Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, November 17, 2009

Tidak mustahil kanser servikal dapat dihapuskan

Maklumat yang diberikan ini hanyalah untuk makluman sahaja. Maklumat yang diberikan tidak sepatutnya digunakan untuk mengenal-pasti atau mengubati sebarang jenis penyakit. Sila rujuk kepada doktor atau ahli perubatan yang terlatih untuk tujuan mengenalpasti jenis penyakit dan rawatan yang bersesuaian.

Lima dekad dari sekarang, kanser servikal mungkin hanya menjadi kenangan silam bagi sesetengah orang.  Bagi yang lain pula mereka mungkin tidak pernah mendengarnya.

Adakah senario ini boleh terjadi?  Ya, kata pakar perundingan obsterik dan ginekologi Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar.

"Menghapuskan sama sekali kanser servikal bukanlah sesuatu yang mustahil, jika terdapat usaha bersepadu dalam menyaring dan memberi vaksin," kata Dr Nor Ashikin, yang juga merupakan pengasas Primanora Medical Centre.

Cegah kanser, jalani saringan

Untuk menghapuskan sama sekali kanser servikal, pengesanan awal perlu bagi mengesan kehadiran sel-sel luar biasa yang berpotensi berubah menjadi kanser.

Ini boleh dilakukan melalui ujian servikal, yang lebih dikenali sebagai ujian 'PAP smear', yang mengesan perubahan dalam sel-sel servikal.

Malangnya, ramai wanita tidak menyedari tentang pentingnya untuk menjalani ujian ini secara berjadual.

Dr Nor Ashikin memberi contoh bahawa dalam kalangan wanita profesional, kurang 30 peratus daripada mereka menjalani saringan.

"Apatah lagi dalam kalangan bukan profesional?  Dalam usaha mengurangkan kematian kerana kanser servikal, kita harus memastikan sekurang-kurangnya 60 - 80 peratus daripada populasi wanita di Malaysia menjalani ujian PAP," katanya.

Setiap tahun kira-kira 500,000 wanita di seluruh dunia didiagnosis dengan kanser servikal, menyebabkan 273,505 kematian setiap tahun.

Jika dibandingkan dengan negara Asia yang lain, Malaysia mencatatkan kejadian kanser servikal lebih tinggi dan kes-kes kanser servikal merupakan yang kedua terbanyak di negara ini.

Saringan PAP smear penting, tetapi tidak mencegah kanser

Walaupun ujian PAP smear adalah penting kerana ia mengesan sel-sel luar biasa di peringkat awal lagi, ia tidak menghalang kanser servikal, demikian dijelaskan oleh Dr. Nor Ashikin.

"Tetapi adalah masih penting untuk menjalani ujian PAP ini kerana pengesanan awal sel-sel luar biasa boleh membantu kita menghalang kanser daripada merebak.

"Hakikat sebenarnya ialah vaksin ini tidak boleh mengubati kanser servikal.

"Vaksin ini hanya mencegah jangkitan Human Papilloma Virus (HPV).  Penjelasan ini perlu untuk mengelakkan tanggapan salah, harapan tidak realistik, dan dalam senario terburuk, pertikaian perundangan yang tidak perlu," katanya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan kaum wanita bahawa mereka tidak harus mengambil kesempatan daripada vaksin HPV untuk mengamalkan seks bebas.

Dr Nor Ashikin berkata terdapat 100 jenis HPV, tetapi hanya 20 daripadanya yang menyebabkan kanser, yang paling lazim ialah strain 16 dan 18 yang menjadi penyumbang utama kepada kanser servikal.

Boleh dijangkiti HPV tanpa hubungan seks

Beliau berkata HPV boleh berjangkit walaupun tanpa melakukan hubungan seks kerana virus ini boleh berpindah dengan mudah melalui kulit.

Penggunaan kondom juga tidak dapat mencegah jangkitan HPV kerana lapisan getah itu hanya melindungi bahagian tertentu kemaluan lelaki, sementara tisu-tisu skrotum dan anal terdedah.

"Sehinggakan sel-sel mati yang berpindah semasa persetubuhan mungkin mengandungi virus itu yang masih boleh berjangkit walaupun selepas empat atau lima hari," katanya.

Dr Nor Ashikin berkata, lebih kurang separuh daripada wanita yang aktif secara seksual boleh dijangkiti HPV onkogenik (yang menyebabkan barah) di peringkat tertentu kehidupan mereka, terutama selepas mereka mula terbabit secara aktif dalam hubungan seksual.

Walaupun 85 peratus daripada jangkitan HPV adalah berkaitan dengan aktiviti seksual, 10 hingga 15 peratus daripada jangkitan berlaku walaupun tanpa sentuhan seksual.

Jangkitan ini mungkin berlaku daripada ibu yang dijangkiti kepada anaknya, melalui pakaian dalam yang tidak bersih, sarung tangan pembedahan, cadar, forseps biopsi atau kotoran daripada kuku.

"Bagaimanapun, kes-kes seperti ini agak jarang," katanya.


Vaksin kontroversi

Cervarix dan Gardasil ialah dua vaksin yang telah diwujudkan bagi pencegahan kanser servikal yang berkaitan dengan strain 16 dan 18 HPV.  Beberapa negara di seluruh dunia telah meluluskan penggunaan vaksin ini pada anak gadis dan wanita.

Bagaimanapun, Natalie Morton, seorang pelajar berusia 14 tahun di United Kingdom meninggal dunia di hospital selepas menerima suntikan Cervarix, menyebabkan beribu-ribu orang di seluruh dunia menyuarakan kebimbangan mereka berhubung suntikan vaksin bagi kanser servikal.

Pada September lepas hasil siasatan menunjukkan kematian Morton ialah disebabkan ketumbuhan yang jarang ditemui, di paru-parunya, yang hanya diketahui selepas kematiannya, dan bukan kerana vaksin itu.

Di Malaysia, walaupun timbul pelbagai pendapat umum, kerajaan mengumumkan bahawa ia akan meminta kebenaran ibu bapa sebelum menyuntik vaksin itu pada murid-murid perempuan berusia 13 tahun.

Dr Nor Ashikin menyambut baik langkah itu dan berharap ibu bapa dan pihak yang bimbang dapat menilai dengan bijak mengapa vaksin ini penting.

- Bernama

No comments: