Maklumat yang diberikan ini hanyalah untuk makluman sahaja. Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenal-pasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian.
MEMAHAMI PENYAKIT MENTAL
Lebih kurang 10 peratus daripada rakyat Malaysia akan menghidap penyakit mental pada satu peringkat dalam kehidupan mereka. Dan lebih kurang 1 peratus (230,000) rakyat Malaysia telah menderita akibat penyakit-penyakit psikotik seperti skizofrenia, iaitu putus hubungan dengan dunia nyata semasa diserang penyakit ini.
Penyakit mental boleh dirawat.
APAKAH SKIZOFRENIA?
Skizofrenia merupakan satu keadaan kesihatan yang mana kebolehfungsian normal otak terjejas. Ia mengganggu keupayaan seseorang pesakit itu untuk berfikir, bertindak dan meluahkan perasaan.
Skizofrenia secara relatifnya adalah sejenis penyakit yang umum dan menyerang seorang daripada setiap seratus orang pada satu-satu masa dalam kehidupan mereka.
Serangan pertama lazimnya berlaku pada usia belasan tahun atau hampir dewasa. Lelaki dan wanita mempunyai kemungkinan yang sama untuk menghidap penyakit ini, namun lelaki cenderung menghidapnya lebih awal berbanding wanita.
Sesetengah orang mungkin telah dilahirkan dengan pembawaan yang akan mengakibatkan penyakit ini, sementara beberapa perkara tertentu seperti ganja dan ekstasi boleh mencetuskan serangan pertama penyakit ini.
Sesetengah pesakit akan sembuh sepenuhnya, sementara yang lain pula akan menghidap penyakit ini bagi seumur hidup. Dengan adanya sokongan serta ubat-ubatan dan rawatan moden, kebanyakan daripada pesakit dapat meneruskan semula kehidupan mereka.
Walaupun skizofrenia ini tiada penawarnya, tetapi dengan diagnosis awal dan rawatan yang berkesan untuk pesakit skizofrenia pada masa kini, keadaannya adalah jauh lebih baik berbanding dahulu.
APAKAH GEJALA-GEJALA SKIZOFRENIA?
Gejala utama skizofrenia adalah melibatkan keadaan terputusnya hubungan dengan dunia nyata apabila seseorang pesakit itu menghidap sakit yang akut:
- Halusinasi - biasanya melibatkan kejadian pesakit mendengar suara. Gejala umum yang lain, tetapi agak jarang dialami, termasuklah melihat, merasa, menyentuh atau menghidu sesuatu yang difikirkan oleh seseorang pesakit itu wujud, tetapi pada hakikatnya tidak.
- Kecelaruan pemikiran - dimana pertuturan mungkin sukar difahami. Contohnya, beralih daripada satu subjek kepada subjek yang lain tanpa urutan yang logik. Pemikiran dan pertuturan juga mungkin akan bercampur-aduk dan tidak teratur. Pesakit mungkin menganggap bahawa seseorang itu ingin mengganggu fikiran mereka. Ini akan mengakibatkan kesukaran untuk mereka berfikir dan berkomunikasi dengan jelas.
- Delusi dan kepercayaan palsu - yang tidak dikongsi dengan orang lain yang mempunyai latar belakang budaya yang sama dan yang mana adalah mustahil untuk diubah dengan hujah yang logik. Contohnya, seseorang pesakit itu mungkin percaya bahawa sesuatu pemikiran sedang diserapkan ke dalam otak mereka, bahawa mereka mempunyai kuasa istimewa atau mereka sedang diintip.
Gejala-gejala yang lain termasuklah:
- Motivasi yang rendah.
- Menyisihkan diri daripada orang lain.
- Kesukaran untuk meluahkan perasaan - contohnya menunjukkan rasa gembira atau sedih yang tidak kena pada tempatnya.
Sesetengah pesakit pula didiagnos dengan keadaan kesihatan berkaitan yang digelar kecelaruan skizoafektif. Selain daripada gejala-gejala yang disebut di atas, mereka juga mengalami perubahan angin yang melampau, menjadi gila dan murung tanpa sebarang sebab. Sama seperti skizofrenia, kecelaruan skizoafektif juga boleh dirawat.
APAKAH RAWATAN BAGI SKIZOFRENIA?
Rawatan adalah berpotensi untuk mengurangkan, malah boleh menghapuskan gejala-gejala ini. Diagnosis biasanya akan dibuat oleh ahli psikiatri.
Rawatan yang paling berkesan untuk skizofrenia adalah melibatkan pengubatan, kaunseling psikologi dan bantuan dari segi menguruskan kesannya dalam kehidupan seharian.
Perkembangan pengubatan antipsikosis telah membawa pembaharuan dalam rawatan untuk skizofrenia. Pada masa kini, kebanyakan pesakit tidak perlu tinggal di hospital dan boleh hidup bersama-sama dalam lingkungan masyarakat. Bukan semua pesakit yang menghidap skizofrenia perlu pergi ke hospital, dan penjagaannya boleh dibuat dalam lingkungan masyarakat.
Pengubatan
Pengubatan yang digunakan untuk merawat skizofrenia dikenali sebagai 'pengubatan antipsikosis'. Pengubatan ini boleh membantu untuk memulihkan keseimbangan bahan kimia semula jadi di dalam otak dan ianya tidak mendatangkan ketagihan.
'Pengubatan atipikal' yang baru adalah lebih berkesan dan mempunyai sedikit sahaja kesan sampingan berbanding ubat lain yang konvensional.
Skizofrenia adalah sejenis penyakit seperti mana penyakit-penyakit fizikal yang lain. Contohnya seperti mana insulin bagaikan nyawa kepada seseorang yang menghidap diabetes, pengubatan antipsikosis pula umpama nyawa bagi pesakit skizofrenia. Seperti mana juga penyakit diabetes, sesetengah pesakit skizofrenia perlu mengambil pengubatan untuk tempoh yang tidak boleh dipastikan bagi mengelakkan penyakit tersebut berulang lagi dan bagi memastikan gejala-gejalanya terkawal.
Rawatan dan sokongan lain
Walaupun penawar untuk skizofrenia belum lagi ditemui, pemeriksaan yang tetap oleh doktor atau ahli psikiatri dan mungkin juga sekumpulan penjaga kesihatan dalam pelbagai bidang seperti jururawat kesihatan mental, pekerja-pekerja kebajikan, ahli terapi pekerjaan dan ahli psikologi boleh membantu para pesakit skizofrenia untuk menyelaras dan melakukan perkara-perkara yang penting dalam kehidupan mereka.
Pendidikan, latihan dan sokongan daripada keluarga serta penjaga kesihatan yang lain merupakan sebahagian yang penting dalam rawatan, seperti juga sifat saling memahami daripada masyarakat.
MITOS, SALAH FAHAM DAN FAKTA
Mitos, salah faham, stereotaip dan sikap yang negatif sentiasa membelenggu isu penyakit mental dan khususnya penyakit skizofrenia. Akibatnya, timbullah stigma, pengasingan dan diskriminasi.
Adakah pesakit skizofrenia mempunyai dua personaliti?
Tidak. Skizofrenia adalah merujuk kepada perubahan dalam fungsi mental seseorang, yang mana pemikiran dan persepsi boleh menjadi bercelaru.
Adakah pesakit skizofrenia kurang upaya dari segi intelek?
Tidak. Skizofrenia bukan merupakan masalah kekurangan upaya dari segi intelek.
Adakah pesakit skizofrenia terencat akal?
Tidak. Pesakit skizofrenia bukan terencat akal.
Adakah pesakit skizofrenia merbahaya?
Tidak. Pesakit skizofrenia biasanya tidak merbahaya jika menerima rawatan yang bersesuaian. Walau bagaimanapun sekumpulan kecil pesakit kadang-kala menjadi agresif apabila mereka mengalami serangan akut dengan tanpa menerima sebarang rawatan, kerana rasa takut yang mereka alami. Keagresifan ini biasanya dilepaskan di kalangan keluarga dan mereka yang dikenali - jarang sekali terhadap orang luar.
Adakah pesakit yang mengambil pengubatan skizofrenia akan mengalami ketagihan pengubatan tersebut?
Tidak. Pengubatan ini membantu untuk mengurangkan keseriusan gejala-gejala yang timbul. Pengubatan yang khusus untuk merawat skizofrenia tidak akan mendatangkan ketagihan.
Adakah skizofrenia merupakan penyakit mental seumur hidup?
Tidak semestinya. Melalui bantuan profesional dan sokongan sosial, kebanyakan pesakit akan dapat belajar menangani gejala-gejala yang mereka alami dan menikmati kualiti kehidupan yang memuaskan. Pada hakikatnya, lebih kurang 20-30 peratus daripada pesakit skizofrenia ini hanya mengalami sekali atau dua kali sahaja serangan psikotik dalam hidup mereka.
DI MANAKAH SAYA BOLEH DAPATKAN SOKONGAN?
Berbincanglah dengan doktor anda atau hospital tempatan ataupun dengan penyedia perkhidmatan kesihatan mental masyarakat jika anda berasa bimbang tentang seseorang yang menunjukkan gejala-gejala yang hampir sama dengan gejala-gejala yang dinyatakan dalam info ini.
Sama ada anda berasa bimbang mengenai diri anda atau tentang orang lain, ia akan membantu doktor jika anda dapat memberikan sebanyak mungkin maklumat yang berkaitan.
Sebelum itu, anda mungkin mendapati ia boleh membantu jika anda menulis segala kebimbangan anda secara terperinci.
Jika didiagnoskan sebagai penghidap penyakit skizofrenia, adalah penting untuk memahami tanda-tanda amaran tentang serangan yang akan berulang lagi, agar bantuan boleh diberikan sebelum satu lagi serangan bermula. Hal ini perlu dibincangkan dengan doktor yang merawat, pekerja-pekerja serta penjaga kesihatan mental yang lain.
Pemeriksaan yang tetap oleh doktor juga adalah penting bagi memastikan rawatan yang berkesan dapat diberikan.
Jika anda atau seseorang yang anda kenali menghidap skizofrenia, ada baiknya untuk mendapatkan nombor telefon pusat krisis berdekatan. Ini berguna apabila bantuan segera diperlukan.
sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia.
No comments:
Post a Comment