Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, July 12, 2011

Al-Quran merentasi zaman


Al-Quran merupakan mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada umatnya, sehingga tiada sesiapa pun yang mampu mencipta ayat-ayat al-Quran walaupun sepotong ayat yang setanding dengan kehebatan al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 23 yang bermaksud:

"Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur'an itu, dan panggillah orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang yang benar".

Al-Qur'an adalah kitab suci yang kekal sifatnya, sangat istimewa dan sesuai untuk semua zaman dan tempat. Ia bukan panduan untuk satu-satu bangsa atau masa-masa tertentu sahaja tetapi merupakan pembawa rahmat seluruh alam sehingga hari kiamat. Manakala perbahasan dan pengajaran yang diketengahkan di dalamnya pula membawa banyak manfaat kepada umat manusia.

Contohnya hasil kajian sains berkaitan biologi manusia (tubuh badan manusia) telah mengesahkan bahawa setiap manusia mempunyai cap jari yang berbeza antara satu sama lain. Sesungguhnya al-Quran telah menyebutkan hal ini lebih awal dari kajian tersebut iaitu sejak 1,429 tahun yang lampau.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qiamah ayat 3-4 yang bermaksud:

"Patutkah manusia menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya?. Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain)".

Demikian juga tentang kajian mengenai deria kulit manusia yang baru diketahui mempunyai sel-sel yang banyak serta paling sensitif. Perkara ini telah digambarkan oleh al-Quran ketika mana orang-orang berdosa diazab dalam neraka kelak, setiap kali kulit-kulit mereka yang terbakar hangus akan diganti dengan kulit lain untuk menggandakan keazaban yang berkekalan.

Marilah bersama-sama kita menjadikan al-Quran sebagai pedoman dan panduan hidup bermula di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Sesungguhnya semua hukum dan peraturan-Nya menjadi penyelamat di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 9 yang bermaksud:

"Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk kejalan yang benar (iaitu ajaran Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh bahawa mereka beroleh pahala yang besar".

Di samping itu, menjadi kewajipan kepada ibu bapa merancang program kelas-kelas al-Quran kepada anak-anak secara serius dan bersungguh-sungguh. Adalah malang jika anak-anak diabaikan daripada ilmu al-Quran, sedangkan pelajaran akademik sanggup disediakan kelas-kelas tuisyen. Sebagai umat Islam yang wajib beriman dan mengamalkan ajaran al-Quran perlulah memastikan bahawa masyarakat Islam bebas daripada penyakit buta al-Quran. Sesungguhnya masyarakat yang celik al-Quran akan dilimpahi hidayah keberkatan dan rahmat Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra' ayat 82 yang bermaksud:

"Dan Kami turunkan dari ayat al-Qur’an itu penawar dan rahmat bagi orang yang beriman; dan tidak menambahkan orang yang zalim kecuali kerugian".

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: