Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, October 4, 2011

Khurafat dan tahyul melemahkan iman

Umat Islam di Malaysia tidak dapat lari dari istilah khurafat dan tahyul. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana khurafat itu sendiri berakar umbi sejak zaman jahiliah lagi.

Pada zaman jahiliah, mereka yang ingin bermusafir akan melepaskan seekor burung. Jika burung itu terbang ke kanan, maka ia akan meneruskan musafir kerana ia membawa alamat baik tetapi jika ia terbang ke kiri atau bawah, mereka akan menangguhkan pemergian kerana ditakuti akan ditimpa bala malapetaka.

Tahyul pula mempunyai hubungkait dan makna yang sama yang meliputi cerita-cerita yang mempesonakan dan bercampur aduk dengan perkara-perkara yang dusta. Untuk kita mengenali adakah ianya khurafat atau tidak adalah berdasarkan ciri-ciri berikut:
  1. Amalan yang tidak didasarkan pada nas-nas syarak (al-Quran atau Hadis Nabi SAW).
  2. Mengandungi cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau karut.
  3. Khurafat bersumberkan kepada kepercayaan-kepercayaan lama dan bercanggah dengan ajaran Islam.
  4. Khurafat menggunakan objek-objek tertentu seperti keris, batu cincin, kayu koka dan sebagainya.
  5. Khurafat mempunyai unsur-unsur negatif dari segi akidah dan syariah.
  6. Khurafat berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus melalui kubur, patung, pokok dan sebagainya.

Persoalannya kini, kenapakah perkara khurafat ini masih berlaku dalam masyarakat. Kenapa masih ada umat Islam percaya kepada bomoh yang mengamalkan ilmu menurun walaupun Islam telah berkurun lamanya bertapak di nusantara ini? Kenapa masih ada yang percaya kepada kubur keramat, bunyi burung hantu sebagai petanda adanya kematian? Kenapa masih ada yang percaya dan memulakan kerja atau pindah rumah pada hari-hari tertentu? Kenapa masih ada yang percaya kepada musibah hari dan waktu?

Ini berhubung kait dengan kelemahan akidah dan kerapuhan iman di kalangan kita. Kita lebih berminat mendalami ilmu syariah seperti munakahat, jenayah dan muamalat tetapi kita lesu apabila bab akidah dibentang atau dibicarakan oleh tuan guru. Sedangkan kita tahu, akidah merupakan paksi kepada kehidupan kita dan apa jua perkataan atau tindakan yang bertentangan dengan akidah akan menjerumuskan kita ke lembah syirik dan kufur.

Siaran-siaran televisyen pula sering dihidangkan dengan cerita hantu dan tahyul. Kita didedahkan bagaimana masyarakat Melayu menyampaikan hajat di kubur keramat, menemui bomoh bagi menaikkan seri wajah atau peluang kedudukan dan pangkat, kejahatan rasukan dan ada juga digambarkan bahawa nombor-nombor tertentu adalah tuah dan untung baik.

Kita melihat ada di kalangan umat Islam menjadikan cerita-cerita tahyul yang dipaparkan di televisyen, majalah dan komik di pasaran sebagai sumber rujukan. Bahan-bahan tersebut sebenarnya amat bahaya ditonton dan dibaca kerana memberi kesan kepada pemikiran terutama anak-anak yang masih kecil. Sedangkan dalam masa yang sama banyak bahan-bahan ilmiah yang berupa rancangan bimbingan agama di televisyen dan majalah-majalah Islam di pasaran.

Khurafat adalah satu bentuk penyelewengan akidah. Ia menyalahi pergantungan manusia kepada pencipta-Nya iaitu Allah sebaliknya berpaling kepada makhluk yang dicipta Allah. Malah al-Quran telah mengarahkan agar manusia bergantung kepada Allah dan menolak kepercayaan selainnya agar kita memperoleh kebaikan dan menolak keburukan.

Allah SWT menegaskan di dalam surah az-Zumar ayat 38 yang bermaksud:

"Sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka
(yang syirik) itu, “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu
mereka akan menjawab “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau
demikian, bagaimana pendapat kamu tentang apa yang kamu sembah selain
daripada Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu
bahaya, dapatkah mereka menghilangkan bahaya-Nya itu; atau jika Allah
hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya
itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah Allah bagiku. Kepada-Nyalah hendaknya
bertawakkal orang yang mahu bertawakkal."


Apabila sesuatu perbuatan, ungkapan atau fahaman yang dipercayai dan diiktikad dengan yakin sebagai boleh mendatangkan manfaat atau mudarat sedangkan ia tidak bersumberkan syariat Islam, malah bertentangan dengan logik akal yang waras, maka ia boleh menjerumuskan kita ke lembah syirik. Malah kita menjadi tidak berdaya maju, kegiatan ekonomi terbantut, minda menjadi jumud dan tidak berkembang kerana mempercayai fahaman karut marut tersebut.

Dalam konteks hubungan kita dengan Allah SWT, kita telah melakukan satu dosa besar tanpa disedari iaitu syirik. Dosa syirik itu sendiri tidak diampunkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah an-Nisa ayat 48 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik (mempersekutukan-
Nya dengan sesuatu apa pun) dan akan mengampuni dosa yang lain
daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang
mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia
telah melakukan dosa yang besar."


Sesungguhnya mempercayai perkara khurafat dan tahyul akan menjadikan umat Islam semakin mundur, malas berusaha dan hanya berserah kepada takdir. Ini bertentangan dengan prinsip Islam yang menggalakkan umatnya berlumba-lumba mencari kebaikan dan kejayaan. Kita akan menjadi umat yang ketinggalan dan hanya melihat kejayaan yang dicipta umat lain. Setiap bala bencana, musibah, terkurang dan terlebih rezeki adalah ketentuan Allah sebagaimana Sabda Rasulullah SAW:

"Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung hantu, tiada bala bulan safar dan larilah engkau daripada orang yang berpenyakit kusta seperti engkau
lari daripada singa."
- (Hadis Riwayat Bukhari).

Sesungguhnya khurafat akan membawa kesan buruk kepada umat Islam iaitu:
  1. Merosakkan akidah (syirik)
  2. Hilang kepercayaan kepada rukun Iman yang keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar.
  3. Lenyap sikap berusaha dan mudah berputus asa.

Rasulullah SAW memberi peringatan keras tentang tujuh perkara yang membinasakan, ia perlu dijauhi di mana syirik merupakan perkara yang utama. Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Jauhilah kamu tujuh perkara yang membinasakan. Sahabat bertanya apakah
perkara-perkara itu ya Rasulullah?Baginda menjawab: Syirik kepada Allah,
sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali
dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari
medan perang dan membuat tuduhan jahat ke atas perempuan mulia lagi
beriman."
- (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, marilah kita membersihkan diri daripada khurafat dan tahyul yang berupa pemikiran dan fahaman jahiliyyah yang kesannya boleh memesongkan pegangan akidah kita.

Marilah kita terus meningkatkan kefahaman Islam dengan memperkukuhkan akidah. Hadirkan diri ke majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau. Hindarkan diri kita daripada fahaman yang menyesatkan dan mengelirukan. Kembalilah kepada pegangan akidah yang sebenar supaya kehidupan kita diredhai oleh Allah di dunia dan di akhirat.

Sebagai penutup, hayati dan renungi Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 106 yang bermaksud:

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) berdoa (menyembah atau memuja)
kepada selain Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan
juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau
mengerjakan sedemikian, maka pada saat itu menjadilah engkau daripada orang
yang zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)."


sumber: e-Khutbah JAIS

No comments: