Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, July 28, 2011

Kehidupan di dunia penentu kebahagiaan di akhirat


Kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang berkekalan dan tiada berkesudahan. Ganjaran dan balasan di akhirat sangat setimpal dengan amalan setiap makhluknya. Ini adalah bukti keadilan Allah SWT. Sesungguhnya kehidupan akhirat itu berkait rapat dengan kehidupan kita semasa di dunia ini. Jika amalan kita soleh, maka sejahtera dan berbahagialah kita di akhirat kelak tetapi sekiranya amalan kita buruk, maka derita dan sengsaralah kita.

Ibadah solat, puasa, berzakat dan mengerjakan haji hanya mengambil sebahagian kecil daripada masa hidup di dunia ini sahaja. Selebihnya kita banyak mempergunakannya untuk mengejar kebahagiaan hidup di dunia dengan pelbagai pekerjaan lain.

Persoalan penting di sini ialah adakah masa yang kita habiskan untuk mengejar kebahagiaan hidup dunia itu tergolong dalam amalan soleh sebagai bekalan di akhirat nanti? Umpamanya cara kita mendapatkan keperluan makanan, pakaian, rumah, kenderaan, pangkat, memperjuangkan agama dan bangsa, mempertahankan tanah air dan sebagainya.

Jelasnya Islam menuntut supaya umatnya sentiasa memperhati dan mengawasi setiap amal yang dikerjakan. Ini kerana di akhirat nanti Allah SWT akan bertanya kepada umat manusia tentang segala nikmat yang mereka perolehi semasa di dunia dahulu. Ini bertepatan dengan peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

"Dari Abi Barzah al-Aslami, RA dari Nabi s.a.w, sabdanya : “Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari kiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia dihabiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?"

Allah SWT menciptakan manusia supaya menyembahNya dan bertindak sebagai khalifah di muka bumi ini. Manusia ditugaskan untuk memikul amanah besar dalam kehidupan yang pendek ini dan bukan sekadar berseronok-seronok. Bahkan manusia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini sahaja, tetapi mereka dijadikan pula untuk kehidupan yang kekal abadi.

Setiap pekerjaan kita di dunia ini perlu berkonsep memperhambakan diri kepada Allah SWT dalam sebarang kegiatan sama ada politik, ekonomi, pendidikan, sosial, hiburan, sukan dan sebagainya. Memperhambakan diri kepada Allah SWT dalam sesuatu pekerjaan duniawi mestilah antara lain mematuhi perkara-perkara berikut:
  1. Perlaksanaan sesuatu pekerjaan hendaklah diniatkan kerana mencari keredhaan Allah.
  2. Hendaklah sesuatu pekerjaan adalah perkara yang diharuskan oleh syarak.  Adalah berdosa menjalankan kegiatan yang diharamkan oleh syarak.
  3. Hendaklah sesuatu pekerjaan itu dilaksanakan dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak, yang berprinsipkan ta'abuddi dan mementingkan kemaslahatan ummah.  Haram sama sekali kegiatan yang dilaksanakan dengan kaedah yang dipengaruhi oleh runtunan hawa nafsu dan tipu daya syaitan.

Tegasnya, dalam mencapai apa juga tujuan dan matlamat dalam kehidupan, Islam telah menetapkan panduannya iaitu bercirikan ta'abuddi dan ihsan dan tidak sama sekali menghalalkan semua cara. Menghayati tiga prinsip tersebut akan terhasillah sesuatu pekerjaan yang kita lakukan sebagai ibadah yang menjadi bekalan untuk kebahagiaan hidup di akhirat. Inilah makna pengabdian diri yang sebenar kepada Allah SWT sepertimana perintahNya dalam surah ad-Zariat ayat 56 yang bermaksud:

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku."

Nilailah semula segala amalan dan perkataan yang dibudayakan dalam kehidupan harian agar tidak mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan yang bercanggah dengan perintah Allah SWT. Semoga dijauhkan Allah daripada tergolong di kalangan hamba-hamba Allah yang dimufliskan menjadi faqir, miskin, melarat dan papa kedana di akhirat kelak disebabkan amalan-amalan di dunia yang tidak tergolong dalam amalan soleh di sisi Allah SWT.

Renungilah firman Allah dalam surah Hud ayat 15 hingga 16 yang bermaksud:

"Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: