Maklumat yang diberikan ini hanyalah untuk makluman sahaja. Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenal-pasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian.
Buasir seringkali berlaku kepada seseorang yang mengalami sembelit atau kesukaran membuang air besar.
Buasir terjadi akibat turunnya lapisan permukaan dalam (mukosa) liang dubur akibat daripada geseran najis yang keras.
Darah yang keluar berwarna merah terang dan adakalanya memancut.
Pendarahan dalam keadaan berterusan dan berlanjutan agak lama akan menyebabkan penghidapnya mengalami sindrom kekurangan darah (anemia), menjadi letih dan tidak bermaya. Muka juga akan menjadi pucat.
Pada peringkat pertama pesakit akan mengalami pendarahan selepas membuang air besar. Pada peringkat kedua pesakit akan mendapati dubur akan keluar. Walau bagaimanapun dubur akan masuk dengan sendiri selepas ia mengecut.
Di peringkat ketiga pesakit akan mendapati dubur yang keluar tidak mahu masuk kembali ke dalam badan tanpa ditolak dengan jari. Di ketiga-tiga peringkat, pendarahan adalah simptom utama.
Seandainya kesukaran membuang air besar berterusan, keadaan buasir akan menjadi lebih teruk sehingga menjadi bengkak, sakit, berkudis dan mengalami pendarahan dalam buasir tersebut.
Untuk merawat buasir, pesakt perlu menjaga pemakanan. Pesakit perlu mengamalkan memakan sayur-sayuran, buah-buahan dan serat gentian yang secukupnya.
Untuk buasir peringkat kedua, buasir yang kembang itu perlu disuntik ubat atau diikat supaya saiznya kecil dan hapus.
Buasir di peringkat ketiga memerlukan pembedahan untuk membuang buasir dan memotong salur darah yang menjadi punca masalah.
Pesakit juga disaran menggunakan ubat suppositori untuk melembutkan najis.
Ada orang akan cuba melambatkan proses membuang air besar untuk menghindar rasa sakit. Tindakan tersebut akan memburukkan keadaan kerana najis akan menjadi lebih keras dan mengakibatkan kecederaan di dubur yang lebih teruk.
Buasir yang tidak dirawat akan merebak ke peringkat keempat. Buasir akan pecah selaputnya dan mudah mendapat jangkitan kuman.
Pendarahan dalam ketulan buasir boleh berlaku dan menyebabkan buasir menjadi lebih teruk.
Saluran darah di dalam ketulan buasir boleh tersumbat dan menyebabkan tisu di ketulan buasir mati.
Jangkitan kuman juga boleh menyebabkan bisul berlaku di dubur. Bisul ini akan pecah dan kemungkinan akan meninggalkan lubang fistula di dubur.
Keretakan di dubur juga boleh berlaku sekiranya buasir tidak mendapat jagaan yang sepatutnya. Seandainya berlaku keretakan ia boleh menyebabkan kesakitan yang sangat kuat apabila seseorang cuba membuang air besar.
Di dalam istilah perubatan, keretakan di dubur dikenali sebagai anal fissure. Meskipun keretakan yang berlaku amat sedikit namun kesakitan yang dialami adalah tidak berpadanan dengan keretakan itu. Keretakan boleh berlaku di bahagian belakang atau hadapan dubur.
Keretakan ini disebabkan oleh najis yang keras yang melalui dubur. Adakalanya ia juga akan mengeluarkan darah.
Pesakit boleh melihat sendiri keretakan di dubur ini dengan cara bertinggung di atas cermin.
Keretakan dubur juga boleh terjadi akibat penyakit radang usus seperti Crohn's Disease dan Ulcerative Colitis. Keretakan di dubur ini lazimnya menyerang golongan wanita berbanding lelaki, terutama sekali wabita yang mengandung.
Retak di dubur biasanya akan sembuh dalam masa dua atau tiga minggu.
Untuk mengatasi keadaan ini, jangan sekali-kali menunda untuk membuang air besar. Banyakkan memakan sayur-sayuran yang mempunyai banyak serat gentian kerana ia membantu membentuk najis yang lembut dan mengandungi banyak air.
Amalan memakan buah-buahan yang mengandungi banyak air juga salah satu cara untuk mengatasi masalah buasir. Buah-buahan hendaklah dimakan dalam keadaan segar.
Pesakit juga boleh mengambil julap untuk menjadikan najis lembut dan memudahkan proses membuang air besar. Pesakit juga boleh menyapukan ubat pelali di permukaan dubur yang retak.
Bagi pesakit yang mendapat anal fissure atau keretakan di dubur dalam jangkamasa yang lama, pembedahan adalah digalakkan.
Sebelum pembedahan dilakukan, pesakit hendaklah mengamalkan cara pemakanan yang baik dan sesuai untuk masalah keretakan di dubur supaya masalah yang sama tidak berulang selepas pembedahan dijalankan.
Rawatan pembedahan terbaik ialah dengan memotong otot yang mengawal permukaan dubur di sebelah tepi kiri atu kanan, dikenali sebagai lateral sphincterotomy.
Dengan memotong otot ini, kekemutan pada dubur akan berkurangan dan memberi masa yang cukup untuk keretakan itu melalui proses penyembuhan.
Sumber: Artikel asal Buasir punca dan rawatan tulisan Dr. Hassan Mat, Utusan Malaysia 6 Mac 1998.
No comments:
Post a Comment