Firman Allah SWT:
"Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap kaum (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) diantara mereka. Alih- alih satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu)".-Surah Ali Imran: 23
Ayat di atas menerangkan bahawa kaum Bani Israel (Yahudi) telah diturunkan Kitab Taurat sebagai panduan hidup bagi mereka tetapi mereka telah menolak seruan daripada Allah SWT.
Faktor-faktor mereka menolak seruan Allah:
- Mereka menjangka bahawa azab yang diturunkan oleh Allah SWT tidaklah seteruk mana
- Mereka terpedaya dalam kesesatan yang mereka ciptakan sendiri.
- Mereka menyangka bahawa kekuasaan dan kekayaan mereka mampu melepaskan mereka daripada azab yang diturunkan Allah SWT.
Firman Allah SWT:
"Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung". Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan".-Surah Ali Imran: 24
Firman Allah SWT:
"Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya".-Surah Ali Imran: 25
Allah berkuasa untuk melenyapkan golongan yang bongkak dan melampaui batas. Allah juga berkuasa untuk memuliakan sesiapa yang dikehendakiNya. Allah akan merampas kekuasaan daripada mereka yang bongkak dan memberikan penghinaan yang memalukan kepada mereka. Sesungguhnya Allah juga berkuasa untuk memberi rezeki dan kemewahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Firman Allah SWT:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".-Surah Ali Imran: 26
"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".-Surah Ali Imran: 27
Allah SWT melarang melantik golongan kafir, munafik, fasiq dan zalim menjadi pemimpin dalam urusan agama dan dunia kecuali kerana takut dan dipaksa.
Firman Allah SWT:
"Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang- orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya) dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya".-Surah Ali Imran: 28-30
Ayat tersebut diturunkan kepada Bani Israel namun ianya masih relevan dan boleh dijadikan iktibar bagi kita yang hidup di zaman sekarang.
Dicernakan daripada Khutbah Jumaat berjudul Menolak Seruan Allah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Hafizi bin Kariah, Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh pada 18 Februari 2011.
No comments:
Post a Comment