Pengikut dan Ex-smgrian
Sunday, March 20, 2011
Tsunami: Persediaan menghadapinya dan langkah-langkah keselamatan
MENGESAN TSUNAMI SECARA SEMULAJADI
RASA
Gempa bumi yang kuat boleh menghasilkan tsunami. Adakah anda merasa gegaran yang kuat?
LIHAT
Apabila tsunami menghampiri pantai, air laut mungkin surut sehingga menampakkan dasar laut, batu karang dan ikan. Adakah anda melihat air surut yang luar biasa?
DENGAR
Keadaan laut yang luar biasa seperti dinding air yang bergerak sambil mengeluarkan bunyi deruman bagai keretapi atau kapal terbang. Adakah anda mendengar bunyi air laut yang berderum?
Sekiranya anda mengesan ketiga-tiga tanda di atas, kemungkinan besar tsunami berlaku dan sedang menghampiri pantai. Perkara yang harus anda lakukan adalah lari meninggalkan kawasan pantai dengan seberapa segera. Anda tidak perlu menunggu untuk dipindahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa sebaliknya segera lari menuju ke kawasan tinggi.
LANGKAH KESELAMATAN.
Tidak semua gempa bumi menghasilkan tsunami. Jika gempa bumi berlaku, bersedia untuk mendengar maklumat amaran awal tsunami.
Gempa bumi yang berlaku adalah amaran semula jadi bakal berlakunya tsunami. Jangan berada di kawasan pantai selepas gempa bumi kuat berlaku.
Tsunami kadangkala bermula dengan air surut secara mendadak. Bunyi deruman menandakan ombak tsunami sedang mara ke pantai. Ini juga adalah amaran semula jadi untuk tsunami.
Tsunami merupakan siri gelombang air yang sampai ke pantai dalam tempoh beberapa jam. Gelombang pertama berkemungkinan bukan ombak paling besar. Jangan menghampiri pantai sehingga keadaan selamat diberitahu oleh pihak berkuasa.
Jangan membuat andaian bahawa tsunami kecil tidak mendatangkan bahaya. Walaupun kecil ia boleh memberi impak yang besar.
Semua amaran tsunami yang dikeluarkan perlu dipandang serius. Contohnya kejadian tsunami yang berlaku pada bulan Mei 1960 di Hilo, Hawaii telah mengorbankan 61 orang diakibatkan oleh orang ramai yang tidak mengendahkan amaran yang telah dikeluarkan.
Semua tsunami berpotensi menjadi bahaya walaupun ia tidak memusnahkan setiap pesisiran pantai yang dilandanya.
Jangan sesekali pergi ke pesisiran pantai untuk melihat tsunami. Apabila ombak dapat dilihat, bermakna ombak terlalu hampir dan anda tidak sempat untuk melarikan diri.
Jika anda tinggal berdekatan dengan pantai yang berisiko, sentiasa bersedia dan peka terhadap tanda-tanda semula jadi tsunami.
Semasa kejadian tsunami, pihak keselamatan tempatan, polis dan badan sukarela akan cuba menyelamatkan nyawa kita. Berilah kerjasama sepenuhnya kepada mereka.
PERSEDIAAN
Pelajari fakta mengenai tsunami. Pengetahuan ini boleh menyelamatkan nyawa anda!
Berkongsi pengetahuan bersama keluarga dan rakan. Ianya boleh menyelamatkan nyawa mereka!
Kenal pasti sama ada tempat tinggal, kerja dan riadah anda berada di luar kawasan pantai atau terletak di zon perpindahan tsunami.
Ikut arahan dan nasihat pihak berkuasa tempatan. Jangan kembali ke tempat tinggal sehingga dibenarkan.
Jauhkan diri dari pantai. Sekiranya berlaku gempa bumi dan anda merasai gegaran tersebut, segera berpindah ke kawasan tanah tinggi. Jangan tunggu sehingga amaran tsunami dikeluarkan.
Jauhi dari sungai atau terusan kerana air laut boleh melimpah sekiranya berlaku tsunami besar.
Jika anda tinggal di kawasan yang terdedah kepada bencana tsunami dan mendengar amaran tsunami dikeluarkan, pindah ke tempat yang lebih selamat. Bergerak dengan tenang ke penempatan sementara atau tempat yang selamat.
Jika anda berada di sekolah dan terdengar amaran tsunami, ikut arahan pihak sekolah dan guru.
Jika anda tidak sempat bergerak jauh dari pantai, cari bangunan bertingkat yang kukuh yang dapat memberi perlindungan di tingkat tiga dan ke atas.
LANGKAH KESELAMATAN BAGI PELAYAR
Memandangkan ombak tsunami tidak dapat dilihat dari permukaan laut dalam, jangan kembali ke pelabuhan jika amaran tsunami telah dikeluarkan. Kemudahan di pelabuhan mungkin musnah dan serpihannya berbahaya kepada keselamatan. Dengar perkembangan terkini melalui radio marin.
Tsunami boleh menyebabkan perubahan drastik terhadap paras air dan arus. Bahaya yang tidak dijangka mungkin boleh berterusan selama beberapa jam berikutan kesan awal tsunami.
Hubungi pihak berkuasa pelabuhan atau dengar laporan radio marin bagi memastikan pelabuhan adalah selamat untuk kembali berlabuh.
Kapal adalah lebih selamat semasa berada di laut dalam berbanding di pangkalan. Jangan mengambil risiko untuk pergi ke laut dalam jika ombak telah hampir.
Sekiranya berlaku tsunami tempatan, anda tidak sempat untuk belayar ke laut dalam kerana ombak boleh datang dalam beberapa minit. Tinggalkan kapal anda di pangkalan dan bergegas ke tempat tinggi.
Untuk tsunami yang jauh, anda mempunyai masa (beberapa jam) untuk berlabuh. Dengar pengumuman masa ketibaan tsunami dan buat perancangan sewajarnya.
Kebanyakan pelabuhan besar berada di bawah kawalan pihak berkuasa pelabuhan dan/atau sistem laluan trafik perkapalan. Apabila tsunami berlaku, semua kapal yang berada di perairan perlu bersedia menerima arahan secara terus daripada pihak berkuasa. Sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa apabila amaran tsunami dikeluarkan.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), layari www.met.gov.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment