkeupayaan sama ada dari segi jasmani dan rohani perlulah dipilih. Mereka juga perlulah menguasai ilmu siasah dan pentadbiran, berketurunan baik-baik dan adil dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

Menurut al-Mawardi lagi bahawa:

"Sesungguhnya pemimpin yang kehendaki ialah mereka yang tinggi budi pekerti dan akhlak yang merangkumi ciri takwa dan warak, mereka ini seorang yang sentiasa bercakap benar, amanah, bersih diri dari perkara haram dan meragukan, sentiasa tenang dalam keadaan biasa dan marah, kualiti maruahnya dihayati dalam semua urusan agama dan dunia."

Sehubungan dengan itu, Islam amat menekankan kepimpinan yang berintegriti, cemerlang, berkualiti dan terbukti unggulnya. Kepimpinan itu semestinya disokong oleh keimanan kepada Allah SWT, cinta dan menghayati sunnah Rasulullah SAW serta berakhlak mulia dimana ianya mampu mengadakan hubungan yang baik dan harmoni dengan semua peringkat masyarakat.

Ciri-ciri kepimpinan ini akan memberi kesan kepada masyarakat, mereka akan menghormati dan menyanjungi corak kepimpinan yang diberikan. Kita dapat melihat kepimpinan Khalifah Umar al-Khattab RA yang boleh dijadikan contoh kerana beliau adalah seorang pemimpin yang sangat disayangi oleh rakyatnya atas perhatian dan tanggungjawabnya yang luar biasa terhadap rakyat.

Sesungguhnya umat Islam amat beruntung kerana mempunyai seorang tokoh yang boleh dijadikan panduan dalam merealisasikan asas kepimpinan ini iaitu Rasulullah SAW. Baginda adalah contoh yang dikagumi bukan sahaja oleh umat Islam malah disanjungi oleh musuh-musuh Islam kerana mempunyai kebolehan dalam memimpin dan bertanggungjawab penuh ke atas perlaksanaannya. Baginda memikul tanggungjawab dengan penuh amanah selari dengan kehendak Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:

"Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya." - (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap pemimpin memenuhi keperluan rakyatnya sama ada dari segi jasmani ataupun rohani dengan menyediakan segala keperluan dan kemudahan sama ada hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan, kebajikan, kesihatan, ekonomi dan pengurusan dan dari segi rohani iaitu hal yang berkaitan dengan akidah, syariah, akhlak dan kemanusiaan.

Kepimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab dalam masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang dan diredhai oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."

Terdapat dua perkara asas dalam ayat ini iaitu:
  1. Kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah SWT.
  2. Kepimpinan hendaklah mementingkan integriti dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

Marilah sama-sama kita melaksanakan tanggungjawab kita demi agama, bangsa dan negara dengan memilih pemimpin yang benar-benar beretika, bertindak selari dengan apa yang dikata atau yang dijanjikan, bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang dipimpin di dunia dan di akhirat.

Sebagai pemimpin yang dipilih hendaklah sentiasa sedar dan insaf bahawa tugasan ini adalah satu taklif bukannya tasyrif. Ingatlah bahawa mengkhianati amanah kepimpinan adalah satu dosa besar yang akan menerima hukuman Allah di akhirat nanti.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah asy-Syu'araa' ayat 215 - 217 yang bermaksud:

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan! Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: