Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, February 17, 2010

Nostalgia Milli Vanilli

 

Milli Vanilli merupakan suatu fenomena yang pernah melanda SMGR sekitar awal 90'an dahulu (Milli Vanilli adalah fenomena dunia pada waktu itu).

Sebelum fenomena Rap dan Hip-Hop dicetuskan oleh Vanilla Ice dan MC Hammer, Milli Vanilli terlebih dahulu menjengah ke hati muda-mudi ketika itu dan digilai oleh remaja termasuk juga Mat-Mat Rock.  Kemungkinan imej Milli Vanilli yang berambut ala-ala Dreadlock dan berseluar Jeans koyak lebih disenangi oleh Mat-Mat Rock berbanding kemunculan NKOTB, Vanilla Ice dan MC Hammer tidak berapa lama kemudian dengan imej berambut pendek kemas, memakai seluar labuh dan besar yang boleh memuatkan 10 orang budak agak kurang diminati oleh Mat-Mat Rock.

Milli Vanilli merupakan sebuah kumpulan yang dianggotai oleh dua orang penyanyi iaitu Fab Morvan dan Rob Pilatus.  Milli Vanilli sebenarnya ditubuhkan oleh penerbit album Frank Farian dari Jerman. 

Frank Farian terjumpa Fab Morvan dan Rob Pilatus di sebuah disko di Berlin.  Frank Farian mendapati Morvan dan Pilatus mempunyai gaya yang fotogenik, tambahan pula kedua-duanya adalah model dan pandai menari.  Dia menawarkan mereka kontrak rakaman dan menubuhkan sebuah kumpulan duet yang bernama Milli Vanilli.

Album pertama Milli Vanilli berjudul All or Nothing dikeluarkan di Eropah pertengahan tahun 1988 yang menandakan kemunculan pertama Milli Vanilli.  Disebabkan oleh sambutan hangat terhadap album itu maka Arista Record di Amerika Syarikat telah menawarkan kontrak rakaman kepada mereka berdua, dan Milli Vanilli pergi ke Hollywood untuk album baharu bersama Arista Records.  Arista Records telah membuang beberapa lagu daripada album lama Milli Vanilli dan menambah beberapa lagu termasuk Blame It on the Rain ciptaan Diane Warren.  Judul album juga ditukar daripada All or Nothing kepada Girl You Know It's True.

 

Album tersebut mendapat anugerah platinum sebanyak 6 kali di samping lagu-lagunya seperti Baby Don't Forget My Number, Girl I'm Gonna Miss You, Girl You Know It's True dan Blame It on the Rain telah menduduki tempat teratas di dalam carta seperti Billboard 100 dan America's Top 40.  Milli Vanilli juga mendapat beberapa anugerah di dalam Grammy Awards dan American Music Awards.

Namun kegemilangan Milli Vanilli tidak bertahan lama apabila mereka didakwa melakukan lip-sync iaitu hanya menggerakkan bibir setiap kali persembahan manakala lagu-lagu mereka dinyanyikan oleh penyanyi lain.  Semuanya bermula sewaktu mereka mengadakan persembahan secara langsung di MTV sekitar tahun 1989 di mana sewaktu sedang menyanyikan lagu Girl You Know It's True, pemain rekod yang memainkan lagu itu telah rosak dan perkataan Girl, you know it's .... diulangi beberapa kali.  Pada mulanya mereka cuba untuk menari dan berbuat seolah-olah ianya adalah suatu gimik, namun kemudian mereka lari meninggalkan pentas.  Perbuatan mereka juga sebenarnya tidak mendapat reaksi daripada penonton yang menyangkakan ianya salah satu dari aksi persembahan.

Namun kritikan daripada wartawan hiburan dan media menyebabkan Rob dan Fab diburu untuk mendapatkan penjelasan tentang apa yang berlaku.  Setelah Frank Farian membuat pengakuan secara lansung kepada media pada tahun 1990, bahawa Morvan dan Pilatus tidak pernah menyanyi langsung di dalam album tersebut, menyebabkan anugerah Grammy yang dimenangi mereka ditarik balik.  American Music Awards bagaimanapun tidak menarik balik anugerah yang dimenangi oleh Milli Vanilli kerana berpendapat sekalipun mereka tidak menyanyi mereka tetap menyumbang kepada industri muzik.  Arista Records pula menggugurkan album Girl You Know Its True daripada katalog mereka dan menghentikan percetakan album tersebut.

Pilatus, Morvan dan Arista Records didakwa dibawah Akta Perlindungan Penipuan terhadap Pengguna Amerika Syarikat (US Consumer Fraud Protection Laws) di mana mereka perlu membayar semula ganti rugi kepada pembeli-pembeli album Girl You Know Its True.

Disebabkan pembikinan album kedua Milli Vanilli telah pun dibuat ketika kontroversi sedang melanda Milli Vanilli, menyebabkan Frank Farian terpaksa menerbitkan album tersebut dengan nama The Real Milli Vanilli.  Untuk album ini ia menyatakan penyanyi sebenar yang telah menyanyikan lagu-lagu hits Milli Vanilli sebelum ini iaitu Brad Howell, John Davis, Ray Horton dan Gina Mohammed.  Sambutan untuk album ini tetap menggalakkan di mana single daripada album ini iaitu Keep on Running telah menduduki tempat keempat di Carta Lagu Jerman.

Setelah Morvan dan Pilatus digugurkan dari Milli Vanilli, mereka berpindah ke Los Angeles dan menandatangani kontrak bersama Joss Entertainment Group, mengeluarkan album pertama mereka bersama syarikat itu iaitu Rob & Fab.  Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini dicipta dan ditulis oleh Kenny Taylor dan Fabrice Morvan sendiri.  Mereka juga menyanyikan sendiri lagu-lagu di dalam album ini.  Bagaimanapun disebabkan oleh kurang publisiti dan strategi pemasaran yang tidak berkesan menyebabkan album ini tidak mendapat sambutan.

Rob Pilatus

Pada tahun 1997, Frank Farian bertemu semula dengan Fab Morvan dan Rob Pilatus lalu menerbitkan album comeback Milli Vanilli berjudul Back and in Attack.  Namun Pilatus ketika ini mengalami kemurungan dan terbabit dengan beberapa masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah.  Pilatus juga terlibat dengan beberapa kes rompakan bersenjata dan dihukum penjara selama tiga bulan di California.  Farian kemudian menghantar Pilatus ke pusat pemulihan dadah dan membiayai perbelanjaan pulang Pilatus ke Jerman.  Pada 2 April 1998, Rob Pilatus ditemui mati di sebuah hotel di Frankfurt.  Punca kematian disebabkan oleh pengambilan dadah dan alkohol yang berlebihan dan pihak polis mengklasifikasikan sebagai kes bunuh diri.  Pilatus ketika itu berusia 32 tahun.

Fab Morvan

Fab Morvan kemudian menjadi sessionist dan juga sebagai DJ radio.  Pada tahun 2003, Fab Morvan mengeluarkan album solo pertamanya berjudul Love Revolution.  Album ini dijual melalui online dan hanya dapat diperolehi melalui laman web www.fabricemorvan.com.  Single daripada album ini iaitu Roll dan Time Will Reveal boleh didengari di laman profil Fab Morvan di MySpace.

Fab Morvan kini dalam perancangan untuk filem pertamanya bersama Universal Pictures.  Skrip dan lakon layar filem ini ditulis oleh Jeff Nathanson, yang sebelum ini pernah menulis untuk filem Catch Me If You Can arahan Steven Spielberg.  Filem ini mengisahkan tentang kisah suka duka Rob dan Fab termasuk kontroversi yang melanda Milli Vanilli.  Barisan pelakon yang akan membintangi filem ini masih tidak diketahui.

Sumber: wikipedia

No comments: