Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, July 15, 2011

Suburkan kehidupan dengan kemuliaan iman


Iman merupakan nikmat Allah SWT yang tidak ternilai dalam kehidupan manusia. Tinggi atau rendahnya martabat manusia di sisi Allah SWT akan ditentukan oleh tahap keimanan yang ada dalam diri seseorang. Sesiapa yang paling tinggi dan sempurna imannya, maka dialah yang paling mulia di sisi Allah SWT.

Allah berfirman di dalam al-Quran surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi mendalam pengetahuannya ( akan keadaan dan amalan kamu )."

Iman merupakan pegangan atau kepercayaan dan keyakinan di dalam hati yang tidak berbelah bagi terhadap Allah SWT serta tidak mengandungi sedikitpun perasaan syak dan ragu-ragu. Ketaqwaan dan keyakinan teguh akan memberi kesan yang positif bagi kehidupan manusia terutama dalam soal beribadat, mengawal tingkah laku, hubungan pergaulan sesama manusia dan sebagainya. Oleh yang demikian, sebagai ukuran sama ada kita benar-benar beriman atau sebaliknya, Allah SWT telah menjelaskan di dalam surah al-Anfal ayat 2 hingga 4.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah yang apabila disebut nama Allh (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah. Orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mendermakan sebahagian dari apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat yang tinggi di sisi tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di syurga)."

Berdasarkan maksud ayat di atas, terdapat lima kunci penentu yang menjelaskan bahawa seseorang itu dianggap benar-benar beriman kepada Allah SWT iaitu:
  1. Apabila disebut nama Allah akan merasa gementar hati-hati mereka.
  2. Apabila dibaca ayat-ayat Allah semakin bertambah iman mereka.
  3. Sentiasa berserah diri kepada Allah SWT pada setiap waktu.
  4. Sentiasa menjaga solatnya dan taat kepada semua perintah Allah SWT.
  5. Apabila dikurniakan rezeki oleh Allah maka dibelanjakan ke jalan yang diredhai Allah SWT.

Sesungguhnya dalam kehidupan ini kita tidak dapat lari dari menghadapi ujian dan cubaan dari Allah SWT terutamanya dalam usaha mencari kesenangan dan kebahagiaan hidup. Oleh kerana itu, adalah tidak tepat sangkaan sesetengah manusia yang beranggapan bahawa hidup ini hanya untuk bersenang-lenang, bermewah-mewahan dan bersuka ria semata-mata atau sebaliknya menganggap hidup ini penuh dengan penderitaan, dukacita dan segala macam musibah.

Oleh itu, kita seharusnya faham bahawa semua kejadian ini pada hakikatnya adalah lumrah hidup kita sebagai manusia dan ianya merupakan Sunnah Allah. Bagi mereka yang beriman akan mengambil kesempatan ini untuk melakukan segala amalan kebajikan sebanyak-banyaknya. Ianya tidak akan dilepaskan begitu sahaja dengan menjadikan ujian sebagai dorongan untuk beriman kepada Allah SWT, bukan sebaliknya.

Hal ini sebagaimana telah digambarkan oleh Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 2 hingga 3 yang bermaksud:

"Apakah Manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan, dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah tentang orang-orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui tentang orang-orang yang berdusta."

Ayat ini dengan jelas memberikan pengertian yang cukup bermakna kepada kita semua bahawa hubungan manusia dengan kehidupan sememangnya sangat berkait rapat dengan ujian dan cubaan. Di samping itu, ayat ini juga menjelaskan bahawa seseorang manusia itu tidak cukup dan tidak memadai dengan membuat pengakuan lisan sahaja dengan mengakui "kami telah beriman kepada Allah" sedangkan mereka belum diuji. Kerana setiap ujian dan cubaan dari Allah SWT merupakan penanda penentu untuk mengetahui siapakah yang benar-benar beriman kepada-Nya dan siapakah pula yang hanya membuat pengakuan lisan sahaja, sedangkan pada hakikatnya mereka berdusta kepada Allah SWT.

Selain itu, kita juga perlu sedar bahawa ujian dan dugaan dari Allah SWT itu bukan hanya dalam bentuk kesusahan atau dalam bentuk penderitaan sahaja kerana sesungguhnya terdapat ujian lain dari Allah SWT kepada manusia yang berupa ujian dengan harta kekayaan, kemewahan, sanjungan, penghormatan pangkat dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbia ayat 35 yang bermaksud:

"Setiap diri akan merasa kematian dan kami ujikan sekalian kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai satu percubaan dan kepada kamilah kamu sekalian akan kembali."

Sebenarnya ujian yang berbentuk kesusahan, penderitaan dan kesakitan merupakan ujian yang ringan kerana maksud dari ujian itu adalah semata-mata untuk menguji sejauh mana kesabaran kita menerima qada' dan qadar dari Allah SWT sebaliknya ujian melalui nikmat kesenangan dan kekayaan serta pangkat kebesaran pula merupakan ujian yang berat kerana ramai umat Islam yang gagal dalam ujian tersebut. Ini disebabkan apabila mereka gagal dan lupa kepada amanah dan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim yang diciptakan oleh Allah SWT untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Sabda Rasulullah SAW:

"Akan datang satu masa (zaman) di kalangan umatku, mereka sangat sukakan lima (5) perkara dan melupakan lima (5) perkara yang lain. Mereka sukakan penghidupan lalu melupakan mati, mereka sukakan dunia dan melupakan akhirat, mereka sukakan harta kekayaan dan melupakan hari perhitungan( akhirat), mereka sukakan rumah-rumah besar dan melupakan kubur, mereka sukakan ciptaan Allah dan melupakan Allah yang menciptakan."

Tanamkan di dalam diri kita ikrar keimanan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT dan hendaklah kita menyedari betapa rugi seandainya kita mengabaikan soal keimanan kepada Allah SWT. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa:
  1. Mengukuh dan memantapkan keimanan kepada Allah SWT agar ia tidak menurun ke paras yang akan membahayakan hidup kita di dunia dan di akhirat.
  2. Mengakui bahawa kehidupan di dunia ini sememangnya tidak dapat lari dari ujian dan dugaan Allah SWT yang merupakan sunnah Allah.
  3. Hendaklah berserah diri kepada Allah SWT setiap masa dan membelanjakan rezeki yang dikurniakan ke jalan yang diredhai serta tidak melakukan pembaziran.
  4. Hendaklah menerima setiap ujian dan dugaan dengan penuh kesabaran dan ketabahan sebagai hamba Allah yang pasrah dengan ketentuan qada' dan qadar.

Foto oleh Jain Mahmud

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: