Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, September 14, 2011

Warisi Pengorbanan Pahlawan Negara

Anggota polis yang berkhidmat di Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950

Sebagai generasi yang digelar sebagai pewaris negara, kita mestilah sedar bahawa pengorbanan generasi terdahulu cukup berharga. Masa yang diambil cukup panjang dan tenaga yang dikeluarkan cukup banyak.

Sekarang ini kita tidak perlu lagi mengulang sejarah dari awal. Tanggungjawab dan tugas kita ini ialah meneruskan dan memelihara semangat kepahlawanan dari jatuh dan terbelenggu semula di tangan musuh.

Gesaan ini selari dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya."

Umat Islam dituntut supaya sentiasa bersiap sedia sepanjang masa. Ini kerana kedatangan musuh sangat sukar diramal. Justeru tuntutan bersiap sedia menjadikan kita lebih berwaspada dalam segala aspek seperti meningkatkan soal keselamatan, memperkasakan ekonomi, menaiktaraf pendidikan, memartabatkan agama dan memperkukuh sosial bangsa.

Jika rakyat mudah melupakan sejarah hidup dan jasa pahlawan negara ini, segala kesan daripada pengorbanan mereka akan menjadi sia-sia. Hari ini kita dapat menyaksikan fenomena-fenomena kerosakan bertaburan di merata-rata tempat. Hal ini jika tidak ditangani dengan baik, boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan negara.

Leftenan Adnan bin Saidi


Rakyat yang benar-benar ikhlas cintakan negara akan sentiasa menghargai pengorbanan para pahlawan negara. Pada masa yang sama mereka akan memastikan bahawa generasi akan datang menjadi penerus kesinambungan kepimpinan yang pernah diwarisi dahulu.

Justeru itu kita jangan terus lena dibuai mimpi. Mulai sekarang kita mesti menyusun langkah bersama, mengatur perpaduan bangsa, membangun kecemerlangan negara, bertoleransi pada yang sepatutnya, memberi dan menghulur maaf pada yang mengaku kesalahannya.

Kehidupan kita hari ini adalah memuaskan. Kita rasa selamat untuk bekerja, gembira di sisi keluarga, selesa untuk belajar dan dapat tidur nyenyak tetapi sedarkah kita bahawa terdapat sebahagian daripada kita terpaksa bersengkang mata melupakan sementara keseronokan hidup.

Mat Kilau bin Imam Rasu


Mereka ini juga memiliki keluarga, anak pinak dan ingin merasai kenikmatan itu. Namun demi tugas dan tanggungjawab mereka sanggup ketepikannya demi mempertahankan dan memastikan keselamatan negara.

Rakyat perlu memberi pengiktirafan sewajarnya kepada barisan pahlawan negara. Perjuangan mereka ini sepatutnya menyedarkan kita betapa kemerdekaan yang diperjuang, agama yang dijunjung, negara yang berdaulat perlu dipertahankan walau dengan nyawa. Kesanggupan mereka mempertahankan kedaulatan negara adalah satu ibadah yang dihukumkan sebagai fardhu kifayah.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ayat 22 - 23 yang bermaksud:

"Dan pada masa orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzab, berkatalah mereka: Inilah yang telah dijanjikan kepada kami oleh Allah dan Rasul-Nya, dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidak menambahkan kepada mereka melainkan iman dan penyerahan diri. Di antara orang yang beriman itu, ada lelaki yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah; maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu, dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah janji mereka itu sedikitpun."

Marilah kita semarakkan iltizam cintakan negara berasaskan prinsip-prinsip Islam. Diharapkan agar umat Islam tidak tergelincir dari garisan yang ditetapkan oleh syarak.

Marilah bersama-sama menjalin kekuatan, membina kombinasi mapan, menyempurna amanah dan peranan, mempersiap jiwa dengan keimanan, menghias diri dengan kesopanan, mempertingkat pengorbanan dan kesiapsiagaan demi kedaulatan agama dan watan warisan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nasr ayat 1 - 3 yang bermaksud:

"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah), Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Ia sangat-sangat menerima taubat."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: