Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, July 7, 2011

Jihad dalam pendidikan


Menurut sumber Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi pada bulan Mei 2010 terdapat seramai 5.7 juta orang anak-anak kita sedang belajar di sekolah-sekolah dan seramai 930,000 orang lagi sedang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta secara formal di seluruh negara. Selain itu terdapat juga orang dewasa dan warga emas sedang belajar secara tidak formal di masjid, surau dan kelas-kelas pengajian lain. Tumpuan besar pelajar-pelajar yang mencari dan dahagakan ilmu sebenarnya selari dengan tuntutan Islam.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 43 yang bermaksud:

"Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu melainkan orang lelaki, yang Kami wahikan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui".

Rasulullah SAW menyifatkan bidang pendidikan adalah perjuangan fisabilillah yakni berjuang di jalan Allah. Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang keluar menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali". (Hadis Riwayat at-Tirmizi).

Pekerjaan sebagai guru, murabbi dan pendakwah diiktiraf amat mulia di sisi agama dan masyarakat kerana mereka mewarisi tugas-tugas Rasul membimbing manusia ke jalan yang benar, pencetus hidayah, membantu mengubah nasib seseorang, mengangkat darjat seseorang, membebaskan seseorang dari kemiskinan dan membentuk tamadun manusia melalui pendidikan dan penyebaran ilmu. Betapa besar peranan guru ini, maka mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan menerangi laluan sama ada di desa atau di bandar, di darat atau di lautan. Anas bin Malik r.a. meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan". (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Ruang lingkup pendidikan ini amat luas. Ia memerlukan perkhidmatan guru, murabbi dan pendakwah yang ramai. Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi, seorang tokoh ulama semasa yang amat berpengaruh menyatakan "pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkahlaku, ia bertujuan untuk membentuk manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering berhadapan dengan kebaikan, kejahatan, kemanisan dan kepahitan".

Walaubagaimana pun kejayaan dan keberkesanan pencapaian sistem pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara peribadi dan kemahiran keilmuan adalah unsur penting membantu kecemerlangan pendidikan.

Berdasarkan bilangan institusi pendidikan dan bilangan pelajarnya ternyata guru mempunyai pengikut yang ramai, sentiasa berkerumun mengelilingi guru-guru serta amat berpengaruh pula dalam mencorakkan nilai-nilai hidup anak-anak kita. Persoalan besar timbul apa akan terjadi jika tiada guru sepenuh masa membimbing anak-anak kita dalam mengharungi pancaroba kehidupan ini?

Banyak hadis-hadis sahih menjelaskan Allah SWT sendiri, para Malaikat, penghuni langit dan bumi hatta semut sekalipun berselawat kepada guru atau orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.

Saidina Umar r.a. pernah berkata "kematian seribu ahli ibadat adalah sedikit kesannya berbanding kematian seorang alim (ahli ilmu) yang mahir dalam ilmu halal haram dalam syariat Allah".

Imam Shafie pula amat menghormati gurunya dan pernah berkata "Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Imam Malik dan guruku seperti Ibnu Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama-ulama negeri Hijaz ini".

Saidina Ali r.a. juga pernah berkata "Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku".

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin memetik nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya supaya menghormati guru, katanya "wahai anakku, pergaulilah para guru dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, kerana Allah SWT menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan hujan dari langit".

Habuan, pangkat dan hadiah tinggi menggunung bukanlah dituntut oleh para guru. Apa yang penting ialah murid-murid yang dibimbingnya menjadi manusia yang berguna dan mampu mengembalikan maruah agama dan martabat negara. Bagaimanapun kadangkala guru-guru menghadapi cabaran besar dalam membentuk murid yang berjaya dan bertamadun. Walaupun besar pengorbanan guru tetapi terdapat juga di kalangan ibu bapa dan murid yang tidak menghormati guru.

Penghormatan kepada guru semakin longgar dan semakin luntur dalam masyarakat kita. Tidak salah jika kita berkawan rapat dengan guru tetapi adalah salah jika kita tidak beradab dan kurang ajar kepadanya. Sejahat-jahat guru, selagi mana dia menumpahkan ilmu maka adalah perlu untuk kita menghormatinya. Saidina Ali r.a. pernah berpesan yang bermaksud "Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".

Jika kita hendak menegur seseorang guru hendaklah dilakukan dalam keadaan penuh beradab. Setinggi mana pun kita mencapai kedudukan, ingatlah kepada guru yang membimbing kita. Tiada ruang dan sebab untuk seseorang murid mendabik dada kepada gurunya. Malah kalau hubungan antara murid dan guru ini baik, maka akan terhasil satu gabungan dan perkongsian ilmu yang cantik. Apa yang nyata tidak rugi jika kita menghormati guru tetapi sebaliknya satu kerugian besar jika kita tidak mengambil peluang menimba ilmu bersama guru.

Guru adalah manusia biasa, mereka juga mempunyai kelemahan. Kita sebagai anak muridnya perlu berlapang dada dan menerimanya secara waras kerana dia memberikan manfaat yang banyak kepada kita.

Ibu bapa dan guru-guru adalah institusi utama yang amat berpengaruh dalam memberi pendidikan dan membentuk nilai murni di kalangan pelajar. Peranan ibu bapa dan guru-guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara malah memberi pelaburan yang menguntungkan berterusan hingga hari akhirat.

Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya". (Hadis Riwayat Muslim).

Beberapa perkara dapat dirumuskan di sini antaranya:
  1. Perkhidmatan perguruan dan pendidikan adalah jihad dan amalan mulia kerana mewarisi tugas para rasul dan nabi malah Allah SWT dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas guru-guru.
  2. Penampilan dan akhlak guru menjadi ikutan kepada murid kerana mereka mempunyai pengikut yang ramai dan pengaruh yang kuat.
  3. Ibu bapa dan guru-guru perlu berkawan mesra supaya kesinambungan bimbingan dan tarbiah anak-anak dapat menghasilkan kualiti pendidikan yang cemerlang.
  4. Ibu bapa perlu melatih anak-anak supaya menghormati dan beradab dengan guru agar ilmu yang diperolehi itu berkat.

Sebagai muhasabah pentingnya ilmu dalam kehidupan, hayati firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 9 yang bermaksud:

"Apakah orang yang taat beribadat diwaktu malam dengan sujud dan berdiri, ia takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang musyrik? Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal".

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: