CUBA berfikir secara positif sepanjang rawatan berlangsung.
SAKIT gigi seringkali disifatkan sebagai antara kesakitan paling teruk yang pernah dialami oleh seseorang. Ironinya, ia juga satu-satunya kesakitan yang boleh ditahan oleh seseorang hanya kerana mereka takut berjumpa doktor gigi.
Cuba tanya di sekeliling anda. Tidak menghairankan jika sebilangan besar memberitahu perasaan fobia terhadap doktor gigi sewaktu zaman kanak-kanak masih diingati sehingga ke hari ini.
Jangan terkejut jika segelintir daripada kita mungkin membenci doktor gigi. Tidak hairan juga ada yang menyifatkan golongan profesional ini sebagai manusia tidak berperasaan yang suka mendera pesakit melalui kesakitan.
Ada juga yang menghuraikan pengalaman berjumpa doktor gigi sebagai sesi yang menggerunkan sebaik mulut terbuka luas. Apakah tiada caranya untuk bebas daripada fobia berjumpa doktor gigi?
Satu kajian fobia doktor gigi yang dijalankan ke atas pelajar dan tentera-tentera mendapati, kira-kira lapan peratus hingga 20 peratus daripada kumpulan tersebut takut berjumpa doktor gigi. Kajian tersebut dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Singapura.
Ketakutan itu akhirnya menjurus kepada keengganan mendapatkan rawatan pergigian dan seterusnya menambahkan masalah yang dihadapi. Kemudian, pesakit hanya berjumpa doktor gigi apabila kesakitan yang dialami semakin teruk.
Keadaan ini mewujudkan satu kitaran yang menakutkan dan sekali gus menguatkan ketakutan mereka terhadap doktor gigi.
Kitaran tersebut perlu diputuskan agar pesakit tidak menjadi 'hamba' fobia doktor gigi buat selama-lamanya.
Sama ada kita suka atau tidak, satu set gigi yang baik membolehkan kita makan dan tutur dengan sempurna. Set gigi yang sempurna dapat meningkatkan tahap keyakinan seseorang dan dipercayai mampu memperbaiki kemahiran bersosial.
Sesetengah orang bagaimanapun enggan mengakui ketakutan mereka untuk mendapatkan rawatan di klinik gigi. Malah, mereka akan mencuba pelbagai taktik untuk menangguhkan rawatan. Antaranya termasuk sentiasa membatalkan temujanji pada saat-saat akhir, datang lewat atau tidak berhenti menanyakan soalan.
Semakin ditangguhkan, semakin teruk masalah gusi atau gigi yang dihadapi. Malah, anda perlu menerima hakikat bahawa sakit gigi bukan sekadar masalah fizikal tetapi juga menjejaskan selera makan, tidur tidak lena dan hilang tumpuan di tempat kerja.
Terdapat sebahagian orang pula mulai menunjukkan petanda-petanda abnormal sepanjang rawatan berlangsung. Degupan jantung yang pantas, peluh secara berlebihan, kekejangan otot mahupun kesukaran bernafas.
Jururawat atau doktor gigi yang tidak sedar akan ketakutan yang dihadapi oleh pesakit mungkin berpendapat mereka ini enggan bekerjasama atau mengada-gada.
Seperti kebanyakan masalah, berdepan dengan fobia doktor gigi memerlukan pesakit terlebih dahulu mengenalpasti simptom dan punca ketakutan melampau. Pesakit juga perlu bersedia mengambil inisiatif untuk menangani ketakutan yang dihadapi.
Langkah pertama adalah dengan memahami mengapa anda takut. Ketakutan boleh merangsang tubuh membebaskan sejenis hormon yang dikenali sebagai adrenalin. Itu adalah antara sebab mengapa anda rasa loya dan berdebar-debar.
Pengalaman buruk sewaktu berada di klinik gigi dan perkongsian kisah-kisah menakutkan daripada rakan juga merupakan faktor penyumbang. Semua ini menyebabkan ketakutan berjumpa doktor gigi memuncak.
Sekiranya anda perlu mengunjungi klinik gigi tetapi takut, berikut adalah beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu :
* Beritahu doktor gigi bahawa anda takut.
* Beranikan diri menanyakan soalan sekiranya anda takut pada prosedur tertentu.
* Mengetahui prosedur yang terlibat dan jangka masa yang diperlukan akan menghilangkan rasa takut itu. Berbincang dengan doktor anda tentang cara menangani fobia tersebut.
* Amalkan pengambilan hidangan ringan tetapi kurangkan makanan perangsang seperti kopi atau teh.
* Cuba alihkan perhatian anda dengan menggunakan fon telinga dengan mendengar radio atau muzik kegemaran anda.
* Gunakan signal untuk menghentikan sesuatu prosedur jika anda terasa sakit.
* Cuba berfikir secara positif sepanjang rawatan. Gunakan ayat-ayat memberangsangkan seperti 'Saya boleh tangani ketakutan ini' atau 'Saya boleh menghentikannya jika rasa tidak selesa'.
Menariknya, sesetengah klinik pergigian sudah pun menjalani sedikit perubahan dari segi penampilan agar tidak menakutkan seperti dahulukala. Dapatkan doktor gigi yang memahami agar mereka dapat bersabar dengan ketakutan anda.
Memperoleh sokongan
Buat permulaan, cuba berbincang dengan doktor gigi anda terlebih dahulu mengenai fobia anda. Tetapi tidak mustahil jika perasaan takut itu terlalu serius sehingga anda ragu-ragu untuk mendapatkan sokongan daripada doktor gigi.
Dalam kes seumpama ini, anda boleh dapatkan bantuan daripada pengamal perubatan yang berkemungkinan boleh mengesyorkan pakar perunding bertauliah.
Tidak dinafikan doktor-doktor gigi menyedari ketakutan yang dihadapi oleh sesetengah pesakit. Disebabkan itu, mereka telah dilatih untuk menangani fobia anda secara serius dan berdepan dengan keadaan itu secara sensitif. Terdapat juga sesetengah doktor gigi yang khas dalam merawat pesakit yang gelisah.
Satu cara mudah untuk mendapatkan doktor gigi yang memahami adalah menerusi saranan orang lain. Anda boleh bertanyakan kepada rakan sebelum menyenaraikan doktor-doktor gigi yang berpotensi. Kemudian, telefon untuk bertanyakan doktor yang sesuai menangani masalah anda.
Bersikap terbuka terhadap masalah dan kebimbangan anda kerana dengan ini, anda berupaya memperoleh sokongan yang diperlukan.
Anda boleh membuat temujanji terlebih dahulu biarpun tiada rawatan akan dijalankan. Dengan cara ini, anda boleh berjumpa dengan doktor gigi bagi menyuarakan keresahan yang dihadapi.
Elakkan daripada mengatur temujanji pada hari anda terpaksa menunggu lama kerana ini akan membuatkan anda lebih resah. Bawalah seorang rakan atau ahli keluarga bersama anda jika anda masih berasa takut.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diingatkan sebelum anda bertemu dengan doktor gigi buat kali pertama:
Masa : Mintalah kebenaran daripada doktor gigi untuk memberi anda masa. Misalnya, anda mungkin ingin menjalani pemeriksaan terlebih dahulu sebelum mendapatkan imbasan sinar-X dalam temujanji seterusnya. Ataupun anda mungkin hanya bersedia untuk cuba duduk di atas kerusi pesakit. Dengan cara ini, anda berupaya menangani ketakutan anda secara perlahan-lahan. Sebaik sahaja peringkat pertama tidak menakutkan anda, anda sudah bersedia untuk melangkah ke peringkat kedua.
Kawalan: Adalah baik jika anda dapat berbincang dengan doktor gigi tentang memperoleh sedikit kawalan ke atas amaun prosedur yang dilakukan. Penting untuk anda tidak rasa tertekan. Anda akan rasa lebih terkawal jika anda memberi tanda isyarat sekiranya ingin memberhentikan prosedur yang menyakitkan.
Masalah spesifik: Jika terdapat sesuatu yang membimbangkan anda atau pernah mengalami pengalaman pahit, sila beritahu doktor gigi. Jangan ragu-ragu untuk bertanyakan soalan kerana doktor mampu menjawabnya. Terdapat pelbagai kaedah untuk mengawal dan melegakan kesakitan.
Pilihan: Kepelbagaian pilihan rawatan mungkin membantu anda rileks seperti terapi hipno. Doktor mungkin menawarkan perkhidmatan yang bersesuaian untuk membolehkan ketakutan anda hilang.
Apa yang pasti, jika anda berasa tidak selesa dengan doktor gigi pertama yang ditemui, anda sentiasa mempunyai hak untuk mencuba doktor gigi yang lain.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.drhowkc.com. - YEO LI SHIAN
Daripada arkib Kosmo!
No comments:
Post a Comment