Pengikut dan Ex-smgrian
Wednesday, October 12, 2011
Membina keutuhan kepimpinan keluarga
Institusi keluarga merupakan asas untuk melahirkan generasi yang soleh dan bertakwa. Kejayaan dan keharmonian sesebuah keluarga berkait rapat dengan kualiti kepimpinan ketua keluarga tersebut.
Justeru itu, Islam meletakkan bapa adalah pemimpin dan ketua dalam sesebuah keluarga yang bertanggungjawab memastikan agar mereka yang berada di bawah jagaannya berada dalam keadaan baik serta mengikut landasan yang diredhai oleh Allah SWT.
Tanggungjawab dan peranan ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:
"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang pemimpin negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin ia bertanggungjawab terhadap rumahtangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya."
Untuk membina sebuah keluarga yang bahagia, ibu bapa seharusnya mempamerkan contoh dan tauladan yang terbaik untuk diikuti oleh anak-anak. Keluarga yang ingin anak-anak berakhlak mulia, maka mereka perlulah juga mempraktikkan akhlak yang mulia.
Kelakuan keluarga yang buruk akan menjadikan anak-anak itu sendiri berkelakuan buruk. Akhlak yang baik bila dilihat oleh anak-anak akan membentuk mereka secara tidak langsung meneladani tunjuk ajar, budi bicara dan perbuatan yang mulia yang diamalkan oleh ibu bapa.
Dengan sebab itu, ibu dan bapa diharapkan dapat menjadi model yang baik yang akan dituruti oleh anak-anak. Segala tingkah laku, akhlak, tindak tanduk, adab dan budi bahasa sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan seharian mereka.
Fenomena hari ini menyaksikan banyak gejala sosial yang merosakkan kehidupan anak-anak dan remaja akibat dari kegagalan kepimpinan keluarga dalam mempamerkan QUDWAH HASANAH (contoh yang baik) dalam keluarga.
Perintah ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud:
"Muliakanlah anak-anak kamu dan tunjukanlah kepada mereka adab-adab yang baik." - (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Imam Al-Ghazali pernah berkata:
"Anak-anak adalah amanah atas ibubapa, jika dia terbiasa dengan benda yang baik, dia akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Dan jika di besarkan dalam suasana yang tidak baik dan maka menderitalah dia dan binasa."
Sebagai merealisasikan hasrat melahirkan generasi yang soleh dan bertakwa dalam sesebuah institusi keluarga maka bapa sebagai pemimpin keluarga hendaklah mengambil berat terhadap perkara-perkara berikut:
1. Berperanan memberi dan menyediakan pendidikan agama yang sempurna kepada seluruh ahli keluarga.
Tanggungjawab ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam Firman-Nya dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
Berdasarkan ayat tersebut Allah memerintahkan mereka yang beriman agar menjaga diri dan keluarga daripada api neraka Allah SWT. Hanya dengan roh yang lahir daripada keluarga beriman sahaja yang dapat menyelamatkan daripada jatuh ke dalam api neraka.
2. Ibu bapa hendaklah memastikan agar sumber rezeki yang diberikan kepada isteri dan ahli keluarga dari sumber rezeki yang halal lagi suci.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu."
Setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak hendaklah makanan dari sumber yang halal serta menjauhi dari sumber-sumber yang syubhah, apatah lagi dari sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya. Rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi sebenarnya dapat melahirkan zuriat yang pintar dan sihat dan akhirnya mendorong seseorang kearah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat.
3. Memperuntukkan masa yang berharga dan berkualiti kepada keluarga.
Bagi membentuk keluarga cemerlang kita perlu memperuntukkan dan mempergunakan masa yang berkualiti bersama anak-anak. Jadikan rumah sebagai ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan. Ini dapat dicapai dengan mengerjakan sembahyang berjemaah sekeluarga dan menerapkan amalan membaca al-Quran atau bertadarus bersama-sama, membaca buku agama di rumah beramai-ramai, meluangkan masa untuk beriadah dan berkelah dengan anak-anak serta keluarga kerana ini secara tidak langsung dapat menambahkan hubungan kasih sayang dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Marilah sama-sama kita menanam azam untuk menjadi pemimpin keluarga yang melaksanakan perintah Allah dan amanah yang sebenar. Sesungguhnya kejayaan di dunia dan di akhirat sesebuah keluarga hanya dapat di capai dengan melaksanakan perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.
Janganlah kita sebagai bapa atau ketua keluarga yang menjadi punca kepada masalah dalam keluarga atau melahirkan anak-anak yang akan terlibat dengan masalah sosial di dalam masyarakat dan seterusnya boleh menjadi masalah kepada negara.
Sebagai penutup, renungilah Firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:
"Dan orang orang yang berkata: "wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa."
sumber: e-khutbah JAKIM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment