Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, October 10, 2011

Mentadbir harta menurut Islam

Mencari dan memiliki harta kekayaan adalah sesuatu yang diizinkan oleh agama. Ini kerana Allah SWT Yang Maha Berkuasa telah menjadikan dunia dan segala isinya dalam keadaan sedia untuk diterokai dan dimiliki oleh manusia.

Allah SWT Yang Maha Kaya mencipta dan memiliki secara mutlak semua ini tidak sama sekali berhajat kepada segala khazanah yang dijadikan-Nya. Sebaliknya manusialah yang lebih berhajat kepada Allah SWT dan segala khazanah yang dijadikan-Nya di atas dunia ini.

Bersesuaian dengan itu Allah SWT melengkapkan manusia dengan fitrah kejadian yang sukakan mencari harta dengan melakukan ikhtiar dan usaha bagi memperolehi harta kekayaan yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Jumuah ayat 10 yang bermaksud:

"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat."

Dalam pada Islam menggalakkan kita supaya berusaha mencari harta kekayaan, kita diingatkan agar melakukan usaha yang halal dan yang dibenarkan oleh syariat. Agama Islam melarang sama sekali kita mencari harta kekayaan dengan jalan yang salah seperti terlibat dengan perbuatan menipu, mencuri, merompak, merasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."

Mengurus dan mentadbir harta secara betul dan menepati kehendak syariat merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar. Dari itu kita hendaklah sentiasa sedar bahawa sesungguhnya kurniaan harta kekayaan merupakan suatu anugerah dan nikmat tetapi ia juga adalah sebahagian daripada ujian Allah SWT.

Mengurus dan mentadbir harta secara betul dan menepati kehendak syariat merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar. Oleh itu kita hendaklah sentiasa sedar bahawa sesungguhnya kurniaan harta kekayaan merupakan suatu anugerah dan nikmat tetapi ia juga adalah sebahagian daripada ujian Allah SWT.

Dunia ini adalah tempat yang penuh dengan ujian, manakala akhirat sebagai tempat pembalasan. Tidak ada seorang pun manusia yang akan terlepas daripada ujian hidup di dunia dan demikian juga tidak ada seorang pun yang akan terlepas daripada menerima balasan di akhirat.

Mereka yang miskin dan melarat akan diuji dengan kemiskinan dan kemelaratan manakala yang kaya pula akan diuji dengan kekayaan dan kemewahan. Oleh itu, kurniaan harta kekayaan kepada kita bukanlah semata-mata merupakan hasil dari apa yang kita usahakan bahkan ini juga merupakan satu ujian Allah SWT terhadap kita. Persoalannya ialah bagaimanakah kurniaan harta kekayaan ini dikatakan sebagai ujian daripada Allah SWT?

Untuk lebih memahami keadaan ini marilah sama-sama kita renungi firman Allah SWT di dalam surah al-An'am ayat 43-44 yang bermaksud:

"Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendahkan diri ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi hati mereka keras, dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami siksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa."

Berdasarkan keterangan ayat ini, Allah SWT telah menceritakan kepada kita bagaimana Dia telah mendatangkan ujian ini dalam bentuk kesusahan dan penderitaan untuk menarik mereka yang kufur ingkar supaya kembali beriman kepada Allah SWT serta merendah diri kepada-Nya.

Akan tetapi apa yang nyata, hati-hati mereka terlalu keras sehingga peringatan yang disampaikan dalam bentuk yang demikian tidak sedikit pun membekas di dalam diri mereka. Mereka masih tidak mahu berpaling dari jalan kekufuran yang telah ditempuh. Lalu Allah SWT mendatangkan ujian dalam bentuk kesenangan hidup dan kekayaan harta benda, dengan tanpa mereka sedari ianya juga merupakan sebahagian daripada ujian Allah SWT.

Mereka bersenang-senang dan berpoya-poya dengan nikmat yang diberikan penuh kesombongan. Mereka mengetahui ujian kenikmatan itu lebih berat dari ujian penderitaan. Dalam keadaan demikian, datanglah siksaan daripada Allah secara mendadak tanpa didahului oleh tanda-tanda kehancuran dan kemusnahan.

Mereka tidak mempunyai kesempatan untuk melarikan diri daripadanya maka jadilah mereka golongan yang berputus asa disebabkan kehilangan nikmat tersebut.

Demikianlah hakikat penting yang perlu difahami oleh kita semua, kesenangan dan kekayaan bagi orang yang kufur dan berbuat derhaka kepada Allah SWT bukanlah kesenangan dan kekayaan yang hakiki, sebaliknya merupakan satu istidraj (umpan) daripada Allah SWT untuk mengangkat suatu kaum kepada darjat yang tinggi, di mana ia berlaku dengan cara memberi kenikmatan yang banyak dan pemberian itu membuatkan mereka lupa untuk mensyukuri, bahkan mereka bersenang-lenang dalam kesesatan dan menjauhi petunjuk. Akhirnya mereka dibinasakan oleh Allah SWT dengan azabnya yang datang secara tiba-tiba.

Manusia yang paling baik ialah mereka yang sentiasa mensyukuri nikmat harta dengan cara menggunakan harta secara bijaksana bagi tujuan kebaikan untuk kehidupan diri, keluarga dan dalam masa yang sama dapat memberi manfaat kepada orang lain sama ada dengan bersedekah atau mengeluarkan zakat.

Seperkara lagi yang perlu diurus dan dipelihara dengan baik ialah harta intelek negara. Harta intelek negara ialah harta yang dihasilkan oleh cetusan kreativiti manusia yang terdiri daripada paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan hakcipta.

Mengikut pandangan Ahli Fiqh Islam bahawa harta intelek ialah sekumpulan hak yang disabitkan oleh syarak untuk individu dalam bidang kuasa yang mengawal gambaran idea dan dipastikan memenuhi kepentingan padanya dengan mengguna dan mentadbir dalam ruang lingkup ketentuan-ketentuan syarak yang ditetapkan.

Seorang ulama bernama al-Shaykh Ali al-Khafif pula mendefinisikan harta intelek sebagai sesuatu yang disandarkan kepada barang-barang tak ketara (ma'nawiyyah); yang tidak dapat dikesan dengan pancaindera, tetapi ia dapat dikesan dengan akal dan fikiran seperti idea dan ciptaan.

Harta intelek adalah amat penting pada sesebuah negara terutamanya kepada negara kita yang sedang membangun kerana ianya boleh dijadikan sebagai sumber ekonomi baru dan ia juga banyak membantu peniaga dalam memasarkan produk mereka melalui logo pada barangan mereka.

Justeru, harta intelek perlulah dilindungi dan diberi hak yang eksklusif kepada miliknya untuk mengguna, membuat serta menjual hasil harta inteleknya. Ingatlah, menceroboh atau mencuri hasil karya atau membeli barangan cetak rompak adalah ibarat membeli barangan yang dicuri kerana penjenayah harta intelek telah menyalin hak harta intelek tersebut tanpa kebenaran dan menjualnya tanpa kebenaran pemilik sebenar,

Wajarkah kita mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada hasil usaha dan titik peluh orang lain tanpa izin untuk kepentingan kita? Rasulullah SAW telah berpesan di dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi yang bermaksud:

"Siapa yang membeli barang curi dan dia mengetahui bahawa ia adalah barang curi, maka dia telah berkongsi di dalam keaibannya dan dosanya."

Marilah sama-sama kita menilai kembali harta yang kita miliki dengan sebaik mungkin, dari mana sumbernya, adakah ianya benar-benar halal dan mendatangkan kebaikan kepada kehidupan kita di dunia.

Marilah kita sama-sama menguruskan segala harta kekayaan yang ada dengan sebaik-baiknya mengikut jalan yang diredhai Allah SWT mudah-mudahan dengan harta ini kita akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-Takathur ayat 1-8 yang bermaksud:

"Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh. sehingga kamu masuk kubur atau Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibat yang buruk pada hari kiamat). Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang Selepas itu - demi sesungguhnya, Kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)." Kemudian kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: