"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." - Surah ar-Rum: ayat 21.
Menurut Tafsir Ibnu Kathir, yang dimaksudkan dengan pasangan ialah Hawa.
Allah SWT menciptakan Hawa daripada tulang rusuk sebelah kiri Adam yang pendek.
Seandainya Allah SWT menjadikan semua manusia jenis lelaki manakala pasangannya makhluk yang lain seperti jin dan haiwan, nescaya tidak ada keserasian dan kesesuaian di antara pasangan itu.
Bahkan, bila mana pasangan berkenaan berlainan jenis, nescaya akan lahir perasaan tidak selesa dan ketakutan.
Selanjutnya, di antara kesempurnaan kasih sayang Allah SWT terhadap manusia, Allah menjadikan pasangan mereka itu daripada jenis mereka sendiri.
Allah menciptakan pada setiap pasangan itu rasa cinta dan kasih sayang.
Ini kerana tidaklah seorang lelaki menikahi seorang wanita melainkan pertama, kerana rasa cinta dan kasih sayang yang dibuktikan dengan lahirnya anak daripada rahim isteri.
Kedua, kerana si isteri memerlukan nafkah daripadanya dan ketiga kerana ingin menciptakan rasa cinta antara mereka berdua.
Nikmat dijadikan Allah SWT itu hendaklah difikirkan sehingga menimbulkan rasa syukur dalam diri dengan mematuhi perintah dan meninggalkan larangan-Nya.
Berkaitan jodoh, tidak semua manusia yang lahir ke dunia ini pasti akan berkahwin.
Ia adalah rahsia Allah SWT sebagai mana persoalan rezeki, ajal dan sebagainya.
Begitu juga, tidak semua yang berkahwin itu pasti mempunyai zuriat.
Tetapi secara fitrahnya, manusia memerlukan pasangan, zuriat, harta dan seumpamanya.
Firman Allah SWT:
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak hartabenda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang- binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)." - Surah Ali Imran: Ayat 14
Antara perkara yang boleh kita lakukan adalah:
- Hendaklah seseorang yang mengaku beriman, berbaik sangka dengan Allah SWT jika masih belum menemui jodoh agar jiwanya menjadi lapang.
- Banyakkan berdoa dan bermunajat kepada-Nya.
- Hendaklah bertakwa kepada-Nya.
- Hendaklah berusaha mencari jodoh yang tidak melanggar syariat Allah SWT.
Antara jalan untuk mencari jodoh iaitu melalui perantara ibu bapa, sahabat dan orang salih.
Firman Allah SWT:
"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui." - Surah an-Nur: ayat 32)
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Jika seseorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu reda (berpuas hati) agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Sekiranya tidak, maka akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang besar".
Bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yang mencari jodoh orang lain hendaklah menitik beratkan ibadat kerana aspek salih itu harus menjadi keutamaan.
Jangan menjadikan kecantikan, kekayaan dan keturunan sebagai keutamaan.
Jangan memilih orang fasik sekalipun ia memiliki kekayaan atau rupa.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis:
"Sesiapa yang menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasik, bererti ia memutuskan hubungan silaturahim dengan anaknya sendiri."
Oleh Ustaz Zahazan Mohamed, Berita Minggu 6 Februari 2011.
No comments:
Post a Comment